Kebanyakan kita pasti pernah merasai sunyi dan sendiri dalam hidup sehari-hari. Orang-orang yang dahulunya rapat mungkin sudah menempuh jalan hidup masing-masing. Setiap yang kita kenali berubah, dan sepertinya tiada lagi tempat untuk kita bercerita atau meluah.
Macam mana nak lari daripada rasa kosong dan sunyi ini?
Mungkin kita tidak sedar, bahawa kesunyian itu sebahagian daripada hidup. Ia akan sentiasa singgah tanpa dijemput. Namun, rasa ini tidak semestinya satu beban. Bahkan rasa sunyi boleh menjadi kekuatan apabila kita belajar memahami sisi-sisi emosi yang dialami.
Buku Kenapa Hidup Makin Sunyi? ini mengajak kita untuk berhenti sejenak, merenung perasaan sunyi dan menghargai momen kesendirian sebagai peluang untuk semakin mencintai diri. Dengan kupasan penuh berempati dari perspektif klinikal dan peribadi, para penulis membawa kita meneroka perasaan sunyi dari kaca mata berbeza, serta memandu kita cara untuk menghadapinya.
Bagaimana kalau kita boleh berkawan dengan kesunyian?
Warning‼️ Ulasan buku ni panjang sebab bacaan 5 ⭐️ tapi berbaloi kalau kalian ambil masa 5 minit untuk baca. Semoga teracun 😆
“Seseorang boleh rasa sunyi tanpa bersendirian, dan boleh bersendirian tanpa rasa sunyi”
Petikan di atas mengandungi makna yang berbeza. Jadi, buku ini BUKAN untuk orang yang merasa kenapa hidupnya sunyi bahkan untuk semua orang meskipun kalian rasa diri kalian tidak sunyi sekarang ini. Buku ini ditulis oleh seorang doktor psikiatri yang bertauliah. Siapa saja yang tak kenal sosok Dr. Rozanizam bukan?
Tahun ini saya ada baca satu buku yang mengandungi 1001 kebaikan tentang persahabatan. Carilah buku tersebut di e-sentral berjudul Female Friendship oleh puan Anie Alja. Buku ni penulis self-publish dan hanya ada versi e-book sahaja.
Dalam buku tersebut, ada menyatakan fakta dan pandangan yang sama dengan buku ini yakni MAKNA SAHABAT.
Semakin kita mendewasa, semakin kita kurang pergaulan. Bukan sebab kita ni kera sumbang atau introvert. Tapi sebab komitmen dan tanggungjawab itulah yang membuatkan kita renggang dgn kawan yang ingin kekalkan silaturrahim. Masing-masing ada yang lebih penting untuk dikejar, jadi menjaga hubungan yang bermakna terasa begitu renyah. Sama juga halnya dalam keluarga iaitu adik-beradik.
Hubungan sesama manusia hanya boleh dikekalkan apabila wujud interaksi dan usaha dari kedua-dua pihak. Jadi, dari situlah kita akan dapat sahabat. Dalam rules sebuah persahabatan, give and take perlu diletakkan dalam carta paling atas. Kita mahu didengari dan difahami begitu juga dengan sahabat kita. Bukan bertepuk sebelah tangan dan mengharap sahabat itu memberi apa yang kita minta dan kita hanya menerima.
Kawan & rakan mudah dicari, tak saling melengkapi TAPI ada jika dicari. Sahabat pula memenuhi keperluan diri yakni fizikal dan rohani.
Selain daripada sebab di atas, perbandingan terhadap diri juga penyebab kita menjadi sunyi kerana rasa tak adil. Mengapa nak bandingkan diri dengan orang lain? Apabila kita terlalu kerap berbuat demikian, kita akan cenderung untuk mengasingkan diri dan dari sinilah kita akan merasa kesunyian.
Perbandingan juga tidak hanya dibuat oleh diri sendiri, tetapi juga oleh orang sekeliling. Contohnya, nenek membandingkan diri dengan sepupu lain yang hebat. Dari situ kita akan memilih untuk mengasingkan diri dari direndahkan-rendahkan. Itu juga salah satu penyebab kenapa hidup makin sunyi.
