Hedonis. Begitu definisi kaum di negeri jauh itu. Landas hidup hanya untuk berseronok-seronok, bermewah-mewah, lazat, lazat, lazat. Berpantang arah tujuan, terlarang segala fikiran. Ya, aliran hedonisme menjunjung kelazatan dan puja-pujaan; emm... cita rasa, cita rasa!
40 remaja berwajah amat berseri-seri mengundang Sulaiman Hilmi yang bermata biru hijau berbalam, yang berwajah cahaya. Bersama mereka menunggang awan, memacu ombak menuju ke negeri jauh, membawa salam kesejahteraan. Demi menyahut panggilan Cinta. Menyerah buat dibakar api Cinta. Merawat duka rawan rindu kepada Cinta: Bahawa yang paling seronok, paling mewah, paling lazat ialah kelazatan menunaikan janji abadi: Bahawa Dia itu Satu. Tempat bergantungnya segala sesuatu. Tumpuan hidup dan mati dan hidup lagi sesudah mati.
Dia Sumber Cinta, Pencipta Segala Rasa.
.."Karya ini berjaya menarik perhatian panel apabila secara sinis menempelak gaya hendonisme anak muda yang tercemar akhlaknya lantaran asyik dengan hiburan yang bertentangan dengan Islam.
Karya ini merunut kehebatan kesenian Islam yang telah melahirkan tokoh-tokoh sufi dan falsafah selain menyerlahkan nama-nama seperti Ibnu Misjah, Ibnu Suraj, Ata Abi Rabah, Yunus Kateb, Ibnu Farabi, Ibnu Sina dan Yunus Emre.
Faisal juga berjaya mengolah naratif keseluruhan karyanya dengan memberi penegasan bahawa kesenian dan Islam bukanlah sesuatu yang terpisah daripada konsep keimanan."... -Mingguan Malaysia, 29 Mei 2005-
Dr Mohd Faizal Musa adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka. Beliau dikenali sebagai Faisal Tehrani.
Faisal Tehrani adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik dari Universiti Malaya (1998), Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (2000), Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2010). Dr Faisal bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau adalah bekas penyelaras Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) di ATMA, UKM sejak tahun 2013. Juga merupakan felo penyelidik bersekutu di Faculty of Regional Studies at the Al-Mustafa International Research Institute, Iran sejak Mac 2011. Beliau turut menjadi penasihat kepada Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) bagi rantau Asia Tenggara. Sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu bidang kajian beliau ialah mengenai Minoriti Syiah di alam Melayu. Penyelidikan beliau tersebut berdaftar dengan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UKM dengan kod GGPM-2011-062. Kepakaran beliau diiktiraf oleh Front Line Defenders (FLD), sebuah badan dengan status khas di United Nation iaitu Consultative Status with Economic and Social Council of the United Nations. FLD diketuai oleh sebuah kounsel yang dianggotai oleh Archbishop Desmond Tutu, Mr Robert Badinter, Dr Hanan Ashrawi, Bono, Indai Lourdes Sajor, Mr Adolfo Perez Esquivel, dan His Holiness the Dalai Lama. Beliau juga adalah felo World Public Forum: Rhodes Forum yang dianggotai oleh sarjana besar dari seluruh dunia. Badan ini adalah sebuah badan keanggotaan yang menggalakkan kepada dialog antara peradaban. Anggota lain dari Malaysia ialah Dr Chandra Muzaffar dan Profesor Dr Syed Farid Alatas. Dalam tahun 2013, Dr Mohd Faizal Musa menerima geran penyelidikan FRGS Fasa 2/2013 untuk mengkaji mengenai hak asasi manusia yang terkandung dalam sastera Melayu. Kod kajian beliau adalah FRGS/2/2013/SS03/UKM/03/2.
