Karya Pengi'tirafan bertajuk Adab dan Peradaban ini merupakan hadiah kenang-kenangan untuk Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Selain tepat merangkum Citra Ilmiah dan Intisari Pemikiran al-Attas, rangkaian dua perkataan tersebut - Adab dan Peradaban - juga menzahirkan sebaiknya keperibadian beliau.
Karya yang menghimpunkan pelbagai rencana ilmiah oleh 21 orang sarjana penyelidik dan ilmuwan ini dimulakan dengan Makalah 1 hingga 3 yang memberikan liputan menyeluruh terhadap sejarah dan sumbangan al-Attas termasuk, antara yang terpenting, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Makalah 4 hingga 8 pula mengusahakan pemerihalan dan huraian terhadap tema-tema utama Pemikiran al-Atttas -Ma'na Agama; Pandangan Alam; Akhlak dalam Kerangka Ketamadunan yang berasaskan Agama; Tasawwuf sebagai Metafizika Islam; dan Pendidikan sebagai Ta'dib- kesemuanya menjurus kepada penyediaan kerangka ilmiah untuk makalah-makalah berikutnya. Makalah 9 hingga 11 kemudiannya meninjau dan mengamati Cabaran dari Barat dan Kesannya kepada Umat Islam, diikuti dengan Makalah 12 hingga 14 yang membahaskan tema ilmu dan pendidikan, khasnya pada peringkat pengajian tinggi. Makalah 15 dan selanjutnya menjelaskan rencana Pemikiran al-Attas berhubung dengan aneka bidang ilmu dan tema ilmiah: sains dan falsafah sains; pengurusan dan pentadbiran; linguistik; kritikan sastera dan persuratan; sejarah dan pensejarahan; dan ekonomi.
Karya ini turut menampilkan semula 2 Khat Basmallah al-Attas yang unik bersekali dengan penjelasan beliau yang padat berma'na perihal kedua-duanya.
Tidak ada pengiktirafan yang lebih indah terhadap keilmuan ilmuwan selain membukukan karya yang memperkatakan idea dan pemikiran serta ilmu dan sumbangan keintelektualan tokoh terbabit.
Hakikat itu menjadikan buku Adab dan Peradaban: Karya Pengi'tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, suntingan Mohd Zaidi Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah memberikan makna bukan saja dalam konteks peribadi, bahkan khazanah keilmuan bangsa dan dunia.
Apatah lagi festschrift atau kumpulan makalah itu ditulis dalam bahasa Melayu untuk mengungkapkan idea besar Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas khususnya adab dan peradaban berdasarkan kerangka pemikiran Islam.
Pemilihan bahasa Melayu itu menegaskan kemampuannya sebagai bahasa ilmu, sekali gus mengakrabkan pemikiran intelektual itu kepada pembaca umum di negara ini dan membuka mata terhadap permata yang barangkali terlindung daripada pandangan mereka.
Malah himpunan 21 makalah itu bukan saja disumbangkan ilmuwan yang menguasai pelbagai bidang ilmu yang diiktiraf, bahkan mereka sendiri menadah keilmuan daripada Prof Syed Naquib dalam lingkungan pendidikan yang akrab.
Tidak hairanlah Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud yang kini mantan Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), paling tepat dalam mengungkapkan citra peribadi dan cita ilmu gurunya itu.
Makalahnya, Al-Attas: Ilmuwan Penyambung Tradisi Pembaharuan Tulen bukan saja mengimbau lembaran perjalanan ilmiah Prof Syed Naquib, bahkan menyorot pembaharuannya terutama penyesuaian semula terhadap konsep penting dalam Islam berdasarkan sunnah Rasulullah dan tradisi keilmuan Islam yang benar.
Idea penting yang diamati Prof Syed Naquib dalam renungan keilmuan seperti konsep Mithaq atau perjanjian azali yang terkandung dalam Surah al-A'raf (ayat 171 dan 172) dikupas oleh Dr Mohd Farid Mohd Shahran yang kini memimpin Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM).
Begitu juga kupasan mengenai konsep tragedi dalam kebudayaan Barat diperkata oleh Che' Razi Jusoh; konsep ta'dib atau pendidikan (Dr Asmaa' Mohd Arshad); hakikat tasawuf yang sebenar (Dr Wan Suhaimi) dan gagasan pengislaman sains (Dr Adi Setia Md Dom).
