“Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki melainkan wanita.” (HR al-Bukhari)
Pernahkah kita terfikir mengapa Nabi Muhammad SAW meninggalkan pesanan seperti di atas? Terukkah menjadi seorang wanita? Bagaimana untuk menjadi wanita terpelihara pada saat fitnah akhir zaman semakin memuncak?
Buku ‘Wanita Akhir Zaman’ ini menceritakan perjalanan dan layanan buruk masyarakat terhadap wanita sebelum kedatangan Islam dan bagaimana Islam memuliakan wanita setelah cahayanya hadir. Lebih menarik lagi, buku ini memaparkan cabaran-cabaran wanita Muslimah akhir zaman dalam menghadapi musuh Islam yang ingin menghancurkan dan meruntuhkan nilai agama dalam diri wanita.
Jom sama-sama kita telusuri perjalanan wanita akhir zaman ini!
Buku yang nipis (107 m/s), tapi penuh dengan peringatan / nasihat buat kita (wanita) di akhir zaman. Pesanan yang buatkan kita terbangun dari lena kerana pesona dunia. Buat kita tersentap, sebab leka dengan taburan keindahan palsu dunia.
Alhamdulillah, karya ini amat ringkas, tetapi cukup padat dalam memerihalkan persoalan berkaitan cabaran yang melanda manusia bergelar wanita pada akhir zaman ini.
Naskhah ini dimulai dengan beberapa contoh realiti ‘zaman kegelapan’ wanita sebelum kedatangan Islam; tentang bagaimana hina dan rendahnya taraf wanita pada masa itu, di samping diperlakukan dan diinjak dengan sesuka hati, sama ada di Asia mahupun di Eropah dan Barat.
Kemudian, saat hadirnya cahaya Islam menyinar, akhirnya wanita memperoleh pembelaan dan keadilan yang sewajarnya. Islam benar-benar menyelamatkan wanita dan meletakkan mereka di kedudukan yang cukup mulia.
Namun begitu, keadilan yang dibawa oleh Islam ini didengki oleh pihak-pihak yang memusuhi Islam. Mereka lalu sedaya upaya merosakkan Islam dengan tebaran racun-racun ideologi Barat dan fitnah ke atas wanita, misalnya melalui fesyen, filem, budaya kerja, dan budaya hidup, setelah mereka gagal menjatuhkan Islam melalui medan perang.
Natijahnya, sedikit demi sedikit, para wanita kita sudah mulai tercemar dan ternoda kembali; seolah-olah kembali pada zaman jahiliah dahulu, bahkan mungkin lebih teruk lagi.
Akhirnya, catatan buku ini ditutupi dengan pelan tindakan mengenai apa yang sepatutnya perlu dilakukan oleh para wanita kita, agar kesucian iman dan akidah kekal terpelihara, khususnya pada akhir zaman ini sebelum kembali bertemu Tuhan pada Hari Pengadilan.
Tahniah kepada barisan penulis dan penerbit atas penataan tinta yang cukup bernilai! Semoga Allah senantiasa memberkati kita serta melindungi kita daripada fitnah kehidupan dan kematian, amin.