Dalam bidang penulisan, antara novel beliau yang telah diterbitkan adalah Cinta Hari-hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000), ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Juga Perempuan Politikus Melayu oleh Penerbitan Pemuda (2000). Ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Selain itu 1515 oleh diterbitkan Utusan Publications and Distributor (2003). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2002. Novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 (untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu). 1515 turut dijadikan teks bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universiti Cologne, Jerman. Pada tahun 2011, 1515 diterjemah dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara. Karya lain termasuklah Maaf Dari Sorga, novel pertama dalam pembikinan tetapi hanya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Zebra Publications; Rahsia Ummi yang diterbitkan oleh Zebra Publications 2003. Dalam pada itu terdapat juga Tunggu Teduh Dulu yang disirikan di ruangan agama Utusan Malaysia dan tamat pada Disember 2003. Novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Se-lain (2004) dan Ameen Publishing (2008). Sebuah lagi novel beliau yang terkenal adalah 1511H Kombat oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003; dan Advencer Si Peniup Ney oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Sebuah novel remaja awal yang turut digemari ramai adalah Detektif Indigo oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Dalam pada itu sebuah novel sejarah turut dikarang tahun berikutnya, iaitu Surat-surat Perempuan Johor oleh Yayasan Warisan Johor (2005). Ia memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1. Turut dihasilkan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson oleh Utusan P
Novel ini memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 (Kategori Novel Remaja). Ia sebuah karya yang menggabungkan unsur dakwah, kesenian Islam, dan falsafah sufi dalam bentuk yang mudah diakses dan difahami - ditulis dalam konteks kritik sosial terhadap budaya hedonisme yang melanda generasi muda, khususnya dalam era awal 2000an yang menyaksikan kemunculan fenomena reality shows seperti Akademi Fantasia dan Malaysian Idol. Tuan Faisal Tehrani aku rasa cuba menggunakan pendekatan alegori dan fantasi untuk menempelak budaya hiburan yang melalaikan, sambil menawarkan alternatif spiritual dan intelektual melalui seni Islam.
Ia mengisahkan Sulaiman Hilmi, seorang pemuda belasan tahun yang hafiz al-Quran, yang secara misteri dipilih oleh sekumpulan 40 jin remaja berjubah putih untuk memimpin dorang dalam misi menyelamatkan bangsa jin daripada kehancuran spiritual. Jin - jin ini berasal dari Negeri Fantasia, sebuah tempat yang tenggelam dalam hedonisme, kelalaian, dan kehilangan arah.
Sulaiman, bersenjatakan ilmu, keyakinan, dan seni muzik spiritual yang dikenali sebagai Souti Sarmad, memulakan pengembaraan mistik yang penuh cabaran. Dalam perjalanan ini, dia bukan sahaja berdepan dengan tipu daya dan hiburan yang melalaikan, tetapi juga diuji keimanannya, keikhlasannya, dan kefahaman terhadap makna sebenar kehidupan dan cinta kepada Tuhan.
40 jin remaja ni bukanlah antagonis sebenarnya, dorang ni entiti yang sedang mencari cahaya. Watak - watak ini mewakili generasi muda yang terperangkap dalam dunia hiburan dan kelalaian, tetapi masih ada harapan untuk berubah.
Aku cukup suka gaya bahasa Tuan FT pada awal pembabitannya dalam dunia penulisan. Beliau menulis dengan gaya allegorikal, puitis dan penuh simbolisme. Satu kelainan beliau ialah naratifnya banyak menggabungkan unsur sufi, falsafah Islam, dan mitos Timur Tengah dengan gaya penulisan moden yang mengalir lancar. Bahasa yang digunakan adalakalanya agak eksperimental, tapi sentiasa berpijak pada akar tradisi sastera Islam.
Pengenalan kepasa Souti Sarmad dan gambaran dunia jin dalam novel ini bagi aku cukup unik dan berlapis - lapis maknanya – sesuai untuk pembaca yang gemar menafsir dan merenung. Dan melalui sedikit research yang aku buat, Ney ni adalah sejenis seruling sufi - sejenis alat muzik simbolik kepada suara hati yang merindui Tuhan. .
Cuma novel ini menuntut pembacaan yang perlahan dan reflektif, sebab simbolismenya amat padat. Pembacaan kali pertama aku menemui jalan buntu - tidak sehingga aku bergelumang dengan karya - karyanya - membiasakan diri dengan sufisme atau alegori, barulah naratif ini terasa jelas dan boleh aku relate.
