"Kesedihan itu bagaikan parut. Ia mungkin akan pudar mengikut waktu, tetapi pasti tetap ada. Kita harus belajar menerima keadaan itu dan hidup sebaik mungkin bersama-sama dengannya."
Sebuah novel sains fiksyen dengan projek klon yang sarat dengan mesej kekeluargaan, isu pergolakan rumah tangga, pengkhianatan, pergelutan kuasa dan kehilangan tidak tergantikan.
Ini adalah novel sains fiksyen pertama yang saya baca. Mula tertarik ketika penulisnya bercerita ringkas tentang novel ini. Berkisah tentang Nawa yang genius dalam proses mengkaji perihal pengklonan organ. Berlatar masa tahun 2080±. Laras penceritaan sangat teliti membolehkan saya "melihat" sendiri keadaan Mutinus dan "membayangkan" setiap situasi yang diceritakan. Bahasa yang digunakan juga mudah difahami tetapi ada beberapa yang harus guna khidmat pakcik Google. Alur cerita juga tidak lewah dan padat dengan scene yang membuatkan emosi saya naik turun. Pertengahan cerita, memang sedih, namun kembali ceria ketika watak Alden datang. Setiap watak di dalam novel ini hidup, dan ada beberapa yang menimbulkan tanda tanya "hang ni baik ka jahat sebenaqnya". Secara seluruhnya, saya puas hati dengan ending nya. Walaupun saya mengharapkan watak utama dengan Alden juga .... hum.😭
Buku ini menjadi permulaan saya dalam menelusuri novel sains fiksyen. Pastinya, ia sebuah permulaan yang segar dan baik. Kepada peminat sains fiksyen, bacalah novel ini. Kisah ikan Nun telan manusia. Kepada penulis, saya menantikan naskhah seterusnya.
Nun: Kembalikan Semula oleh Saku Zan membawa pembaca masuk ke dunia futuristik yang dibina hasil daripada penelitian penulis terhadap setiap butiran. Bandar tenggelam ala ala separa-Atlantis, pengangkutan berasaskan bot, teknologi canggih seperti peranti pintar di pergelangan tangan dan sayap kalis peluru semuanya membentuk satu dunia yang unik. Malah bagi saya, kehadiran Ikan Nun dan kuda bertanduk satu bukan sekadar elemen sains fiksyen, tetapi memikul suatu simbolisme ancaman alam dan adaptasi akibat teknologi dan perubahan ekosistem.
Dunia futuristik ini turut diselimuti persoalan yang rumit. Saku Zan bukan sekadar menceritakan tentang pengklonan dan kejuruteraan genetik, tetapi membentangkan konflik akibat pertembungan antara kemajuan teknologi dengan batas agama serta etika. Jika teknologi mampu menghapus penderitaan dan melangkaui batas biologi, adakah kita bakal mengorbankan jiwa, ‘roh’ dan prinsip kemanusiaan?
Seterusnya, kehilangan dan kasih ibu menjadi nadi emosi Nun: Kembalikan Dia Semula. Kisah ini menunjukkan dilema seorang ibu yang terperangkap di antara rasa rindu yang tak tertanggung, prinsip moral yang dipegang, dan potensi teknologi yang mampu membawa kembali apa yang telah pergi selama lamanya.
Plotnya tidak hanya tertumpu pada emosi dan teknologi, tetapi juga menyelami keseluruhan jaringan kuasa yang kompleks. Sindiket, jenayah, kepentingan politik, dan individu yang memanipulasi sains demi mengaut keuntungan yang semuanya bertembung dalam sebuah permainan yang licik. Malangnya, dalam dunia ini dan dunia realiti, teknologi bukan lagi alat kemajuan semata, tetapi mata wang dalam rundingan kuasa.
Saya memang kagum dengan usaha penulis dalam membina dunia futuristik dalam Nun: Kembalikan Dia Semula. Nun bukan sekadar imaginasi, ketelitian Saku Zan dalam membina dunia ini membuat saya terasa seolah-olah dunia ini benar-benar wujud. Walaupun dunia yang digambarkan sarat dengan teknologi, mutasi dan konflik, ia tetap berpegang pada apa yang membuat kita seorang manusia iaitu roh, kasih sayang, perasaan kehilangan dan perjuangan untuk mempertahankan sesuatu yang kita rasa benar.
