3 ⭐ untuk Kekal Jerman Menjadi Muslim.
Sebuah buku yang menghujahkan secara khusus kelompok Muslim Jerman, baik mualaf mahupun imigran serta bagaimana mereka menyuaipadankan agama kepercayaan mereka sebagai bangsa Jerman.
Kita sedia maklum, negara-negara Eropah kebanyakannya tidak mesra Muslim, masih terpalit rasa Islamofobia dalam kalangan bukan Muslim lantaran serangan 11 September 2001 lalu. Sungguhpun begitu, keperluan pekerjaan kelas bawahan memerlukan para Muslim imigran untuk memenuhi ruang-ruang jawatan tersebut, seterusnya membawa kepada perubahan wajah masyarakat yang dahulunya penuh dengan bangsa Eropah dan berkulit putih. Tak dinafikan, kaum Muslim telah pun bertapak di Jerman semenjak sebelum perang dunia lagi, namun setelah penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat, kehadiran mereka semakin jelas dirasakan.
Ada 5 bab yang berhujah dan berbincang berkenaan kedinamikan masyarakat Muslim di Jerman. Serasanya, aku boleh memahami situasi tersebut walaupun aku bukanlah orang Jerman, dan tidak pernah ke sana.
Kenapa aku berkata begini? Sebab aku rasa situasinya lebih kurang sama dengan mana-mana mualaf di Malaysia juga. Di mana, biasa kita mendengar apabila orang Cina atau pun India ingin memeluk Islam, mereka akan dikatakan masuk Melayu. Begitu jugalah dengan mualaf Jerman di sana. Mereka akan dianggap pengkhianat, seterusnya disisihkan daripada masyarakat kelas utama.
Selain itu, perbincangan mendalam berkenaan Muslim mualaf dan Muslim imigran di Jerman juga berhadapan dengan polemik yang sering aku dengar. Iaitu, Muslim mualaf adakalanya lebih dekat dengan ajaran Islam sebenar berbanding kelahiran Muslim. Ini lazim kita dengar kerana kebiasaannya, kelahiran Muslim sudah terbiasa dengan budaya dan adat setempat yang sudah dicampur aduk dengan agama, lalu menjadikan identiti Muslim mereka lebih kepada acuan tempatan atau bangsa.
Justeru itu, bagi kebanyakan Muslim mualaf di Jerman, ada yang tertarik kepada ajaran Salafi yang dikatakan lebih mengikuti ajaran Islam sebenar tanpa sebarang bidaah dan penambahan mengikut kebudayaan dan adat. Tambahan lagi, kelompok Muslim di Jerman adakalanya terikat dengan kekauman atau etnisiti mereka, oleh itu, berada bersama golongan Salafi yang tidak membeza-bezakan latarbelakang itu ternyata lebih ideal untuk kaum Muslim mualaf Jerman. Hal ini juga biasa kita dapati, apabila kelompok Muslim lebih senang bergaul dengan sesama negara mereka atau yang mempunyai persamaan bahasa. Contohnya, orang Turki sama Turki, orang Arab sama Arab dan orang Melayu sama Melayu.
Namun, penulis cenderung untuk lebih memfokuskan kepada perbandingan di antara Muslim mualaf dengan etnisiti Turki di dalam penulisannya ini. Kebanyakan hal, penulis kerap mengulang aspek negatif etnisiti Turki di Jerman berbanding Muslim mualaf. Tidak dinafikan, kelahiran Muslim tak semestinya benar-benar mengamalkan Islam, namun ia agak berat sebelah sekiranya perbandingan hanya dilakukan pada bangsa Turki sahaja, tanpa mengambil kira kaum imigran yang lain, contohnya Arab, Tunisia, Lebanon yang boleh sahaja ada di Jerman. Pada pendapatku, mungkin penulis tanpa sengaja telah memberat sebelah di dalam kajiannya ini dan lebih cenderung memandang kepada etnisiti Turki sahaja.
Tuntasnya, buku ini adalah bagus apabila kita melihat dari sudut pandang semangat kebangsaan sesebuah negara serta bagaimana menyesuaikan kepercayaan dan anutan agama dengan semangat perlembagaan umum. Namun, aku berasa ada eloknya jika penulis dapat meringkaskan lagi penulisannya agar lebih santai dan tidak terlalu kelihatan seperti tesis kajian. Ya benar, buku ini hasil kajian yang mendalam dan panjang, tetapi untuk terbitan awam, lebih cantik jika ianya tidak terlalu berat dan melewah.
Oh ya, teguran untuk penerbit dan editor, aku berharap buku ini dapat dikemaskini dengan lebih baik agar tiada typo, pengulangan perkataan atau tertinggal suatu huruf. Kerap kali aku membaca perkataan "di" tertinggal huruf "d" di awalnya, lalu hanya tinggal huruf "i". Bagiku, untuk buku ilmiah begini tak padan kalau ada kesalahan typo seperti itu.
Akhir sekali, buku ini sangat disarankan untuk mereka yang suka membaca bahan bacaan melibatkan kajian dan perbandingan agama.