Novel ini adalah antara novel tuan FT kegemaran aku.
Ilmu untuk dikongsikan: 1. Tokoh - tokoh besar seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, dan Yunus Emre adalah tokoh - tokoh Islam yang juga ahli muzik dan falsafah. 2. Islam tak terpisah dengan seni, malah seni yang benar dapat membawa manusia lebih dekat kepada Tuhan. 3. Tuan FT menulis dalam gaya yang sengaja sinis dan menyindir, dengan babak - babak yang jelas menyasarkan budaya popular kontemporari. Contohnya, konsert “Fantasia” dalam novel ini secara terang - terangan menyindir program realiti TV yang memuja suara dan rupa tanpa nilai spiritual.
Novel ini adalah meditasi spiritual yang menyentuh persoalan besar tentang iman, seni, dan tanggungjawab. Adakah ini novel yang sesuai dibaca golongan remaja? Yes, tapi mingkin sedikit terlalu deep.
Tuan FT jarang menulis untuk memanjakan, tapi untuk mencabar – dan dalam cabaran itulah sastera sekali lagi menjadi hidup.
Dalam dunia sekarang yang penuh kelalaian, adakah kita masih mampu mendengar suara ney yang memanggil kita pulang?
Dari sejarah, hak kesamarataan, kini membawa kepada kisah tentang muzik, Faisal Tehrani tidak pernah putus memberikan pembaca limpahan ilmu yang berguna. Untuk kali ini, penulis menjadikan muzik sebagai pembangun cerita. Namun, ia bukanlah tentang kisah ahli muzik seperti kebanyakan buku. Ini tentang kisah bagaimana dengan seni muzik kita mampu menerapkan rasa cinta dan ingat pada Tuhan.
Melalui watak Sulaiman, kita akan mengenal bagaimana muzik itu sebenarnya tidak haram akan tetapi isi yang ada pada muzik itu sehingga melalaikan pendengar membuatkan elemen muzik dipertikai oleh ramai pihak.
Kesimpulannya, buku ini bukan hanya sekadar bercerita tentang dakwah Sulaiman, akan tetapi terselit ilmu dan ayat al-Quran yang mampu membuka hati pembaca untuk kita sentiasa mengingat Tuhan. Tahniah buat penulis.
Tulisannya lebih santai berbanding 1511H [Kombat], novel yang telah juga memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003. Sinis dan menusuk hati sekiranya anda adalah peminat fanatik Akademi Fantasia atau Malaysian Idol atau yang seangkatan dengannya.
Saya paling suka deskripsi konsert Fantasia dalam bab 8. Faisal pandai menggunakan penulisan menempelak segala macam aspek yang selalu ditontoni dalam konsert mingguan Akademi Fantasia atau konsert Malaysian Idol. Sungguh berhias katanya menjunam tepat apabila diciptakan 3 hakim (kebetulan?) dan komen-komen yang memang melucukan daripada 3 hakim itu.
Contohnya: "Awak ni pesona bintang, pesona awan, best." "Pitching tak kena di sana sini. Patutnya masa zindagi o itu awak lebih tarik suara dan tahan di perut, ini tidak."
Pernah dengar ayat-ayat di atas? Sinis kan? Tamparan hebat buat mereka yang fanatik budaya hedonisme.
Lalu Faisal memperkenalkan Ustaz Sulaiman Hilmi Kamal untuk memperkenalkan konsep keagamaan di dalam budaya muzik. Sungguh tergumam jadinya apabila saya dapat tahu nota muzik Barat do-re-mi adalah daripada tulisan pemikir Islam. Rupanya orang Barat menciplak bulat-bulat seni muzik Islam!
Lalu di dalam buku ini, saya mengenali tokoh-tokoh Islam yang memperkenalkan konsep muzik dalam Islam. Tak tersangkakan Ibnu Sina dan al-Farabi adalah pakar muzik Islam. Sungguh sampai terbeliak biji mata!
Souti sarmad pula diperkenalkan oleh Ustaz Sulaiman. Jin bertindik satu menempelak: Siti Nurhaliza atau M Nasir pun tidak memperkenalkan genre ini, adakah ianya world music?