Kesunyian tidak hanya berlaku pada orang dewasa, bahkan juga pada kanak-kanak. Sebab itulah ibu bapa perlu lebih mempelajari ilmu keibubapaan dari buku-buku berkualiti, talk dari pakar dan ilmu leadership. Apa yang membentuk kanak-kanak pada masa akan datang, bermula dari mereka kecil.
Berbalik pada isu perbandingan, kita sendiri yang tak bersyukur bila lihat kelebihan orang lain. Jika kita terbiasa melihat nikmat orang yang kurang bernasib baik, kita akan jadi lebih bersyukur. Sebenarnya, kita boleh pilih apa yang dirasakan tatkala melihat nikmat orang lain, namun kita cuma manusia biasa yang hati boleh dibolak-balikkan. Nak rasa syukur tengok nikmat orang lain bukan mudah. Kalau tahu kita tak mampu, maka elakkan tengok perkara yang mencetus rasa kurang senang hati. Nikmat org lain yang dia tunjuk tidak salah, tapi hati kita yang perlu dijaga saat melihatnya.
Pernah baca buku The Things We Can See Only When You Slow Down oleh Haemin Sunim? Itu pun salah satu buku cadangan dari saya untuk kalian baca.
Dalam buku tersebut sama juga dengan buku ini, ada mengupaskan tentang tak mengapa untuk asingkan diri dan rasa sunyi sebab kita boleh muhasabah diri.
Oleh itu, kita perlu mencari me-time sebab ia tak datang bergolek dengan sendirinya. Dalam waktu me-time, kita boleh lakukan hobi yang dah lama tak buat. Nampak saja ia macam perkara kecil tapi perlu diamalkan. Kalau sebelum ni tak suka sunyi, tanya diri “apa yg kesunyian akan ajar aku? Apa yg Tuhan ingin aku belajar daripada kesunyian? Apa hikmah yang dapat dalam proses mematangkan diri?”
Kesimpulannya, buku ni sangat bagus untuk dibaca dan worth every penny, yet worth your time spend reading it! Boleh saja saya ulaskan banyak lagi, tapi… apa kata kalian pula yang baca dan ulaskan selebihnya untuk kawan-kawan di luar sana ambil kebaikan dari buku ini.
-Kenapa Hidup Makin Sunyi? -Rozanizam Zakaria, Norul Madihah
'Seseorang boleh berasa sunyi tanpa bersendirian dan boleh bersendirian tanpa rasa sunyi.'
Buku ini serasa seperti sangat memahami tentang diri saya. Saya terkadang lebih suka bersendiri namun tidak berasa sunyi. Terkadang saya berasa sunyi walaupun sedang bersama rakan rakan dan ahi keluarga. Aneh bukan? Tapi itulah lumrah kita sebagai manusia. Sangat mustahil untuk seorang manusia itu memberikan kenyataan bahawa hidupnya sentiasa 'ceria' tanpa pernah rasa sunyi.
Memilih kesunyian ataupun bersendiri itu bagus, namun jika kita terlalu bersendiri lama kelamaan risau akan memakan emosi sehingga membawa kepada hal hal lebih teruk seperti kemurungan. Dalam naskah ini turut diselitkan tentang bagaimana kita mampu menjadikan sunyi itu sebagai peneman yang membawa bahagia pada kita sebagai manusia.
Untuk mereka yang merasakan hidup ini hanyalah terisi sepi, beleklah naskah ini untuk anda cari cara bagaimana hidup ini sebenarnya punya warna ceria. Terima kasih buat rumah penerbitan Iman dan juga kedua-dua penulis untuk penghasilan karya bermutu ini.
Penulisannya mudah dan lebih kepada validation. Kalau go deep lagi mungkin lagi best (tapi emotionally heavy la pula). Sesuai untuk yang ada reading slump. Saya habis dalam masa 40 minit je
I cried my eyes out like someone just died. Let's just say I looked for the right book at the right time. It was a very distressing read and a comforting one, both happening at the same time. It hits the spot. But I'm also glad to see how I've been doing a great job at dealing with my emotions now. Pretty sure my EQ level is higher than it was 5 years ago.
Anyhow, I need to write something proper here tomorrow insha'Allah.
Satu persoalan yang amat dekat dengan kehidupan aku. Setiap hari dilalui dengan rutin harian yang sama. Pergi kerja pagi, pulang ke rumah petang. Kelihatan amat membosankan. Jadi, bagaimana nak menceriakan suasana?
