Nirnama 2 membawakan premis cerita yang lebih ambitious.
Meluaskan lagi universenya dengan memperkenalkan watak dan kerajaan yang lebih banyak, terutamanya dari Asia Timur. Penulis Hilal Asyraf mengukuhkan lagi francais ini dengan perkembangan watak yang tidak lagi terlalu tertumpu kepada satu watak sahaja, menguatkan lagi jenamanya sebagai sebuah siri Islamik epik nusantara yang mantap.
Aku puji bagaimana penulis berjaya memperbaiki beberapa kritikan yang aku pernah lontarkan terhadap buku pertama Nirnama. Antaranya, francais ini tidak lagi terikat dengan kerajaan-kerajaan klasik yang dipengaruhi persempadanan wilayah moden. Walaupun aku rasa masih tidak cukup kerana aku masih tak nampak kerajaan-kerajaan dari Sumatera sedangkan kerajaan dari utara Semenangjung, Borneo dan Jawa ada diperkenalkan, tapi ia satu permulaan yang baik untuk mengembangkan lagi universe ini.
Aku suka yang Nirnama yang sebenar kali ini banyak 'direhatkan', kemudiannya memberikan lampu limpah kepada 'Nirnama-Nirnama' lain untuk menyinar.
Walau bagaimanapun, aku ralat dengan villain utama dalam buku kali ini, atau mungkin boleh aku katakan tiada pun villain utama yang baru. Yang ada cumalah beberapa watak villain kecil yang baru, manakala villain utama pula hanya recycle daripada buku sebelum ini.
Perasaan aku membaca Nirnama 2 masih lagi sama sepertimana aku membaca karya-karya Hilal Asyraf yang lain. Secara peribadi, jalan ceritanya tidak berjaya menjadi kegemaran aku kerana ia merupakan sebuah kisah yang simplistik, membawakan cerita hitam-putih, baik lawan jahat, dan sudah tentulah baik akan menang di akhirnya, setiap plot yang mudah dijangka.
Kalau karakter baik, sempurna sangat sampai tidak pernah buat silap. Kalau karakter jahat, teruk sangat sampai tiada backstory yang menarik. Dialog pula terlalu preachy dalam menyampaikan dakwah membuatkan aku rasa sedikit bosan.
Namun begitu, aku cukup hormat dengan usaha yang dilakukan Hilal Asyraf dalam mengangkat karya-karyanya. Walaupun gaya penulisannya bukanlah personal preference aku, tetapi aku tidak mahu penulis mengubahnya. Gaya seumpama ini sudah menjadi trademark beliau, telah mengangkat nama beliau, dan sememangnya kita memerlukan buku-buku seperti ini di pasaran dalam menarik minat kanak-kanak dan remaja dalam membaca karya-karya epik purbakala nusantara yang disulam dengan dakwah-dakwah yang jelas dan mudah difahami.
Sekiranya ada, harapan aku untuk Nirnama 3 adalah untuk francais ini berkembang menjadi jauh lebih ambitious daripada Nirmana 2. Jangan takut. Sebab siri ini mempunyai vibe-vibe anime yang mempunyai idea yang gila-gila. Aku nak francais ni jadi 'gila-gila'.
Misalnya, aku nak tengok Kerajaan Semutar Putih keluar dari Semenanjung dan bermain politik pula dengan kerajaan-kerajaan luar. Bila dah perkenalkan watak-watak dari kerajaan Asia Timur, apa kata Semutar Putih pula membantu menghentikan pemberontakan-pemberontakan yang ada di sana.
Ataupun, dah tiba masanya Semutar Putih bertembung dengan kerajaan-kerajaan dari Barat pula. Kita tahu yang pertembungan Semutar Putih dengan Ayutthaya diinspirasikan daripada pelbagai siri pertempuran kerajaan Melaka dengan Siam.
Aku nak tengok macam mana idea Hilal Asyraf dalam mengolah pertembungan Melaka dengan Portugis. Apakah idea-idea alternate universe yang boleh dibawa. Mungkin Semutar Putih berjaya menumpaskan ancaman Portugis di Asia, menghalau dan mengejarnya hingga ke Eropah, sepertimana yang pernah dibawakan Faisal Tehrani dalam '1515'?
Idea kerajaan dari nusantara menggegarkan Eropah sudah tentu tak logik dari segi geopolitik tapi memandangkan penulis dah bawakan kerajaan Ming membantu Semutar Putih (juga tidak logik), dah alang-alang, boleh terus all-out.
Apa-apa pun, aku doakan Hilal Asyraf terus maju jaya dengan francais ini terutamanya dalam hasratnya untuk mengembangkan lagi ke dalam medium lain seperti komik dan animasi. Gaya penulisan hitam-putih dan dialog-dialog preachy sememangnya sesuai kalau dijadikan animasi. Aku terbayang kalau Monsta (Boboiboy, Mechamato) yang buat animasi Nirnama sebab aku rasa kedua-dua pihak ini mempunyai gaya penceritaan yang seakan sama.
Aku tak sabar untuk Nirnama 3!