Saya pernah terbaca di dalam satu majalah bahawa tarian berpusing yang dilakukan oleh orang Turki untuk menunjukkan kecintaan terhadap Allah disertai zikir dan tasbih. Tak tersangkakan Faisal boleh menerapkannya dalam persembahan Ustaz Sulaiman dan rakan-rakannya itu.
Panjang lagi ceritanya.. sungguh! Kalau mahu ditelusuri, cerita Yusuf a.s. dan Zulaikha pun diselitkan. Malahan cerita berdakwah kepada penduduk di dalam laut pun ada!
Saya? Saya berharap buku ini dibaca agar mereka yang mengagungkan budaya hedonisme sedar akan tanggungjawab mereka bahawa kelazatan muzik itu adalah kerana Allah Yang Satu. Pendekatan yang sangat menarik untuk belia kita.
Rasa macam baca buku fantasi, setanding buku antarabangsa hebatnya.
Ke manalah perginya orang-orang bahasa jika bercakap tentang penulisan Melayu yang sedap, elok dan patut dibaca. Buku Advencer Si Peniup Ney ini, patut dijadikan bacaan utama sekolah. Sampai saya terfikir, kenapa tidak dikupas buku ini sewaktu saya sekolah dahulu?
Saya sangat suka gaya penulisan Faisal Tehrani. Saya diberi peluang untuk membaca beberapa buah buku beliau, dan setiap satunya punyai keunikan tersendiri. Dan untuk Advencer Si Peniup Ney, kita disajikan kisah Sulaiman yang merupakan seorang pendakwah muda berkelana ke negeri yang tidak terjangkau dek mata.
Ketika membaca buku ini, saya ibarat seorang pendengar yang mendengar cerita penglipur lara. Ada suatu suara yang sedang menuntun saya mengikuti kisah Sulaiman. Pengembaraan Sulaiman diolah mengikut rencah tersendiri, terselit juga kesamaan kisah Sulaiman dan juga kisah para nabi. Oh, iya, buku ini juga berkisah tentang muzik.
Ini, bila bercakap tentang muzik saya perlu akui, saya cumalah orang awam yang baru mendengar beberapa istilah baharu. Dan banyak juga unsur sufism yang disentuh di dalam buku ini, maka saya ambil jalan mudah untuk membaca dan menelaah. Perihal agama dan muzik ini, saya serahkan kepada pihak yang lebih berautoriti untuk kupas dan jelaskan.
Terasa seperti diawang-awangan dan di lautan sepanjang misi Ustaz Sulaiman dan juga rakan-rakannya. Banyak kritikan yang dibawa dan disoal oleh penulis, terutamanya perihal remaja. Muzik dan remaja begitu dekat rencamnya, mungkin sudah sebati dalam diri seseorang dan untuk meleraikan ikatan ini bukan mudah.
Terima kasih JIWA kerana terbitkan semula buku ini Advencer Si Peniup Ney , sebagai generasi baharu yang baru hendak mengenal Faisal Tehrani saya sangat sukakan usaha ini.
Kita mesti bawa mereka kembali kepada Al-Quran. Tanamkan dan kuatkan semula tunjang akidah, iaitu keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya, dan bersihkan akhlak, kerana Rasulullah itu diutus supaya akhlaknya diperhatikan dan diikuti.
Ahh... buku ini sangat indah dan menyenangkan bila dibaca. Sebab tu setelah aku baca Detektif Indigo, aku kata dia ni layak menjadi sasterawan negara (kalau tiada kontroversi) tetapi setelah membaca buku ini, ya, dia memang sudah menjadi sasterawan negara dalam hati peminat2nya.
Adakah buku ini parodi? Tentang kegilaan rakyat Malaysia yang memuja2 penyanyi melebihi ilmuan. Cuma FT dalamkan lagi perihal nyanyian itu bukan hanya menjerit2 menyalak, tetapi seni nyanyian itu yang aku rasa penyanyi popular arus perdana tempatan pun tak tahu. Banyak ilmu pasal muzik kau boleh dapat dari buku ni disamping perihal agama. Kisah dakwah manusia kepada jin yang leka dengan dunia hiburan.
