Falsafah Kebangsaan Melayu karya Dr Burhanudin al-Helmy (1954) ini merupakan sebuah karya klasik berkaitan perjuangan menentang penjajahan di Alam Melayu. Buku ini hadir ketika wujudnya polemik antara jalur-jalur pemikiran dalam perjuangan kemerdekaan khususnya berkaitan Islam dan semangat kebangsaan Melayu.
Burhanuddin mengangkat tema anti-kolonial serta dengan jelas menggagaskan tentang perlunya memperkukuh keperibadian Melayu serta kepentingan untuk memelihara identiti dan kebudayaan Melayu dalam masyarakat majmuk.
Beliau juga menggagaskan bahawa konsep semangat kebangsaan Melayu tidak bercanggah dengan Islam. Beliau merujuk konsep asabiyyah seperti mana yang dikupas oleh Ibn Khaldun (m. 1406). Dalam erti kata lain, kebangsaan Melayu mesti sentiasa segar, kukuh dan kuat sebagai pemangkin gerakan pembebasan akan tetapi mestilah terus kekal dalam bingkai keIslaman.
Buku karya tokoh penting dalam sejarah kemerdekaan tanah air ini berasa begitu hidup dan segar sementelah ditulis beberapa tahun menjelang merdeka. Selepas menerangkan panjang lebar tentang asal-usul Melayu dan perkembangan bangsanya, beliau memberikan takrif kebangsaan menurut pandangan agama Islam sesuai dengan agama anutan anak peribumi Melayu. Setelah itu beliau meletakkan dasar falsafah kebangsaan Melayu sebanyak lima perkara dan menghuraikannya.
Buku ini membuka mata tentang harapan tokoh bangsa yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air, dan bagaimana beliau telah melihat sisi-sisi runcing yang boleh mengganggu-gugat penyemaian semangat kebangsaan ini. Beliau meminta agar orang Melayu mempertahankan tanah air ini dengan menyerap jiwa kebangsaan Melayu yang tulen berasaskan agama Islam. Beliau berpandangan bahawa semangat kebangsaan dan Islam itu tidak bertentangan, tetapi saling menyokong dan memperkuat, selagi mana tidak menyeleweng daripada keadilan dan prinsip agama.
Pesanan Burhanuddin al-Helmy kekal relevan pada hari ini, mungkin kita dapat menilai semula sejauh mana falsafah kebangsaan kita masih berpaksi kepada keadilan dan prinsip Islam, dan sejauh mana pula orang Melayu telah menggadaikannya demi perkara lain yang bukan untuk kepentingan negara.
Secara peribadi, saya tertarik dengan pemikiran Burhanuddin Al-Helmy kerana saya mempunyai talian kekeluargaan dengan beliau walaupun talian itu agak jauh. Arwah ayah saya selalu menyebutkan bahawa kami mempunyai "bau-bau bachang" dengan Burhanuddin Al-Helmy. Buku ini saya kira penting kerana ia menggambarkan pemikiran tokoh kebangsaan awal orang Melayu. Burhanuddin Al-Helmy dalam bukunya ini cuba memberi satu akar kepada idea kebangsaan Melayu. Di samping akar purba yang sudah sedia ada di Alam Melayu sejak zaman berzaman, idea kebangsaan Melayu Burhanuddin juga tidak dipisahkan dari asas-asas Islam. Bagi Burhanuddin Al-Helmy, idea kebangsaan Melayu itu selari dengan anjuran agama Islam.
Buku yang sangat penting untuk memahami apakah tunjang kepada semangat kebangsaan Melayu yang cuba dijelaskan oleh tokoh kemerdekaan kita, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Lebih menarik, buku ini dikarang selepas Perang Dunia Kedua dan sebelum pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, yang sedia maklum merupakan tempoh genting kepada pengisian asas dan pembentukan negara bangsa.