Bila waktu bekerja, ya suasana memang 'bising'. Whatsapp, email, meeting yang tiada kesudahan. Tapi sesudah itu, akan tetap merasa kekosongan yang tidak tahu atas sebab apa.
Aku suka dengan buku ini. Apa yang ditulis memang relatable dengan kehidupan yang makin mencabar hari ini. Dunia maya yang menghubungkan segala-galanya, semua kelihatan amat sibuk dengan macam-macam perkara.
"Berkawanlah dengan kesunyian agar anda dapat ketemu jua dengan sisi baiknya. Berkawanlah agar dia menjadi teman, bukannya rawan."
Aku setuju dengan saranan ini, kita perlu berdamai dengan kesunyian, menikmatinya dan menghargai masa sunyi itu. Untuk aku, itu masa untuk diri sendiri. Isinya dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti membaca buku. Apa saja aktiviti yang memberikan kesan baik kepada kehidupan kita, sama ada fizikal atau mental.
Jadi, aku sarankan buku ini untuk setiap lapisan umur. Memahami persoalan ini penting supaya kita tidak rasa kehilangan arah tuju dalam hidup ini.
Semoga anda juga mendapat manfaat setelah membacanya.
"Kesunyian yang hadir bukan untuk ditangisi tetapi untuk diisi."
Buku ini menjadi bacaan santai yang berbaki untuk penghujung tahun 2024. Bagi memenuhi target Reading Challenge aku di Goodreads.
Buku ini sebenarnya banyak dibaca pada waktu menunggu orang rumah balik kerja di sekolah. Sambil menunggunya di kereta setiap hari, aku menyantuni masa bersendirian ini dengan menghargai 'me time' dengan membaca.
Selesai membaca, buku ini bukanlah satu panduan lengkap atau solusi daripada kesunyian malah untuk penulis mendedahkan kepada kita untuk fahami dan selami sendiri kesunyian ini sebenarnya tidak asing dan satu perkara yang mendewasakan kita untuk terima sekali gus menghargai kesunyian itu ialah satu waktu bersendirian atau 'solitude'.
Ada satu dua pengalaman yang sama dikongsikan oleh yang aku rasa dekat tatkala penulis memberitahu mengenai kisahnya yang tidak banyak kawan kerana tidak menjumpai "titik temu" yang sama dalam membina persahabatan. Dalam kaca mata dan pengalaman peribadi, aku juga melalui pengalaman yang sama. Tidak ramai kawan dan sahabat dalam mengharungi ranjau dan cabaran hidup di pertengahan usia yang lelah 'quarter life crisis'.
"Sesebuah hubungan hanya akan kekal dan selesa untuk kedua-dua pihak sekiranya ada proses memberi dan menerima (give-and-take) yang seimbang". Salah satu prinsip hidup tetapkan dari awal umur 20 an.
Menyingkap pada ruang "tahukah anda", kesimpulan dan refleksi pada buku ini menjadi faktor penarik untuk disantuni dan patut dicontohi pada buku-buku bersifat 'self-help' yang lain. Fakta-fakta yang digunakan juga kemas diulas dengan baik. Tahniah kepada penulis.
17 perkara yang disebutkan oleh penulis dalam mengisi kesunyian itu boleh dijadikan satu panduan asas untuk pembaca mempraktikkan tentang apa yang dimaksudkan dengan berdamai dengan waktu bersendirian itu adalah satu kelebihan pada diri sendiri untuk kekal menumbuh dengan cara dan ruang lingkup tersendiri.
Moga ruang resensi kali ini dapat membantu pembaca yang lain untuk mendapat gambaran awal untuk buku yang satu ini.
“Seseorang boleh berasa sunyi tanpa bersendirian, dan boleh bersendirian tanpa rasa sunyi.”
Ada kesunyian yang dirasai dalam ramainya manusia. Tetapi, tidak semua orang yang bersendirian itu sunyi. Isinya tidak terlalu berat. Lebih pada permukaan sahaja. Namun begitu, tetap juga buat aku berhenti sejenak beberapa kali, membuat refleksi.
