Naskhah ini telah saya peroleh secara percuma ketika menjadi jawatankuasa “Konvensyen MAWAR 2.0 – Manifestasi Wanita Realistik” anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) di EDC Hotel Kuala Lumpur pada tahun lalu.
(Jangan tanya saya macam mana boleh jadi AJK untuk program yang menyasarkan peserta muslimat, lol.)
Namun begitu, biasalah, bak kata orang, benda yang kita dapat secara gratis ini selalunya memang jarang sekali untuk kita hargainya betul-betul. Teruk betul saya.
Selepas membelek dan menelaah helaian karya tersebut satu persatu, Masya-Allah, ternyata buku mini ini bukan sebarangan buku; kandungan isinya membuatkan pandangan saya terhadap konsep rezeki berubah 180 darjah!
Melalui nama tajuknya sahaja sudah cukup memberikan gambaran umum bahawa hakikatnya, rezeki itu amat mudah sekali untuk ‘dijemput’, bukan sekadar ‘dicari’ semata-mata.
‘Ya Allah, kenapa begitu lalai sekali aku dalam memahami rezeki pemberian-Mu...’
Saya jadi sebak, terutamanya apabila sampai di bab yang bercerita mengenai sedekah.
Kisah ajaibnya sedekah ini memang acapkali kita dengar dari mana-mana sumber, namun berapa ramai antara kita yang benar-benar meyakini dan memaknai hakikat sedekah ini?
Di samping bisa menjemput rezeki, sedekah juga ‘berkuasa’ dalam menjadi sebab tertolaknya bala daripada menimpa ke atas diri kita.
Begitulah teman-teman, rezeki Allah sememangnya bersifat ‘misteri’.
Rezeki itu bukan semata-mata soal harta atau wang ringgit. Boleh jadi, rezeki itu hadir melalui kesihatan yang baik, keluarga dan anak-anak yang soleh, kefahaman dalam ilmu, atau kelapangan masa untuk banyak berbuat amal kebajikan yang lain.
Paling penting, kekalkanlah hubungan baik selalu dengan Allah selaku Maha Pemberi rezeki.
Usah terlalu sibuk dengan usaha mencari rezeki sehingga terlupa dari mana punca kuasa rezeki itu tiba.
Insya-Allah, rezeki Allah tidak akan pernah salah alamat, dan setiap makhluk Allah sudah pun tersedia kantung rezeki masing-masing untuknya.
Tinggal lagi kita bagi mencari dan menjemput rezeki itu untuk hadir ke dalam dakapan kita dengan sebaik-baik kehadiran.