Antara buku yang mengajak kita untuk bersabar dengan karakter utama.
Buku ini menceritakan tentang kehidupan Nawa, seorang klon engineer yang telah menempa nama apabila berjaya membuat jantung tiruan buat ayah dia. Apabila ibu bapanya meninggal dunia, Nawa meneruskan kehidupan sebagai saintis di sebuah syarikat pencetakan anggota badan bersama rakannya. Suatu kejadian luar kawalan terjadi apabila laporan kajian Nawa diburu oleh organisasi bahaya dan telah meragut satu-satunya nyawa anak dia. Seterusnya kita akan mengikuti pahit manis kehidupan Nawa dalam menyembuhkan duka dan berdamai dengan takdir.
Buku ini mengingatkan aku tentang buku Cara Mengobati Patah Hati (Terjemahan Indonesia) bahawasanya setiap orang akan mengambil masa mereka yang tersendiri untuk sembuh dari duka. Meskipun dimata kita apa yang hilang adalah biasa sahaja tapi tidak buat mereka yang merasainya. Kematian itu adalah takdir yang pasti akan dilewati untuk setiap yang bernyawa tapi mereka yang ditinggalkan itu pasti mengalami kesedihan apa lagi bila ianya ambil dalam sekelip mata.
Ada beberapa tarikan utama dalam buku ini yang berjaya menawan hati antaranya:
1. Perjelasan isu klon di dalam Islam. Nawa pada awalnya adalah seorang yang sangat menentang klon tetapi kehilangan anak tunggalnya dan akses kepada teknologi baru menjadikan pendirian Nawa sendiri tergugat.
2. Keberjayaan dunia ciptaan penulis yang menjadi pencetus dan juga penghalang kepada pergerakan plot menjadikan ia bacaan yang penuh drama.
3. Perjalanan menyembuhkan kesedihan adalah tidak semudah yang kita sangka, Nawa menghadapi perlbagai perasaan skeptikal termasuklah sahabatnya sendiri hanya kerana mengambil jalan yang berbeza dari kebiasaan.
4. Orang yang terdekat dengan kita belum tentu memahami perasaan kita tapi ada juga dikalangan kita yang memahami atau pun cuba untuk memahami. Kita patut jadi lebih macam mereka.
Pendek kata, buku ini aku syorkan untuk mereka yang menyukai dunia sains fiksyen yang ringan, penuh emosi, drama dan keterujaan untuk menyelak helaian yang seterusnya. Selamat datang ke Pagoda, kota distopian yang menyimpan pelbagai suka duka penduduk nya.
Terima kasih kepada puan Penulis atas pemberian buku ini. Syabas!
Cerita ini adalah cerita science fiction pertama yang saya baca, ia membawa saya mengembara dengan kancah emosi bersama Nawa. Saya sangat suka dengan gambaran penulis tentang dunia yang dicipta beliau. Gambaran itu berjaya membuatkan suis imaginasi saya terbuka.Novel ini mengetengahkan cara untuk berdanai dengan takdir apabila kehilangan orang tersayang. Penulis telah memaparkan konteks pengklonan dengan cara yang berbeza dari perspektif seorang ibu. Jujur saya belajar banyak perkara dari kisah Nawa dan Ati. Terima kasih Saku Zan kerana menulis kisah ini.Terima kasih membawa saya ke dunia Mutinus.
Cerita ini mengisahkan kejadian yang berlaku sekitar 2107 di dalam sebuah negara yang bernama Ilex. Ilex pernah dihentam meteor sekitar tahun 2060-ish yang menyebabkan salah satu negerinya ditenggelami air. Negeri itu bernama Pagoda.
Setelah dihentam meteor, mereka mengalami masalah ikan mutasi yang merosakkan eko sistem, bernama San. Demi menghalang San, mereka membina bangunan cerucuk.
Kemudian muncul ikan mutasi yang lain yang bernama Nun yang memupuskan San. Manusia di bumi Pagoda ketika itu, tetap mengekalkan bangunan cerucuk untuk mengurung Nun pula. Mereka bimbang Nun boleh membawa kerosakan seperti San.
