Dalam era digital yang serba menggugat ini, Lentera Ilmu: Catatan-Catatan Dunia Buku tampil sebagai suar yang menemani perjalanan pencinta buku dalam menghayati dunia membaca yang pancawarna.
Himpunan 25 artikel yang terkandung dalam buku ini menyelami budaya membaca dalam pelbagai keadaan, mengangkat keajaiban buku sebagai medium yang luar biasa dan meraikan keistimewaan perpustakaan dan kedai buku sebagai kubu cahaya.
Setiap artikel dalam buku ini mengundang pembaca untuk merenung dan menghargai kegiatan membaca dalam membentuk akal budi, selain mengenang pengaruh buku dalam sejarah peradaban manusia.
Penulis ingin mengajak pembaca untuk meninjau kembali kepentingan peranan buku dan membaca dalam mendepani kehidupan masa kini.
Lentera Ilmu bukan sekadar buku, melainkan sebuah juadah kata-kata yang menghidangkan inspirasi kepada semua untuk terus bergelumang dengan cinta yang luar biasa.
Dengan bahasa yang mengalir dan cuba mempesona, buku ini dapat menjadi bacaan yang padat tetapi santai buat sesiapa sahaja yang ingin memperdalam cinta terhadap ilmu.
Bergabunglah dalam perjalanan ini dan temukan inspirasi dalam sinar cahaya Lentera lImu.
Anak kampung yang membesar antara susunan koleksi buku dan kegemaran membaca ayah ibu. Diheret ke pesta-pesta buku sejak sekolah rendah, walaupun pernah sekali terlupakan agenda keluarga untuk ke sana akibat asyik mencari ikan di sungai selepas balik mengaji.
Waktu kecil dahulu, selalu disuap slogan “Cintailah Bahasa Kita” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” di kaca TV. Akhirnya menjadi peminat A. Samad Said, tetapi pernah terhenti membeli buku beliau pada tahun 1995 (Cinta Fansuri) setelah surat ‘peminat’ zaman awal remaja tidak mendapat balasan daripadanya, serta usikan kakak dan adik yang tidak henti-henti mengenai peliknya seorang remaja seusia saya menyukai seorang sasterawan berjambang putih (dan beristeri dua). Kini setelah dewasa, menyedari betapa keanak-anakan memboikot pengarang hanya kerana surat peminat tidak dibalas dan tanggapan insan lain terhadapnya (hahaha).
Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kelantan dan Selangor; dan bersebab jasa dan bimbingan guru-guru di SKM, MMP Kota Bharu, Syamsul Maarif dan KISAS, sempat menadah ilmu di UIAM dan UM.
Cita-cita selepas SPM adalah mahu menjadi pustakawan, kerana dipengaruhi artikel Shaharom TM Sulaiman mengenai pustakawan Islam yang masyhur. Tersasar ke dunia undang-undang sebelum mengubah haluan semula ke dunia perpustakaan & sains maklumat.
Hasrat terbesar sejak dahulu adalah ingin menyumbang sesuatu untuk dunia keilmuan Melayu Islam terutama berpaksikan buku dan perpustakaan melalui penulisan. Insya-Allah, sangat ingin ditunjukkan jalan oleh Allah untuk menjadi sejarawan buku dan sejarawan perpustakaan, sambil mendidik 4 orang zuriat mendalami hakikat kehidupan.
Buku ada sejarah dan ceritanya tersendiri. Buku ibarat watak utama dalam dunia para pembaca. Ibarat sahabat karib dan ahli keluarga. Mengembara dengan buku lalu kita langsung mengenali susuk buku itu sendiri. Tamadun awal penerbitan buku, perkembangan material cetakan buku, perubahan daripada ukir, dakwat celup sehingga typesetting. Saya menemui cerita-cerita ini dalam Lentera Ilmu yang berkisarkan dunia buku.
Bukan sahaja cerita buku, kisah penggiat dan pencinta buku juga dimasukkan. Gabungan artikel yang ditulis dengan cermat, mengasyikkan apabila membacanya.
Terasa nipis pula selepas selesai membaca. Boleh ulang baca nanti.
Pengalaman pengarang sebagai pustakawan universiti selama 7 tahun sangat membuka mata kami rakyat marhaen.
Penting juga ada pengumpul buku professional untuk dunia kesasteraan. Ada beza ya pengumpul buku biasa dan pengumpul buku professional.
Penting juga orang orang intelektual dalam bidang akademik dan orang yang pakar dalam satu satu bidang ada perpustakaan sendiri. Perpustakaan orang sebegini bukan untuk warisan anak cucu sahaja. Malah untuk warisan umat juga!