Kisah pakcik makcik Jepun yang punya ‘Moai’ mengingatkan aku pada ibu dan rakan-rakannya yang selalu saja ada aktiviti. Seminggu mungkin beberapa kali dia bersosial -- keluar minum pagi atau petang, kadang-kadang nampak sudah di stesyen kereta api menuju ke utara, adakala sudah dalam bas mengepalai rombongan makcik-makcik. Alhamdulillah, untuk ini aku memang rasa syukur, sekurang-kurangnya ibu ada saja aktiviti nak dibuat.
Sebagai seorang “domestic goddess” yang berhijrah tinggal di kampung, meninggalkan ‘circle of friends’; benar-benar rasa terkait. Ibu-ibu yang tidak keluar bekerja terutamanya, mudah berasa sunyi dengan rutin hidup yang sama. Momen sunyi ini aku rasakan beberapa kali sejak meninggalkan hidup di bandar. Malah makin teruk sewaktu ‘post partum’ dalam waktu PKP. Namun, setelah beberapa tahun, mungkin sudah menjadi ‘ambivert’, aku sudah betah dan mula suka dengan hidup yang perlahan begini, tidak terburu-buru, mungkin juga sudah terlalu selesa sampaikan aku sering cakap pada suami, jika aku sudah bersosial selama sehari, aku perlukan tiga hari untuk diam di rumah, I need to recharge my social battery.
Tapi bukanlah bermaksud aku tak suka berjumpa orang. Sebenarnya bila aku berjumpa orang — aku ialah sukarelawan alam sekitar, jadi ada masa aku perlu berjumpa kenalan-kenalan aktivis, penyokong pemuliharaan (conservationist), atau sukarelawan lain — memang membantu menaikkan semangat aku.
Pengajaran yang aku dapat: 1. Tak mengapa jika circle of friends kita makin kecil atau secara fizikalnya jauh dari kita, yang penting kita tahu mereka ada. 2. Rasa sunyi setiap orang tidak sama. Ada orang suka sunyi, ada orang rasa tenat dengan kesunyian. Kenal pasti dan ‘validate’ perasaan kita, jika kesunyian membuat kita rasa tenat, dapatkan bantuan. 3. Jaga apa yang kita ‘consume’ — bahan tontonan, bacaan, terutamanya media sosial. Terlalu banyak membandingkan diri dengan hidup orang lain, boleh menjadi barah. 4. Rasa sunyi ialah sebahagian dari proses mendewasa, belajar berdamai dengan kesunyian dan cara mengurus emosi.
Gaya bahasa mudah difahami, tidak terlalu klinikal dan penceritaan lebih personal. Sesuai dibaca semua peringkat umur. Topik tentang media sosial bagus untuk dikongsikan dengan anak-anak terutama remaja.
Mulanya agak keliru, yang mana satu tulisan Dr. Rozanizam dan Dr. Madihah, sebab aku tak perasan Dr. Madihah ialah doktor yang sama di TikTok yang aku suka lihat konten beliau berbahasa Korea. Apabila banyak quote dalam hangul, baru terlintas, “eh, ini doktor itu ke?”, jadi lebih mudah untuk mengasingkan tulisan mereka. Aku suka bila mereka kongsikan tentang beberapa drama Korea dan siri dokumentari, antaranya, Twenty-Five Twenty-One, Reply 1988 (ini antara Kdrama favorite aku), dan dokumentari The Old People's Home For 4 Year Olds.
Kisah pelarian dari Syria pula buatkan aku teringat pada buku Lemon Trees, sementelah aku baru menghabiskan buku tersebut. Aku suka ayat wanita Syria ini, "Saya akan sentiasa bersedih atas apa yang berlaku dalam hidup saya, namun sekurang-kurangnya sekarang saya sudah tahu apa yang-saya ingin cari dalam hidup."
Terima kasih Emmy Hermina Nathasia untuk buku ini. 🤍
Selaras dengan kehidupan di mana keluar makan seorang, menonton wayang seorang, membeli-belah seorang, saya anggap buku ini sebagai “right book at the right time”.
Persoalan utama yang saya pelajari selepas menelaah karya ini ialah — bukan sahaja yang sedang mendewasa, yang sedang bekerja, mahupun yang tua, walhal setiap peringkat umur merasai kehidupan yang sepi. Kita selalu menganggap bahawa di saat kita dalam kesunyian atau kesepian, hanya kita yang sedang merana, mereka yang lain sedang sibuk bergembira. Salah tanggapan begitu.