Tetapi, disebabkan perairan yang menenggelamkan Pagoda telah bercampur dengan bahan asing. Manusia yang tinggal di sana sentiasa mengalami kegagalan organ.
Kerajaan Pagoda telah menutup sebelah mata apabila 'rempah' telah dijadikan sebagai ubat kuat untuk memperkasakan rakyat Pagoda terutama yang bekerja sebagai penyelenggara bangunan cerucuk.
Mereka juga bercadang untuk membuat klon manusia sebagai tenaga buruh pakai buang.
Kisah ini menceritakan peperangan peribadi seorang saintis yang terhimpit dalam situasi negerinya.
Dia menolak teknologi pengklonan manusia, walaupun dia ialah seorang pakar dalam teknologi pengklonan organ.
Tetapi disebabkan mereka yang berkuasa telah membunuh anaknya dengan memberikannya kepada ikan Nun untuk dimakan.
Dia dilanda kesedihan yang melampau. Dalam usahanya untuk melarikan diri daripada kesedihan itu, dia telah menyalin genom anaknya untuk satu projek Avatar dengan harapan dia dapat berjumpa dengan 'anak' nya semula.
Tetapi, dia telah dilanda kemurungan apabila sahabat baiknya sendiri menghalau dia dan Avatar itu daripada hidup mereka.
Pada bahagian akhir cerita ini mengisahkan bagaimana saintis itu menangani kesedihannya dengan bantuan orang sekeliling dan Avatar yang telah diciptanya.
Dia kemudiannya kembali ke tempat asal untuk memerangi pula orang-orang yang telah berlaku zalim terhadap dirinya dan anaknya.
----------------------
Cerita ini ialah sebuah cerita sains fiksyen yang ringan. Ini kerana sains dan teknologi yang wujud di dalam penceritaan hanyalah sebagai latar cerita. Ia lebih menekankan usaha untuk keluar daripada kemurungan setelah menghadapi kematian orang yang tersayang secara mengejut.
Aku enjoy juga baca buku ni, walaupun pada awalnya ada banyak world building dan susah sedikit hendak empati kepada watak utama.
Aku mula empati bila dia mula cerita tentang suami dia dah tak balik rumah untuk tidur malam. Entah mana dia pergi merayap. Aku jadi lagi kasihan bila anak dia kene makan. Tapi lepastu ok lah, sebab dia dapat kawan baru yang macam bingai-bingai sikit tapi very the gentleman one.
Aku pun suka dia akhirnya dapat happy ending Dan ada satu kesedaran yang macam "eh?! La.. ye ke.." macam tu...
Overall, ok lah cerita dia, pass.
---------------
Tajuk: Nun-Kembalikan Dia Semula Jenis: novel Terbitan: Jejak Tarbiah Official Imprint: JIWA
This entire review has been hidden because of spoilers.
Novel ini berlatar masa sekitar tahun 2107 di sebuah negara bernama Ilex, yang pernah dihentam meteor sehingga sebahagian wilayahnya, Pagoda, tenggelam. Masyarakatnya hidup di atas menara, bergerak dengan pengangkutan terbang dan kasut berteknologi tinggi yang boleh berubah fungsi. Zaman itu, pengklonan organ dah menjadi lumrah tapi pengklonan manusia tetap dilarang keras, seorang saintis bernama Nawa berdepan tragedi sadis Tragedi ini yang kemudiannya membawa kepada rangkaian konflik - isu kekeluargaan, pengkhianatan, perebutan kuasa, dan dilema moral.
Seriously, sejauh mana manusia sanggup melanggar hukum demi cinta?. Kalau kau berada di tempat Nawa, apa yang akan kau lakukan? Itulah yang aku fikirkan usai pembacaan. Sehingga aku menyoal apakah undang - undang itu patut ada pengecualian terhadap situasi khas?
Runsing memikirkannya. Tak sangka buku Sci-fi pun agak menyentuh emosi ye.