'untuk mengenal seseorang maka kenalilah buku buku di perpustakaan nya'
'reputasi sesebuah perpustakaan penyelidikan turut bergantung kepada bahan bahan langka yang dimilikinya yang tidak boleh dirujuk di mana mana perpustakaan lain'
baru tahu perpustakaan biasa dan perpustakaan di universiti-universiti. Sudah tentu koleksi nya tidak sama antara satu sama lain.
Penulis juga mengajak menelusuri sejarah perpustakaan Islam zaman kegemilangan dahulu , baituk hikmah.
Baitul Hikmah bukan sahaja tempat menyimpan, mengumpul buku malah terdapat juga pengajian pengajian di sana. Boleh dikatakan Baitul Hikmah ni pusat pengajian juga sebenarnya. Manakala perpustakaan khalifah di kaherah berdekatan masjid Al Azhar juga tidak kurang hebatnya.
Zaman sebelum wujud industri percetakan, manuskrip manuskrip yang wujud semua lain antara satu sama lain berdasarkan kefahaman penulis walaupun tajuk nya sama.
sekian, antara buah fikir yang terdapat dalam buku ni yang membuka minda saya dalam bidang perpustakaan ini.
Bacaan penutup bagi 2024 sekali gus menamatkan 'Reading Challenge' di Goodreads sebagai peneman dalam membudayakan bacaan buku sebagai seorang bibliofil.
Buku-buku yang disantuni sebelum ini seperti seperti Biblioholisme oleh Shaharom T.M. Sulaiman, How to Read a Book oleh Mortimer J. Adler dan Kertas-kertas yang Merubah Fikir merupakan satu genre yang menarik untuk disantuni kerana setiap pengalaman dan pengetahuan bibliofil dapat disantuni dan dijadikan contoh untuk memperkaya diri dengan sejarah budaya membaca mengikut susur galurnya dan meneruskan nilai 'The essence of reading'.
Membaca buku Najibah yang satu ini dapat memberikan satu perspektif yang berbeza dalam konteks yang merentas zaman sekali gus menjejak dengan sumber-sumber kajian yang ampuh dalam memahami realiti semasa mengenai dunia buku dan pesonanya alam sarwajagat.
Naskhahnya nipis tetapi sarat dengan isi-isi penting daripada dapatan kajian-kajian yang berimpak dalam rencam masyarakat.
Penulis pernah berkongsikan pengalaman peribadi beliau dalam Rumah Sejuta Buku. Dan kali ini, penulis membawakan sebuah buku yang menceritakan tentang info menarik buat seorang bibliofil dan mereka yang ingin menyuburkan minat dalam membaca.
Penulis berkongsi tentang beberapa perkara yang melibatkan bahan bacaan, tips untuk menanamkan minat membaca, kaedah membaca bahan yang sukar, bidang interdisiplin dunia buku dan sebagainya. Antara perkara baru yang saya dapati daripada buku ini ialah berkenaan dengan aforisme. Iaitu koleksi kata-kata yang dizahirkan oleh seseorang yang mempunyai populariti atau status dalam masyarakat seperti selebriti atau tokoh-tokoh terkenal. Tujuannya adalah untuk menyampaikan hal-hal penting dan perlu difahami segera. Dan dalam koleksi saya, terdapat beberapa koleksi buku aforisme iaitu Tinta Hlovate dan Catatan Matluthfi.
Selain itu, saya juga mendapat maklumat baru iaitu foxing - istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan sesuatu buku yang telah bertompok kekuningan atau kemerahan. Ianya terjadi disebabkan oleh beberapa faktor dan cara kita menyimpan buku.
Buku yang kecil namun padat dengan pelbagai fakta menarik mengenai buku.
This book descibes the importance of books and libraries. I feel inspired to read books and keep my personal home library. Thanks for the author to publish the book.
Kalau rasa nak baca vibe penulisan almarhum Shaharom TM Sulaiman, saya cadangkan baca buku ini iaitu Lentera Ilmu. Walaupun nipis, namun buku ini sarat dengan artikel berkenaan dunia perbukuan. Antara yang menarik perhatian saya adalah topik bagaimana dari kaca mata ‘disleksia’ membaca buku, gesaan penulis supaya pembaca membaca bahan yang lebih menguji kefahaman akal, kontroversi melibatkan kemusnahan Perpustakaan Purba Iskandariah yang dikatakan berpunca daripada Amru Al-As dan lain2 lagi.
