'Kesulitan suka memberi jalan keluar sewaktu seseorang terjatuh ke anak tangan paling bawah dalam rumah kehidupan. Dengan cara itu, dia akan menghargai tempat-tempat tinggi yang pernah dijejakinya dengan sekelip mata suatu ketika dahulu.'
Dukana bermaksud nafsu yang tinggi. Jadi mesej utama buku ini adalah berkaitan nafsu. Lebih spesifik lagi nafsu orang yang berkuasa iaitu ahli politik dalam mengaut harta pribumi di sebuah pekan kecil dinamakan Adinda di Sabah. Watak-watak anak muda seperti Ramli, Jasni & Mastura bergelut dengan cita-cita dan impian masing-masing untuk keluar dari kancah kemiskinan di Adinda dan berhijrah ke bandar seperti Kota Kinabalu demi kemajuan ekonomi yang lebih baik dan cerah. Masa lalu ibu bapa mereka iaitu Ramlah, Rubiah dan Salwa juga diambil kira untuk menunjukkan bahawa kemiskinan dan eksploitasi harta dan khazanah pribumi di Adinda telah berlaku sejak sekian lama atas dasar ketamakan ahli-ahli politik yang bermulut manis dan tidak mengotakan janji mereka.
Buku ini sedikit sebanyak mengkritik dan mengetengahkan masalah eksploitasi ekonomi yang terpaksa dihadapi penduduk di desa-desa kecil dan kawasan pedalaman Sabah oleh ahli politik. Aktiviti-aktiviti seperti pembalakan haram, pembawakan masuk pendatang asing dan pemberian kad pengenalan demi membolot harta bumi di Sabah adalah didorong oleh nafsu yang tamak akan kuasa dan kedudukan oleh ahli politik yang memegang amanah dan bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat setempat.
Sejujurnya, ini antara pembacaan yang paling santai di antara banyak-banyak buku yang aku baca. Agak mendatar juga gaya penceritaan yang sarat dengan 'flashbacks' di antara masa kini dan masa lalu. Tak jumpa di mana klimaks cerita di samping watak-watak mistik seperti Clara dan Guru Kadir yang menjelma sebagai 'nafsu' yang tidak pernah mati, yang menghantui penduduk Adinda, dari zaman ibu bapa mereka sehingga lah masa depan anak muda seperti Jasni, Ramli & Mastura.