Angkasa karya Syafiq Aizat.
Saya sudah mengikuti karya Syafiq Aizat sejak beberapa tahun lalu. Mungkin bukan yang terawal membaca karyanya. Tetapi, saya masih lagi di kalangan ribuan pembaca sekaligus peminatnya. Bermula dari triologi Ajaib saya merasakan karya beliau sesuatu yang baru dan segar dalam industri buku di Malaysia. Idea yang dibawakan, penulisan yang santai menjadikan triologi Ajaib antara comfort book semasa saya tertekan menghadapi realiti.
Kuantan menjadi latar tempat. Jika dilihat, jarang sekali penulis menggunakan tempat sedia ada untuk sebuah karya fantasi begini. Namun, setelah membaca hampir kesemua karya beliau saya menyedari bahawa Kuantan hanyalah platform untuk bukaan dunia yang lebih luas. Dunia yang dicipta luar daripada akal fikiran para pembaca. Setiap buku seolah olah membawa para pembaca ke suatu peringkat yang berbeza. Imaginasi meliar mengharapkan fantasinya semakin tinggi, membenamkan pembaca dalam dunia yang dicipta penulis. Kami bukan sekadar berada di Kuantan, tetapi turut sama terbang tinggi ke langit bertemu Ben dan merentas waktu bersama Samad.
Watak bukan manusia yang ditonjolkan juga kuat. Bukan sekadar tambahan tanpa fungsi. Banyak lagi yang hendak diulaskan. Namun, saya perlu kembali berpijak kepada realiti. Ulasan tentang Angkasa, karya terakhir untuk dunia fantasi yang dicipta Syafiq Aizat.
Sepertimana yang saya katakan pada mulanya, setiap buku membawa para pembaca ke peringkat yang berbeza. Angkasa membawa saya ke peringkat yang tidak terjangkau dek akal. Merentasi ruang masa, menempuh pertarungan bahkan hidup dalam fikiran ciptaan manusia lain (Adam Kadmon). Setinggi-tinggi karya ini membawa saya membelah Angkasa, saya juga menyedari bahawa penulis mahu pembacanya kembali kepada realiti. Seperti watak-watak yang ada dalam karya ini. Ya, Angkasa bukan sahaja memuaskan fantasi para pembaca. Namun ia membawa pembaca kepada fasa mengenali diri dan melepaskan sesuatu. Sebab setiap permulaan ada pengakhiran kan? Perjalanan menuju dewasa itu berat, namun perlu diharungi walau apa yang terjadi. Bukan semata-mata tentang destinasi, tetapi tentang proses yang dilalui.
Banyak lagi nak dibebel, tapi tak apa. Saya berhenti di sini bersama rasa bangga kepada Syafiq Aizat. Teruskan berkarya dan menjadi antara yang terbaik di dunia.
p/s: ingat Samad nak muncul, tapi tak. haha