Buku yang sangat menarik dipenuhi dengan ilmu dan info bermanfaat buat para bibliofil. Penulisnya juga adalah orang yang layak berdasarkan pengalaman dan kerjaya beliau untuk menulis hal-hal berkaitan dunia buku dan perpustakaan, sebuah dunia yang sangat mengujakan.
Kulit buku juga bukan calang-calang, ia diambil dari Bibliotheque Publique (1787), yang sedikit sebanyak mencerminkan isi kandungan buku. Syukur ada dinyatakan di halaman hak cipta, sehingga menyebabkan saya mencarinya di Google dan menambah keterujaan akan ketelitian memilih ilustrasi terbaik sebagai kulit buku.
Sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat, agar lebih menghargai sejarah sehelai kertas yang disusun menjadi sebuah buku, dan seterusnya dibangunkan menjadi sebuah perpustakaan sebagai gedung ilmu. Tips dan petua juga ada buat mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia buku dan mereka yang tekad untuk menjadi pembaca dan ‘pelajar’ sepanjang hayat.
Buku yang bertema sama dengan buku saya iaitu Dunia dalam Perenggan, namun laras bahasa tinggi sedikit dan ada segmen khas untuk perpustakaan. Sesuai untuk pencinta buku dan sejarahnya!
Saya merasakan Najibah Abu Bakar merupakan seorang bobliofil heavyweight di Malaysia, dengan pengalaman selama 7 tahun di perpustakaan, beliau begitu arif dengan judul-judul buku yang menarik. Dalam naskhah ini, kearifan ini dapat dilihat dengan jelas. Pustakawan sememangnya merupakan satu pekerjaan yang mengayakan minda, saya teringat akan seorang bekas pustakawan yang kisahnya pernah ditulis oleh Jonathan Spence. Pustakawan ini kemudian menjadi pejuang revolusi dan kemudian telah mengasaskan Republik China, nama pustakawan ini adalah Mao Zedong.
Saya juga tertarik dengan gaya penulisan Najibah yang memulakan buku ini dengan kisah peribadi. Bagaimana beliau bermula dengan membaca blog yang kemudiannya menemukan beliau dengan dunia buku dan kepustakawanan. Mengadun subjek yang kita mahu bahaskan dengan kisah peribadi sememangnya boleh menjadikan sebuah tulisan itu lebih manusiawi dan menarik. Antara pandangan Najibah yang saya minati adalah saranan beliau bahawa pembacaan itu perlu ada peningkatan. Membaca untuk hiburan dan liburan itu tidak salah untuk usia tertentu, namun kita tidak boleh statik di takuk tersebut. Pembacaan perlu meningkat kepada tahap yang lebih mencabar.
Membaca tulisan Najibah membuatkan saya merasakan bahawa setiap bibliofil itu perlu menulis pengalaman pembacaan mereka. Kerana masing-masing mempunyai perspektif mereka yang menarik, kecenderungan mereka berbeza menjadikan apa yang diulas berbeza. Najibah sebagai contoh, pada pandangan saya mempunyai kecenderungan untuk mengulas budaya bibliofilia dalam sejarah Islam. Beliau juga dilihat menggemari manuskrip dan sastera Arab yang saya lihat banyak dipetik dan diulas.
Semoga, selepas ini kita mempunyai lebih banyak perkongsian bibliofil seperti ini!
Dapatan dari baca buku Lentera Ilmu, Catatan-catatan Dunia Buku oleh Najibah A. Bakar
Buku ini adalah bank jawapan kepada soalan-soalan monolog aku. Atau lebih tepat soalan-soalan yang dihajatkan oleh otak aku tentang dunia buku. Kenapa? Mukasurat 11 (topik 1) perenggan kedua telah menjawab 1/7 soalan aku tentang dunia buku. Apa beza jurnal dengan itu ini? “Apakah itu jurnal?” Soalan yang dilontarkan oleh penulis ini bagaikan haruman makanan yang dihidang. Dengan segala penerangannya menyelerakan. Kerana sebelum ini, dalam dunia buku, aku hanya kenal telur mata dan telur rebus sahaja (nonfiction dan fiction). Tak sabar untuk menjamah hidangan seterusnya. Sedikit nak dikongsikan, kata penulis, “jurnal adalah suatu himpunan artikel penyelidikan akademik yang diterbitkan secara berkala menurut bidang tertentu atau merentas beberapa bidang yang berkaitan”.