Dunia dia sangat menarik. Dunia jin Islam dan jin kafir yang tinggal di awang-awangan. Selain itu, ada juga dunia bawah laut.
Ceritanya pula ada unsur kisah Nabi Yusuf AS dan Zulaikha. Namun yang bezanya, dalam novel ini jin yang nakkan manusia. Bukan manusia yang nakkan manusia. Jin betina menggeletis nakkan manusia bernama Sulaiman.
Pembaca target novel ini ialah remaja. Oleh itu, kurang seronok sikit untuk mak cik seperti saya yang berumur 30 tahun ini. Tapi baguslah novel ini. Boleh dibeli untuk dijadikan koleksi untuk anak-anak baca di rumah.
Akhirnya dapat juga Novel FT yang Nisa idam-idamkan...
Kisah pengembaraan Ustaz Sulaiman Hilmi ke dunia Jin. Penceritaan bermula, apabila 40 ekor jin datang bertemu Ustaz Kamil meminta izin, membenarkan anaknya, Ustaz Sulaiman menyertai pengembaraan yang panjang ke dunia jin, Negeri Fantasia yang telah hanyut dengan fahaman hendonisme. Negeri Fantasia diperintah oleh Jin Bertindik Satu yang mahu semua rakyatnya hidup dengan pelbagai hiburan yang melampau dan terus alpa dengan keseronokkan duniawi. Saban minggu, sebuah konsert nyanyian yang mencari bakat baru disuakan kepada muda mudi jin merah.
40 ekor jin Islam meminta Ustaz Sulaiman membantu mereka mengembalikan akidah remaja jin merah supaya mereka kembali mengenal Penciptanya. Bagi memastikan misi tersebut berjaya, Ustaz Sulaiman dan 40 ekor jin menemui Jin Bertindik Satu bagi memperkenalkan satu cabang muzik baru bernama souti sarmad kepada para remaja jin merah. Jin Bertindik Satu menerima dalam ragu, lantas meminta Ustaz Sulaiman mempersembahkan muzik tersebut ketika konsert nyanyian mingguan. Jika mereka gagal membuat para remaja mabuk dengan muzik mereka, mereka akan dihumban ke daerah bersalji dan dibiarkan terbelenggu di situ sehingga kiamat.
Tiba malam persembahan, ternyata Ustaz sulaiman dan 40 ekor jin berjaya mempersembahkan persembahan luar biasa sehingga siapa sahaja yang melihatnya terpukau, sambil Ustaz Sulaiman meniup ney (sejenis alat muzik seperti seruling) 40 ekor jin duduk mengelilingi Ustaz Sulaiman sambil memuji-muji kebesaran Tuhan yang Esa.
Jin Bertindik satu meminta Ustaz Sulaiman menjadi guru vokal puterinya yang cantik jelita, Puteri Simone Sidharra. Namun Puteri Simone Sidharra mempunyai agenda tersendiri kerana telah terpikat dengan wajah tampan Ustaz Sulaiman. Ustaz Sulaiman di penjara kerana sebuah fitnah tanpa diketaui oleh 40 ekor jin dan Ustaz Sulaiman redha menerima ujian...
Pengembaraan Ustaz Sulaiman dan 40 ekor jin bukan hanya setakat mengembara ke Negeri Fantasia sahaja, mereka turut mengislamkan jin2 di Negeri Samudera Suran ketika dalam perjalan pulang.
Kisah Advencer Si Peniup Ney ini persis kisah nabi Sulaiman yang bersahabat dengan Jin dan Nabi Yusoff. Apabila tiba babak Negeri Fantasia dilanda musibah... dirempuh pesawang Boeing, membuatkan Nisa tersenyum sorang2 (memang kelakar)hehehe..
Ini kisah dunia hiburan. Dunia hiburan yang penuh dengan lagha dan tipu daya. Kisah pengembaraan atau advencer Sulaiman Hilmi di negeri Fantasia. Negeri di atas awan yang diperintah jin bertiindik satu.