Bahasa yang digunakan Saku Zan agak mudah diakses - adakalanya diselitkan juga istilah teknikal yang memberi nuansa futuristik. Deskripsi latar seperti menara Pagoda, pengangkutan terbang, dan teknologi kasut adaptif mempamerkan imaginasi yang segar, walaupun tidaklah secanggih yang aku harapkan sebab dah tahun 2100an, cuma ia realistik. Tapi kekuatan sebenar novel ini terletak pada keseimbangan antara dunia sains dan emosi manusia. Ada part yang aku rasa macam info-dump, tapi keseluruhan gaya penceritaan masih mengekalkan momentum dramatik dan visualisasi yang jelas.
All-in-all, aku rasa buku ini agak underrated tapi berani - sebab ia menggabungkan fiksyen sains dengan isu kemanusiaan yang relevan. Ia buat aku berimaginasi, berfikir dan beremosi.
Nawa, Atira, Ati, Alden dan ramai lagi. Banyak sangat nama orang dan nama tempat yang susah nak ingat untuk orang macam saya. Jadi, kurang sikit enjoy nak baca. Nak give up baca tapi teruskan jugak. Dan, tak rugi pon. Kalau guna nama yang lagi mudah, mungkin lagi senang dan smooth saya nak baca hehe. Best ja, tahniah.
Nun: Kembalikan Dia Semula membuka perspektif baharu saya terhadap genre sains fiksyen. Sebagai pembaca yang masih di peringkat awal menerokainya, novel ini membuktikan bahawa sci-fi bukan sekadar tentang teknologi atau masa hadapan, tetapi juga tentang emosi, kehilangan dan makna menjadi manusia.
Penggunaan Ikan Nun sebagai teras naratif terasa segar dan berani: satu gabungan mitologi laut dan sains moden yang dibina dengan meyakinkan. Dunia futuristiknya pula berpijak pada asas sains semasa, menjadikan teknologi seperti bioprinting organ, peranti neurologi dan AI terasa hampir dan munasabah, bukan sekadar fantasi.
Namun kekuatan sebenar novel ini terletak pada persoalan kemanusiaan yang diangkat: apabila tubuh, memori dan kecerdasan boleh ditiru, di manakah letaknya roh? Tanpa bersifat berat atau dogmatik, persoalan ini disampaikan melalui pengalaman duka, kehilangan dan usaha manusia untuk terus hidup. Novel ini mengingatkan bahawa teknologi boleh membantu merawat penderitaan, tetapi tidak pernah mampu menggantikan makna yang lahir daripada roh.
Beberapa dialog ringkas memberi kesan mendalam, khususnya ungkapan “Makan itu tandanya hidup”. Sederhana, namun sangat manusiawi. Secara keseluruhan, Nun berjaya mengimbangi sains futuristik, emosi dan etika dengan gaya penulisan yang ringkas tetapi berkesan.
Secara keseluruhan, novel Nun menawarkan keseimbangan: plot yang mantap, konflik dan drama yang tersusun, emosi yang mendalam, bahkan elemen sains futuristik yang realistik. Menariknya, teras agama juga hadir secara halus, misalnya melalui penolakan terhadap klon manusia dan watak utamanya, Nuha yang mengamalkan agamanya secara konsisten, tanpa perlu disampaikan sebagai dakwah terang-terangan.
Gaya penulisan straightforward, mudah difahami, tanpa deskripsi berlebihan, namun meninggalkan kesan mendalam. Setiap teknologi baru yang disebut mendorong pembaca untuk melakukan bacaan sampingan, menjadikan pengalaman membaca bukan sekadar hiburan, tetapi juga pembelajaran
**Nota tambahan: Latar belakang penulis sebagai Sarjana Sains dalam bidang sistem cerdas buatan jelas memberi kredibiliti dan keaslian pada novel ini. Beliau menulis dengan bekalan ilmu dan pengalaman yang tepat pada masanya, di era di mana AI sedang melonjak naik.
Saya menghabiskan novel ini dalam satu sesi tanpa henti, dan buat pertama kalinya, sebuah novel sains fiksyen membuatkan saya menangis.
Nun bukan sekadar kisah tentang teknologi dan masa depan, tetapi tentang jiwa dan kehilangan, yang menjadikannya sangat sesuai sebagai titik mula bagi pembaca yang masih ragu-ragu mendekati genre sains fiksyen. Truly a Masterpiece!