Judul buku: Mencari Locus Standi
Penulis: Nisah Haron
Terbitan: Utusan Publications & Distributors
Tahun terbit: 2004 / Ulang cetak 2006
Jumlah muka surat: 246
Tarikh baca: 11 May 2021 (satu hari)
Pengulas: Norsamila Samsudin
Ulasan buku:
Kisah seorang gadis, pelajar undang-undang, dikenali sebagai E-Jay atau nama penuhnya Eliza Jasmin. E-Jay merupakan anak angkat Emir Johan, pemilik kepada sebuah syarikat guaman. Konflik bermula bila hak E-Jay sebagai waris penerima syarikat guaman ayah angkatnya itu dinafikan oleh adik-beradik Emir Johan selepas kematian Emir Johan.
Gadis yang tidak pernah tahu siapa ibu bapa kandungnya itu, mulai rasa tidak mempunyai dan dipunyai lagi. Dia yang sebelum ini bersifat tegas, tabah terhadap segala ujian hidup mulai goyah. Hendak sahaja dilepaskan apa yang telah diwariskan kepadanya, tidak mahu melawan dan mencambah konflik dengan sesiapa terutamanya kepada adik-beradik arwah ayah angkatnya.
Tetapi, peguam lantikan arwah ayah angkatnya, yang juga merupakan rakan kongsi syarikat guaman itu menyuntik semangat dengan menerangkan kedudukan E-Jay sebagai waris. Malah, Amirul Farid meyakinkan bahawa E-Jay adalah waris yang layak bagi menerima syarikat guaman tinggalan arwah Emir Johan. E-Jay perlu mempertahankan haknya agar legasi syarikat guaman ini dapat diteruskan. Ia bukan sekadar warisan, tetapi amanah.
E-Jay jadi kuat untuk mempertahankan haknya bila ibu tirinya juga mengalami penafian hak yang sama. Mereka berkongsi emosi dan saling menyokong kerana mereka sudah tiada sesiapa walaupun di antara mereka tidak mempunyai talian darah.
Cerita ini membantu kita memahami hak dan prosedur pembahagian harta pusaka sama ada dari sudut undang-undang sivil, mahupun syariah. Malah, dijelaskan juga tentang hak isteri dalam membuat tuntutan harta sepencarian, juga hak terhadap baki harta selepas segala hutang piutang si mati dijelaskan.
Konflik dipecahkan kepada konflik keluarga, iaitu yang melibatkan tuntutan harta pusaka; konflik persahabatan, iaitu di antara E-Jay dan rakan baiknya, Wardah. Juga, konflik hati di antara Azhan Harith dan E-Jay yang belum bersedia untuk memberi komitmen terhadap satu hubungan selain daripada kawan. Isu plagiat turut dimuatkan dan ia terbeban di pundak watak E-Jay!
Konflik-konflik ini dimunculkan satu per satu sebelum bertembung pada klimaks yang membawa kepada kegoyahan pendirian E-Jay terhadap pencapaian diri sendiri.
Watak utama tidak dibiarkan bersendirian melainkan disokong oleh watak-watak sampingan berupa ibu tiri, teman-teman, malah seseorang yang sudah pun memberikan bayangan perasaan.
Cerita ini cukup cantik susunan plotnya. Walaupun hanya memiliki 246 muka surat, tetapi ia cukup rencah – konflik, ilmu, teguran dan nasihat yang disampaikan secara tidak langsung melalui dialog watak. Adat dan budaya bangsa, dimuatkan melalui unsur pantun dan puisi pada beberapa babak, sama ada babak pada perjalanan hidup watak, atau babak di dalam pementasan drama lakonan watak.
Jika hendak belajar menyusun plot, menulis cerita dengan bahasa baku tapi masih indah bacaannya, buku ini sangat menginspirasikan. Malah, di akhir bab muncul satu misteri yang membuatkan pembacaan seolah-olah belum menemui titik noktah.
#mencarilocusstandi
#nisahharon
#hsku
#novelmelayu
#ulasanbuku
#komunitibuku
#booktubemy
#booktuber
#booktubemalaysia
#malaysiamembaca
#selangormembaca
#norsamilasamsudin