Siapa sangka pengembaraan Sulaiman pergi ke alam ghaib? Aku ingat pengembaraan dia jumpa orang je sekali pergi dakwah ke alam jin. Menarik sekali plot dan aku nampak ada penulis lain pun guna konsep ni 👀
Padu-padu dalil yang diberikan. Rasa macam baca buku dakwah. Ilmu tentang asal usul muzik dan perkara yang berkaitan dengannya, baru aku tahu. Sema, ini buat aku nak pergi sendiri negara tu dan lihat.
Novel yang menginspirasi, buat pembaca rasa didengari, semua persoalan dijawab. Yup, akan marathon buku FT lagi regardless what people say.
karya yang sungguh luar biasa. tiap-tiap jalan cerita dilengkapi dengan potongan ayat Al-Quran yg secara tidak langsung mendukung fakta, menguatkan lagi keyakinan para pembaca.
Membaca kisah pengembaraan di dunia jin ini, bagai 'dekat di hati'. :) Sesuai untuk semua; si anak, ibu bapa, kakak atau sanak-saudara yang mahu mengerti akan dakyah hedonisme dan menjadikan kita bukan sebahagian daripada mereka.
Dalam kekalutan yang melanda dunia, perhatikanlah anak mudanya. Dengan bangsa yang anak muda yang semakin hebat mengejar cita-cita tak kira apa juang bidang, mereka menerpa mencari ruang dan luang dalam bidang yang menyediakan sejuta lubang dan emas yang menyilau nampaknya.
Hedonisme; topik intipati ditulis dengan cara sungguh ironi lagi sinikal tepat menggambarkan budaya semasa yang dikritik halus. Penyelesaiannya juga dicadangan dengan cara yang halus dalam naratifnya kisah pengembaraan ini.
Asasnya penulis tetap pulang kepada Allah sebagai 'jalan pulang' dan cara Islam sebagai jalan penyelesaian yang menyediakan alternatif serta meredakan kegilaan anak muda terhadap hiburan terlampau (hedonisme).
Bacaan yang santai berulam sinis dan kelucuan bagi saya. Genre apa ya buku ni? Fantasi atau fiksyen sains atau mungkin juga falsafah ringan? Yang pasti heavy satire. Kisah pengembaraan Ustaz Sulaiman ke dunia jin di atas angin (di sebalik kepulan awan) dan dunia jin lautan dalam. Menarik. Mengenai ketaksuban muda mudi (dan yang bukan muda juga) di alam bernama Fantasia terhadap performances yang tak ada nilai kerohanian, saya setuju benar. Kelakar juga bila ada nama-nama penghibur popular (bertaraf sifu kot) Malaysia turut disebut si raja Jin Bertindik Satu. Dua daripadanya saya pun minat, yang seorang lagi tu saya tak berapa berkenan haha. Nice read.
Betul kata kawan, sedikit kurang umph kerana saya lambat membaca buku ini melewati demam akademi fantasia terutamanya semasa zaman kegemilangan mawi. Saya pernah terfikir, FT mempunyai kekurangan bakat dalam memasukkan unsur humor bagi penulisannya. Tetapi buku ini telah membetulkan pandangan saya terhadap FT. Sindiran sinis dan humor benar2 menjadi dalam buku ini. akan mengulas lebih lanjut dalam blog. kalau rajin.
Mungkin tidak keterlaluan aku mengatakan tulisan FT ini sebuah satira untuk bersikap sinis kepada masyarakat yang meminati musik secara mengkhinzir buta.
Al-Farabi, Al-Kindi sebelum aku membaca novel ini, aku tahu mereka adalah salah seorang penemu musik terapi untuk kesihatan.
Seperti biasa, karya FT tidak mengecewakan. Bila dibaca novel ini, rasa tenang. Sebab ada pengaruh sufisme dalam tulisannya kali ini. Walaupun tidak mendengar musiknya, tapi aku dapat feel.
ini adalah karya Faisal Tehrani yang pertama aku baca. beliau menyuntikkan elemen elemen dakwah secara tidak langsung. pengembaraan ustaz sulaiman ke negeri Fantasia membuatkan aku mengingat semula betapa fanatiknya rakyat malaysia terhadap program realiti yang wujud. buku ini membuatkan aku ingin membaca karya Faisal Tehrani yang lain.
