ADAKAH MASIH TERKIAL-KIAL MENULIS? Anda mahukan tip pantas? Inilah bukunya yang dapat memberikan peluang kepada anda menjadi karyawan hebat. Nukilan ini ditulis Dr Makmor Tumin, pensyarah Universiti Malaya, universiti yang tersohor di negara ini. Penulisannya banyak ditumpukan tentang falsafah politik, agama, masyarakat sivil dan kesihatan awam.
Buku ini ditulis setelah beliau mendapati adanya teknik pantas dalam menulis. Dalam tahun 2022 sahaja, beliau telah menghasilkan lapan naskhah buku, baik sebagai pengarangnya mahupun editornya. Dalam tahun 2022 sahaja juga, beliau sekurang-kurangnya telah menghasilkan sebanyak lima makalah berindeks bersama ilmuan lain, 15 bab buku. 10 ulasan buku dan 15 rencana majalah.
Buku ini dihadiahkan oleh Prof Makmor Tumin (penulis) sendiri pada awal Mac 2024. Baru kini saya dapat menghabiskannya. Buku ini sesuai dibaca buat mereka yang baru ingin menulis, bahkan juga sesuai buat mereka yang sudah lama menulis, namun ingin memperkemaskan tulisannya.
Penulis ada memperkenalkan beberapa teknik seperti penulisan berangka, penulisan meluncur, teknik analogi, penulisan mesej beremosi, teks beroterika dan kiasan. Namun, idea Prof yang saya paling gemar ialah kiasan berdasarkan perkataan. Contoh yang Prof berikan ialah orang yang korup (pecah amanah) dan orang yang berkurap (penyakit). Kedua-duanya buruk, boleh menjadi barah, dan sukar untuk diubati.
Adapun syarat yang paling utama dalam menulis ialah penguasaan ilmu. Kesemua teknik yang dikongsikan dalam buku ini akan menjadi tidak bermakna tanpa penguasaan ilmu yang secukupnya. Sebaik mana pun satu-satu teknik penulisan itu, sekiranya makna yang dikandungnya itu rancu kerana keterhadan pengetahuan penulis, maka, tulisan tersebut sia-sia sahaja.
Tips-tips lain berkenaan penulisan seperti menulis apa yang kita perhatikan di sekeliling kita, teruskan menulis walau banyak karya ditolak, menulis bukan hanya sebagai hobi sebaliknya mempunyai tujuan yang khusus dan semisalnya dengannya, turut dimuatkan.
Dalam buku ini juga, penulis bukan hanya mengajarkan teknik, namun juga berkongsi hasil teknik tersebut melalui tulisannya. Banyak pengetahuan baharu yang saya peroleh daripada tulisan Prof Makmor. Kalam-kalam nasihat juga diadun bersama, seolah-olah saya sedang membaca buku motivasi.
Cuma, kelemahan buku ini ialah susunan babnya agak mengelirukan, dan agak bertabur. Sukar untuk menangkap idea khusus yang penulis ingin sampaikan. Walau bagaimanapun, saya merasakan ia merupakan satu buku yang baik untuk seorang penulis yang baru mulai bertatih menulis.