Kekeliruan dan kekabutan dalam memahami falsafah dan peranan institusi pengajian tinggi (IPT) sebenarnya mempunyai jawapan tuntas dalam buku ini sama ada secara teoretikal mahu pun praktikal seperti yang pernah diperlihatkan dalam usaha Prof Syed Naquib membangunkan Institut Tamadun dan Pemikiran Islam Antarabangsa (ISTAC).
Makalah Dr Awang Sariyan menekankan kepentingan membina kerangka falsafah dan pandangan sarwa sesuai dengan keperibadian di alam Melayu, manakala Dr Tatiana Denisova menyorot Islam dan mitos asal-usul Raja Melayu serta Dr Aliza Elias dengan implikasi `paksi India' terhadap pensejarahan Islam di alam Melayu.
Festschrift ini wajar menjadi mukadimah dalam memahami cita ilmiah dan inti sari pemikiran Prof Syed Naquib, sekali gus membuka lembaran ilmiah dalam meneliti karya besarnya yang dapat memperkukuhkan pandangan alam Islam.
Sudah lama juga aku tidak tenggelam membaca buku setebal 700 halaman ke atas. Antara buku berat dengan ketebalan melebihi 700 halaman yang pernah kuuliti kebanyakannya memakan masa berbulan-bulan malah ada yang mencecah 2-3 tahun untuk menamatkannya seperti Muqaddimah Ibn Khaldun (750 m/s), A Doctor in the House (843 m/s) oleh Tun Mahathir, A History of Western Philosophy (842 m/s) oleh Bertrand Russell, The Greatest Benefit to Mankind (848 m/s) oleh Roy Porter dan The Story of Philosophy (704 m/s) oleh Will Durant.
Jika kitab Muqaddimah Ibn Khaldun dan biografi Tun Mahathir itu aku baca bermula dengan bab-bab yang paling aku minati sehinggalah tamat menekuni semua bab, namun buku Adab dan Peradaban (2022)(terbitan pertama: 2012) suntingan Prof. Wan Suhaimi dan Dr. Zaidi setebal 722 halaman yang bersifat sederhana berat ini, boleh dibaca mengikut tertib dari awal sehingga ke akhir seperti kebanyakan buku-buku lain kerana 22 esei dalam buku ini sudah disusun baik mengikut gugusan idea yang diangkat oleh Prof. al-Attas iaitu:
Makalah 1-3: Sejarah dan Sumbangan Prof. al-Attas serta Tradisi Pengajian di ISTAC Makalah 4-8: Ma’na Agama Makalah 9-11: Cabaran dari Barat Makalah 12-14: Ilmu dan Pendidikan di Peringkat Pengajian Tinggi Makalah 15-21: Penjelasan lanjut Rencana Pemikiran al-Attas berhubung bidang-bidang ilmu (sains, pentadbiran, linguistik, persuratan, sejarah dan ekonomi)
Jika festschrift (karya pengiktirafan) ini dibaca secara berfokus, pembacaan boleh ditamatkan dalam masa 2-3 minggu. Buku ini sangatlah sesuai dibaca bersekali dengan buku Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam al-Attas karangan Prof. Wan Mohd Nor kerana ia bersifat huraian kepada gugusan idea Prof. al-Attas oleh anak murid yang akrab dengan idea beliau selain penggerak gagasan idea beliau sehingga ke hari ini khususnya pada setiap lapangan dan kepakaran masing-masing.
Usai menamatkan pembacaan adikarya ini, aku mendapati, terdapat dua tulisan yang sangat menarik dan wajar diberikan perhatian iaitu esei oleh Dr. Adi Setia mengenai Rencana Penyelidikan Sains Islam dan esei oleh Mohd Affandi Hassan mengenai Keindahan Bahasa Berasaskan Konsep Ihsan. Hal ini kerana, kupasan idea dan lenggok bahasa mereka begitu jelas, perincian yang kritikal dan mendalam selain kritikan yang cukup tajam dan mengena.
