Perihal tentang bagaimana saya mengenali penulis buku ini tidak perlulah untuk saya terangkannya berulang kali kerana sudah banyak kupasan yang sudah saya tulis di buku-buku beliau dengan panjang lebar. Penulis dan buku adalah umpama bagai dakwat dan kertas, mustahil dipisahkan. Pada tahun ini sahaja, beliau telah menerbitkan beberapa buah buku. Namun, Homo Historikus mungkin menjadi buku beliau yang paling ketara bezanya kerana ia lebih membawa nada lingkungan akademik dan ditulis dengan cermat dalam penghujahannya.
Buku Homo Historikus telah diberikan oleh penulis sendiri ketika saya berada di Pulau Pinang pada minggu lalu. Bukunya kemas dan terdapat lakaran Kota Melaka lama semasa zaman kolonial Portugis. Buku ini dapat saya gambarkan sebagai sebuah makalah yang mempunyai dua misi utama iaitu untuk mendidik pembaca untuk celik sejarah dan kedua untuk mengkritik pensejarahan awal yang berat sebelah dan terpesong mengikut acuan kolonial barat.
Di awal buku ini, penulis telah berkongsikan tentang al-Mas’udi, yang saya kira antara figura penting dalam pengumpulan sejarah Arab klasik. Saya tidak dapat menghitung entah sudah berapa kali penulis menceritakan perihal al-Mas’udi ini dengan saya setiap kali kami bersua muka, namun dengan membaca naskhah ini, topik ini masih tidak menjemukan kerana penghuraiannya yang panjang, dengan membawa kepada kritikan Ibnu Khaldun kepada metodologi historiografi yang digunapakai oleh al-Mas’udi ini menyedarkan kita bahawa sejarah itu bukan hanya berkitar tentang dokumentasi, perlu juga ada proses verifikasi yang teliti.
Pada separuh bab terawal, penulis dengan cermat menghidangkan pembaca tentang teori dan pemahaman bidang sejarah dari lensa seorang ahli akademik. Walaupun beliau masih dalam proses menjadi Homo Historikus yang berstatus elit di Universiti Sains Malaysia, namun dengan penerangan dan penghujahan beliau yang ada di buku ini bagi saya sudah membuktikan bahawa “he’s got the chops”. Menurut saya, beliau meletakkan konsep pemahaman sejarah Edward Hallett Carr sebagai tunjang utama dalam perbandingan dengan yang teori pemahaman yang lain seperti dari Hegel dan Marx.
Bab ke-3 merupakan antara bab yang menarik bagi saya kerana penulis membincangkan paradoks dalam historiografi barat. Penulis telah turut sama mengkritik kelompangan historiografi astronomi yang dibawa oleh J.P McEvoy yang terlalu bersifat euro-centric dan tidak memberikan kredit yang adil kepada ilmuan-ilmuan Islam dalam pensejarahan astronomi terutamanya ketika dunia barat mengalami zaman gelap.
Separuh bab terakhir pula lebih menyentuh kepada kesedaran sejarah di nusantara khususnya di Tanah melayu sebelum zaman kemerdekaan. Membaca bab-bab terakhirnya ini mengingatkan tentang apa yang dipelajari ketika subjek sejarah di sekolah dahulu, namun dalam konteks yang lebih terperinci. Penulis menceritakan kembali tentang pengaruh kaum muda yang membawa ideologi nasionalisme Arab ke Tanah Melayu yang seterusnya membangkitkan kesedaran sejarah dalam masyarakat.
Akhir kata, syabas buat sahabat saya, Syed Ahmad Fathi atas bukunya yang saya kira adalah buku terbaik beliau setakat ini. Saya doakan agar beliau tetap diberikan nikmat kesihatan yang baik dan akan terus menulis demi menghasilkan lebih banyak buku-buku untuk membentuk lebih ramai anak bangsa yang lebih merdeka mindanya.