Sepertimana suara puteri Simone Sidharra yang lemak-lemak manis itu, maka seperti itulah rasanya saya membaca tulisan FT kali ini. Aaaahhhh (sambil menerpa awan kumulus membasahi muka) nyaman sekali~ 🤤🥹 Cita rasa, cita rasa!
Aku beli buku ini waktu jualan gudang Utusan Publications pada tahun 2019 setelah pembubaran Utusan waktu itu, di mana buku ni kukira terlalu murah dan hanya berbekalkan sinopsis, lalu ambil sahaja.
2022 baru aku baca. Sungguh, karya ini baik sekali. Karya Faisal Tehrani ini merupakan sebuah satira terhadap dunia hiburan masa kini. Namun, karya ini memberi kita anjakan untuk berfikir tentang halal haram dunia hiburan, bagaimana kita hendak menimbangkan hiburan masa kini dengan agama Islam, dimana batas antara hak dan batil. Tak kurang juga tentang perbezaan pandangan ulama dan mazhab serta memberi kita pengetahuan asas sufi dan sema.
Karya ini dengan terang menyuruh kita sendiri lebih memahami dan mendalami apa yang telah diperkenalkan dalam cerita ini. Sedikit sebanyak, identiti penulis terserlah seperti karyanya Tuhan Manusia tetapi aku fikir seperti ada inspirasi dari karya Abdullah Hussain, Masuk ke Dalam Cahaya (sebuah karya agung Pak Lah menurut aku). Termasuklah suntikan dari Al-Quran melalui Surah Yusuf.
Kekurangan dari karya ini adalah dari bahagian kedua di mana pengembaraan diteruskan ke tempat lain. Pengembaraan kedua terlalu pendek dan tidak banyak penyampaian. Mungkin kekurangan ide atau asalnya mahu membuat sekuel? Tidak pasti. Ada beberapa isu yang mahu disampaikan, tetapi tidak sebaik penyampaian bahagian pertama.
Walaubagaimanapun, aku tetap suka karya ini. Seperti juga aku suka karya Tuhan Manusia. Justeru, pada sesiapa yang suka karya ini, aku rekomen baca karya Abdullah Hussain Masuk ke Dalam Cahaya.
Pengalaman Ustaz Sulaiman anak kepada Ustaz Kamal mengembara ke alam jin bersama 40 ekor jin berjubah putih dan berkopiah biru gelap. "Sesungguhnya rasullah S.A.W elah didatangkan untuk berdakwah kepada jin dan mausia."Misi mereka untuk berdakwah kepada bangsa jin yang lalai, menjalani kehidupan berpandukan fahaman hedonisme dan hanya mengejar keseronokan duniawi sahaja. Pengalaman Ustaz Sulaiman bertemu jin bertindik satu dan anak perempuan Puteri Simone Sidharra dan berakhir dengan pengislaman sang puteri. Pengembaraan diteruskan ke negeri samudera suran di dasar laut. Merawat Maharaja Tenggiri yang sedang sakit dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan berdakwah kepada bangsa jin tersebut yang tidak mempunyai pegangan agama. Setelah kesemua dari bangsa jin tersebut telah memeluk islam Ustaz Sulaiman meminta kepada rakan jin beliau untuk kembali ke pangkuan keluarganya di alam nyata. Pengalaman berdakwah telah diceritakan oleh Ustaz Sulaiman di alam jin telah dikongsikan bersama-sama anak-anak muridnya.
Naskah ini sememangnya memberi sebuah titik pandang yang baru buat saya terhadap kehidupan kita pada hari ini. Faisal Tehrani berjaya memukau pembaca dengan bahasanya yang disusun satu persatu dengan indah dan penuh makna, ayatnya sangat menusuk ke kalbu dan penuh dengan sindiran untuk dijadikan pengajaran serta pedoman para pembaca.
Buku ini mengisahkan tentang 40 orang remaja yang menjemput seorang pemuda bernama Sulaiman untuk mengemudi bahtera dakwah bagi negeri-negeri yang penuh dengan sifat cinta akan hiburan. Unsur agama tetap dititipkan dalam setiap pemilihan perkataan agar mesej yang disampaikan tepat menuju ke hati para pembaca.