Dr. Adi Setia misalnya menyentuh mengenai kepentingan melakukan temubual dengan ilmuan pondok (yang mahir dalam ilmu perubatan) dan merakamkannya agar ilmu perubatan mereka terakam untuk diujikaji dengan menurut “evidence-based medicine”, bukannya asyik sibuk dengan budaya murahan Melayu yang sibuk menemubual artis, ahli sukan, ahli niaga dan ahli politik yang hasilnya hilang bagai bagai buih ditelan ombak tanpa apa-apa nilai ilmiah serta budaya meneliti setiap gerak-geri hidup mereka yang remeh-temeh setiap hari dan setiap minggu, lalu terisilah akal fikiran rakyat jelata dengan perkara-perkara yang merendahkan, bukan meninggikan, akal budi mereka.
Dr. Adi juga ada menyentuh mengenai kepentingan muzium dan teknologi iaitu bukan untuk melayani nostalgia terhadap warisan silam, bahkan untuk mengambil pengajaran asas mengenai bagaimana teknik dan teknologi terdahulu yang dijana oleh dayacipta sendiri mampu dipadankan kepada sekitaran insani dan tabii agar mengimbangi hak insan dan hak alam lalu mewujudkan budaya rekacipta yang memakmurkan (mesria – mesra insan dan alam) dan bukan menghancurkan seperti teknologi moden yang memenuhi agenda pelabur besar tetapi menghancurkan budaya hidup masyarakat tempatan, bahkan memaksa mereka menjadi hamba-upah (wage-slaves) dan hamba-hutang (debt-slaves) di kampung halaman sendiri.
Mohd Affandi Hassan pula mengupas konsep taklif menurut Shah Waliyullah al-Dihlawi yang mengandungi tiga ciri; keadilan, ilmu pengetahuan dan ikhtiar. Perilaku manusia dikatakan “adil” jika diasaskan pada konsep “ilmu yang benar” dan dari ilmu yang benar inilah manusia membuat pilihan melalui “ikhitiar yang dilakukan oleh akal yang terdidik”. Jika ketiga-tiga ciri ini berada dalam perilaku manusia, dia akan mencapai darjat ihsan – kesempurnaan amal perbuatannya.
Mohd Affandi membahagikan karya kreatif kepada tiga jenis:
i. Karya Persuratan - bersandarkan ilmu yang benar dan mengutamakan wacana ketimbang cerita. ii. Karya Sastera - mengutamakan cerita yang berasaskan emosi dan keseronokan. iii. Karya Picisan/Erotik - menjadikan hawa nafsu sebagai pengucapan kreatif.
Menurut Mohd Affandi juga, secara umumnya, terdapat tiga jalur penulisan dalam kebudayaan Melayu:
i. Jalur Ulama - spt al-Raniri, Fansuri, Hj. Agus Salim, Za’ba, Burhanuddin al-Helmi, Abdul Rahim Kajai dan al-Attas. ii. Jalur Nasionalisme Kiri - spt Abdullah Munshi, Ibrahim Yaakob, Ishak Hj. Muhammad, dan Ahmad Boestamam. iii. Jalur Sasterawan - spt SN Keris Mas, SN Muhammad Hj. Salleh dll.
Antara inti-inti menarik oleh penulis lain ialah definisi mujaddid yang dipetik oleh Prof. Wan Mohd Nor iaitu insan yang memperbaharui semula sesuatu pemikiran lama yang telah disalahfaham dan ditinggalkan, menjelaskan ma’na sebenar agama dengan mendalam dan menyelesaikan masalah utama masa kini mengikut neraca syariah. Prof. Wan Suhaimi pula ada memetik ma’na tasawwuf dari karya The Positive Aspects of Tasawwuf oleh Prof. al-Attas iaitu mengamalkan syariah pada makam ihsan manakala Ahmad Bazli Shafie pula menyentuh mengenai budaya halus “leveling” dalam fabrik masyarakat. Menurut beliau,
“Tafsiran dan ta’wilan Abduh dan Ahmad Khan yang bertunjangkan rasionalisme dan sains moden bukan sahaja bersifat spekulatif dan subjektif, bahkan ternyata sangat apologetik. Kecenderungan ini akan membuka ruang kepada kemasukan sekularisme atau ideologi sekular manakala kritikan Abduh dan Ahmad Khan terhadap ilmuwan silam dalam usaha menggalakan ijtihad di kalangan generasi moden adalah langkah yang menyamaratakan semua golongan sehinggakan pemilik kewibawaan yang sah (autoriti) diletakkan setaraf dengan mereka yang langsung tidak berwibawa. Bahkan mazhab-mazhab dan aliran tasawwuf dipersalahkan secara melulu, sekaligus para ulama al-mujtahidin dibicarakan dengan cara diperbesarkan kesilapan-kesilapan kecil dan dilupakan jasa serta sumbangan mereka. Kemuncak kepada gejala keruntuhan adab ini ialah cubaan meletakkan baginda Rasulullah SAW setaraf dengan manusia biasa sehingga kedudukan sebenar baginda sebagai utusan Allah semakin diperkecilkan.”