Kanak-kanak yang baru sahaja mengenali dunia, akan merasai kehilangan ibu bapa yang sedang sibuk bekerja. Remaja yang dianggap seperti mempunyai “friendship circle” yang luas juga akan menyendiri saat genting. Semua insan pernah, dan akan merasai kesunyian. Hakikat yang sukar untuk ditelan.
Walaupun begitu, bagaimana kita mendampingi rasa sunyi itu yang membezakan dengan rasa ‘kekosongan’. Kesunyian tidak semestinya perit, boleh menjadi terapi untuk mencari diri sendiri.
Naskhah terbaru daripada iman ini akan mengajar kita erti kesunyian secara menyeluruh, dan cara untuk berdamai dengan perasaan tersebut.
Penulisan buku ini santai tapi juga bawa pembaca immerse dalam perjalanan hidup penulis membuatkan buku ini saya boleh habis in one sitting sahaja, dalam beberapa jam.
Ada dua bahagian yang saya suka dalam buku ini. Pertama, apabila penulis mengetengahkan tentang kesunyian ini boleh datang apabila kita cenderung membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain tanpa sedar.
Kedua, apabila penulis (Dr Madiha) menceritakan tentang kesunyian seorang muslim Korea yang berkongsi kesunyiannya sebagai seorang muslim di negara sana yang minoriti, tetapi juga menyatakan di Malaysia, meski orang muslim di sini ramai, tetapi kebanyakannya sunyi. Saya rasa bahagian ini sangat menyentuh dan deep.
Overall saya suka buku ni kerana ia BUKAN buku yang berceramah panjang lebar melontarkan tips-tips motivasi. Sebaliknya membawa pembaca melalui penceritaan perjalanan dan refleksi penulis tentang rasa sunyi.
Buku yang menarik , mengesahkan cara menyayangi diri sendiri dan menjadikan waktu bersendirian sebagai ruang untuk menciptakan kehidupan yang lebih bermakna.
Mungkin kerana saya seringkali mencari bahan bacaan mengenai psikologi dan juga topik sunyi secara mendalam, tips dan juga contoh yang diberikan di dalam buku ini bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Namun, ini merupakan kali pertama saya mendekati topik ini dalam bahasa ibunda.
Saya menyukai cara penceritaan dan perkongsian kedua-dua penulis. Menarik melihat topik ini bukan sahaja dari segi personal, malah sedikit dari segi klinikal melalui kepakaran penulis sendiri yang merupakan seorang doktor di dalam bidang psikologi. Lenggok bahasa dan gaya penceritaan yang mudah dihadam membuatkan buku ini sesuai disyorkan kepada pembaca secara umum, dari murid sekolah sehinggalah dewasa.
Dari segi pembahagian bab dan ‘pacing’ juga memuaskan kerana setiap topik dibahagikan kepada subtopik lebih kecil, menjadikan buku ini lebih senang dan menarik dibaca. Lukisan yang mendampingi isi kandungan buku juga membantu membangkitkan rasa semangat membaca dari segi visual.
Hanya bagi saya perkongsian kedua-dua penulis ini yang dicampur-campur membuatkan saya persoal, eh ini cerita Dr Madihah atau Dr Rozanizam? Selain dari itu, saya amat gembira dengan kewujudan buku yang mendalami topik seperti ini, terutamanya dalam bahasa Melayu, dan saya syorkan kepada semua.
Mungkin ini buku bukan fiksyen Iman yang saya paling kurang suka kerana saya tidak dapat belajar banyak dari membaca buku ini. Bukannya buku ini tidak menarik bagi saya, tetapi bila saya membaca buku bukan fiksyen, biasanya matlamat saya adalah untuk belajar sesuatu yang baru dan buku ini tidak memberikan saya apa-apa yang saya belum tahu lagi.
Walaupun begitu, saya masih suka buku ini kerana pandangan dan cerita Norul Madihah agak unik disebabkan pengalamannya yang berkenaan dengan Korea. Pengalamannya dengan kawan pula dapat saya fahami sebab saya sendiri pernah mengalami perkara yang sama.