Satu demi satu pengorbanan yang dibuat untuk memastikan bahtera tersebut masih kekal di lautan dan tidak tenggelam dek beratnya penduduk yang sunguh-sungguh mencintai alam hiburan dan muzik. Mereka alpa dengan Sang Pencipta yang mewujudkan bunyi, mencipta melodi dan menghadirkan ketenangan bagi setiap nafas zikir yang dialunkan.
Membaca karya faisal tehrani pastinya memerlukan tumpuan sepenuhnya disebabkan beliau seorang yang sangat details apabila bercerita. Apa yang best tentang novel ini adalah penggunaan laras bahasa yang tinggi tapi dalam masa yang sama mudah difahami. Penceritaannya direct to the point dan permulaan cerita tentang sekumpulan jin dan manusia pastinya menarik perhatian pembaca dari awal lagi disamping beberapa humour dimasukkan dalam cerita. Dalam masa yang sama, penulis bijak mengetengahkan kaitan antara tarikat sufi (seperti tarikat chistiyyah) dengan muzik dan menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang muzik.
Apa yang saya kurang suka tentang buku ini adalah jalan cerita yang bagu saya terlalu straightforward, tidak ada rasa unsur ghairah untuk lebih tahu tentang cerita tersebut dan disebabkan jalan cerita dengan kisah yang disampaikan dlama Al Quran, jadi kisahnya sangat predictable.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Tentang Ustaz Sulaiman dan perjalanannya ke negara Fantasia yang dihuni oleh jin. Tujuan utama beliau ke sana untuk menghentikan budaya hedonisme yang dianuti oleh penduduk di situ melalui muzik. Advencer beliau diselang seli dengan pengajaran dan diselitkan dengan ayat Al Quran. Ada unsur unsur sindiran dan juga jenaka. Siapa sahaja lah yang minum susu paus? Lol. Ada diselitkan juga sedikit kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Adakah saya bersedia untuk advencer seterusnya? Tentu sekali!
Tingginya ilmu dalam buku ni. Mengisahkan pengembaraan Sulaiman yg di jemput ke Negeri Fantasia untuk membawa jin2 ke jalan benar. Jin2 di sini sangat mengangungkan musik. Banyak bahasa musik dan hadis serta petikan al Quran dalam buku ni. Kalau Dr Faisal boleh letakkan maksud perkataan italic dkt footer mayb lagi lancar pembacaan. Rasanya 90% dari isi buku ni semua nya ilmu berbanding cerita fiksyen. Macam baca journal pun ada. Best!
Pertama kali membaca karya Faisal Tehrani. Lenggok bahasa yg indah & puitis membuatkan aku terbuai-buai saat membaca karya ini. Pengembaraan Ustaz Sulaiman ke negeri Jin bersama-sama 40 pemuda jin sangat menarik & mengandungi banyak pengajaran dan nasihat sinis buat kita semua. Menarik dan sukar dilepaskan apabila sudah mula membaca. Pasti akan cari karya FT yg lain selepas ini. 😊
Ini buku Faisal Tehrani pertama saya. Mula membacanya 22 Januari lalu. Agak mengambil masa kerana kisahnya tidak berapa page-turner bagi saya. Kisah yang saya kira sedang-sedang sahaja, namun mesejnya sarat. Saya bagi 5 bintang untuk mesejnya.
FT jarang mengecewakan. Sangat suka bagaimana FT mengangkat watak Sulaiman sebagai seorang yang berilmu luas serta tulus akhlaknya. Cerita kisah nabi Yusuf juga dapat dilihat dalam kisah ini cuma dalam watak Sulaiman.
This entire review has been hidden because of spoilers.
DNF at page 74. Saya rasa susah nak teruskan pembacaan buku ini. Tak pasti kenapa mungkin sebab dah lama tak baca buku sastera agaknya.Buku ini saya pinjam dari perpustakaan jadi kena pulangkan.Mungkin saya akan cuba balik baca buku ini lain kali.