Dr. Zaidi pula menjelaskan bahawa hikmah adalah “titik mula”, keadilan adalah “hasil”. Bagi mencapai hasil tersebut, kita memerlukan usaha dari titik mula tersebut. Usaha untuk mencapai keadilan yang berdasarkan hikmah inilah yang dinamakan adab – iaitu pengenalan dan pengakuan akan hak sesuatu dan kedudukan seseorang dalam rencana susunan berperingkat martabat yang merupakan hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta. Dr. Zaidi juga menukilkan empat jenis daya/fakulti (quwwah) dalam diri manusia seperti yang terdapat dalam kitab Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh fi Amr al-Din karangan Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari iaitu:
i. Quwwah Nutqiyyah/Idrakiyyah (daya berkata-kata/tanggap) – disempurnakan dengan ibadat ii. Quwwah Shahwiyyah Batniyyah (keinginan perut) – disempurnakan dengan mu’amalat iii. Quwwah Shahwiyyah Fajriyyah (keinginan faraj) – disempurnakan dengan munakahat iv. Quwwah Ghadhabiyyah (marah) – disempurnakan dengan jinayat
Pada penghujung penulisan festschrift ini, Dr. Aliza Elias ada menyelitkan sedikit sanggahan Dr. Adi Setia berjudul “Flippant Rethinking: Revisiting Farish A. Noor” (https://m.malaysiakini.com/letters/9058) terhadap tulisan Dr. Farish A. Noor berjudul “Rethinking Islamisation of the Malay World” (https://m.malaysiakini.com/columns/6919) apabila menyentuh mengenai orang yang berkeras memandang dan menekankan kepada “continuity” rupa luarannya hingga mengabaikan hakikat sebenarnya yang sudah tentu sengaja memberikan gambaran palsu dan mengelirukan dalam sejarah. Dr. Ugi Suharto pula ada menyarankan bahan bacaan bagi ahli ekonomi Islam mengenai etika iaitu al-Madinah al-Fadhilah, al-Siyasah al-Madaniyyah dan Tahsil al-Sa’adah oleh al-Farabi, Al-Zari’ah ila Makarim al-Syariah oleh Raghib al-Asfahani, Tahzib al-Akhlaq oleh Ibn Miskawayh dan Tadbir al-Manzil oleh Ibn Sina.
"Adab Dan Peradaban: Karya Pengi'tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas" is a remarkable book that deserves recognition for its enlightening exploration of a wide range of important topics. Authored in honor of Syed Muhammad Naquib al-Attas, this book presents a collection of thought-provoking essays and reflections that delve into the realms of adab (etiquette) and peradaban (civilization), offering valuable insights for readers seeking intellectual enrichment.
One of the key strengths of this book is its comprehensive coverage of significant subjects. The authors have skillfully compiled a diverse range of topics, encompassing various aspects such as spirituality, education, culture, history, and ethics. By addressing these crucial elements, the book provides a holistic perspective on the development and nurturing of a civilized society.
The book's ability to shed light on these topics is truly commendable. Each chapter is meticulously crafted, offering deep insights and scholarly analysis. The authors showcase their expertise and understanding, weaving together a tapestry of knowledge that encourages readers to reflect on their own lives and the society they inhabit. The intellectual rigor presented within these pages is certain to captivate and inspire readers, fostering a desire for further exploration.
Additionally, the book merits commendation for acknowledging the contributions of Syed Muhammad Naquib al-Attas. As a prominent scholar and philosopher, al-Attas has made significant contributions to the understanding of adab, peradaban, and their intrinsic relationship. This book serves as a fitting tribute to his wisdom and legacy, providing a platform for other intellectuals to build upon his ideas and perpetuate his intellectual heritage.