Ba’din, pada persoalan kenapa mereka masih enggan membaca, bahagian ini aku telah senaraikan dalam senarai To Do saya sebagai seorang guru. Memandangkan sekolah aku banyak buku-buku yang disumbangkan, aku rasa menarik untuk cuba praktikkan apa yang Cikgu Kathryn lakukan bersama murid-muridnya. Mungkin dengan cara aku sendiri yang diolah mengikut kesesuaian. Mungkin juga sekadar dijadikan idea untuk Rancangan Pengajaran Harian saya. Dalam bahagian perbincangan yang sama, aku tertarik dengan catatan bahawa ayah adalah adiwira kita masa kecil. Jika tidak 10, mesti 1/10 dalam fasa hidup kita ayah adalah dan pernah menjadi adiwira pada kita. Samada masa kita dah baligh mahupun sebelumnya. Ingat atau tak ingat je. Catatan penulis, “bapa adalah adiwira pertama kanak-kanak sebelum mereka tertarik kepada adiwira yang lain.”
Kemudian, mengenai catatan “Membaca ialah aktiviti yang bermodalkan usia. Ini kerana aktiviti membaca adalah suatu bentuk aktiviti yang menggunakan banyak masa.” Setuju.
Mukasurat 18, tatkala penulis berkongsi pandangan Adler mengenai tujuan membaca yang disertakan soalan “Apakah itu akal dan apa pula budi?” Telah melapangkan sedikit semak persoalan-persoalan dalam akal aku. Pertama, apa itu akal telah dijawab dengan fungsi akal. Dan budi pula dijawab mempunyai makna yang halus dan mendalam dalam psikologi Melayu. Buku Manikam Budi tulisan Mohd Faizal Musa adalah buku yang dibaca sebaik sahaja selesai membaca karya Najibah Abu Bakar yang satu ini sebenarnya yang memaksa semula tangan aku untuk buka semula helaian 18 ini. Saya rasa dua buku ini ada hubungan yang rapat. Terutama mengenai akal dan budi. Di helaian yang sama bahawa adakalanya limpahan maklumat itu boleh menghalang kita memahami sesuatu dengan jelas telah menyesakkan dada aku. Terkenang ungkapan seorang adiwira apabila aku gagal mengawal emosi dan mulut, kata dia “semua nak sumbat dalam kepala, kenapa?”. Kadang ada betul juga. Aku suka betul buku, kerap membaca. Tapi macam takdak disiplin. Nampak sahaja himpunan-himpunan aksara, terus bagai dirasuk. Pastu apa yang merasuk itu hilang seolah tidak pernah wujud. Maka saya selitkan catatan penulis di akhir topik, “Sesekali membaca untuk hiburan, tidak ada salahnya, tetapi andai terperangkap dalam lohong berhibur itu tanpa batas, dikhuatiri kita sedang ‘menikmati’ kerugian tanpa kita sedari.” Kita akan dihisab dari mana dan kemana ilmu yang dianugerahkan. Aku suka membaca tulisan yang menghubungkan dengan buku-buku yang ada dalam senarai untuk dibaca. Baca buku ini, menghubungkan kembali kepada buku How To Read a Book yang menghabuk di rak sejak 2018. Hanya sempat membaca 18 mukasurat kemudian entah kenapa tidak lagi dibuka. Mungkin kerana bahasa. Ada perenggan tentang teknik pembacaan yang dinukilkan dari buku tersebut.
Mulanya Pembaca, Akhirnya Jadi Kolektor. Asalnya, aku ingat tajuk ini nak sebut sikap segelintir pembaca yang hanya mengumpul buku tetapi tidak baca. Tetapi penulis membawa pembaca kepada budaya mengumpul buku. Tertarik dengan catatan bahawa budaya mengumpul buku ini menatijahkan banyak koleksi dapat dibangunkan. Ini sebenarnya budaya Islam zaman berzaman. Tapi, kolektor buku dinasihatkan untuk menetapkan fokus kepada jenis-jenis buku tertentu.
Terlalu banyak dapatan dari buku ini. Rasa macam setiap helaiannya memberikan pengetahuan baru tentang buku. Hatta bagaimana buku menyumbang dalam sektor wakaf dan impaknya, sumbangan pengumpulan buku kepada kesarjanaan( antaranya bagaimana pengumpul-pengumpul buku ini mengabadikan koleksi mereka untuk kesarjanaan dengan menyumbang), dan beberapa istilah-istilah dalam dunia buku yang aku baru tahu seperti Aforisme. Boleh cuci mata dahulu pada isi kandungannya.
Cukup takat ini, terlalu banyak dapatan dari buku ini. Aku rasa buku ini sesuai untuk semua jenis lapisan pembaca. Yang baru nak mula hidup dengan buku mahupun yang dah lama. Sesuai dijadikan hadiah. Terima kasih Penulis! Terima kasih Ummi tanamkan minat membaca. Lega.