Di dalam buku ini, dikumpulkan segala persoalan yang bersifat khilafiah (perbezaan pendapat dalam perkara cabang). Walaubagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang akidah dan persoalan yangs udah diijmakkan oleh para ulama. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah lama diamalkan dalam masyarakat Islam negara ini dan di dunia Islam amnya, esbenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggungjawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan syariah, apatah lagi ia terkeluar daripada landasan Islam. Buku ini membentangkan penjelasan para ulama muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Quran, Hadis, mahupun sumber-sumber istinbat yang lain.
Ustaz Muhadir bin Haji Joll as-Sanariy. Berasal dari Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Senari dan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Matang 2, Kuching. Memperoleh ijazah Sarjana Muda (Al-Quran & Hadis) dan Sarjana (Tafsir al-Quran) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD). Sekarang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, UIAM. Pengasas dan pembimbing Majlis Ta'lim an-Nur (MTAN), UIA. Kolumnis Majalah Q&A, Majalah Tasawuf dan Majalah Muslimah. Beliau dijemput sebagai pentazkirah untuk segmen Maulid@IKIM.fm yang bersiaran secara langsung pada hari Khamis, jam 10 malam setiap minggu.
Bacaan yang sangat bagus kepada penuntut ilmu dan orang awam yang mahu meredakan kekeliruan yang bersimpang-siur dalam masyarakat hari ini yang sebenarnya disebarkan dari generasi ke generasi oleh sebahagian kelompok yang mencetuskannya.
Bermula daripada persoalan bidaah yang menjadi sangat kontroversi sehingga menimbulkan tuduhan membidaahkan sebahagian umat Islam dan merendahkan keilmuan ulama silam, Ustaz Muhadir Haji Joll menyelongkar dan menebas semak-samun kekeliruan yang tumbuh meliar itu.
Tidak semua tulisan dihasilkan oleh beliau, sebaliknya ada yang dipetik dan diambil daripada tulisan serta pandangan ulama, ilmuwan serta mufti, sekali gus membuktikan kekeliruan yang disebarkan itu sebenarnya sudah lama diperjelaskan dalam tradisi keilmuan yang saling berkesinambungan sehingga masa kini.
Malangnya, akibat tidak merujuk kepada mereka yang ahli dalam agama dan tidak pula mengamalkan budaya membaca yang tidak terpisah daripada guru, isu ini seolah-olah tidak berkesudahan dan berjawab.
Menarik juga dalam buku ini, pengarang tidak hanya membentangkan masalah dan jawapan yang tuntas, bahkan turut memberikan latar belakang kepada ulama, ilmuwan dan mufti yang memberikan penjelasan dan penerangan sehingga nama-nama mereka tidak berlalu begitu saja, bahkan kita dapat menenangkan lagi gejolak hati betapa ulama, ilmuwan dan mufti terbabit memiliki keilmuan yang tinggi dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT.
Saya kira buku ini wajib ada dalam perpustakaan setiap keluarga yang boleh dirujuk sekiranya kekeliruan itu mula mengetuk pintu rumah masing-masing. Buku ini boleh dianggap ensiklopedia dalam menebas kekeliruan dan menjernihkan pandangan alam umat Islam.
Buku "Khilafiah: Persoalan & Penjelasan" ini mampu merungkaikan persoalan mengenai khilafiah (perbezaan pendapat dalam perkara cabang). Ia turut menjelaskan persoalan mengenai akidah yang sudah dipersepakatkan dan diijmakkan oleh para ulama berserta dengan dalilnya sekali, dengan itu menjawab persoalan yang biasa ditimbulkan oleh mereka yang kurang arif mengenainya. Dengan penjelasan oleh para ulama muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Quran, Hadis, mahupun sumber-sumber istinbat yang lain, diharap ia mampu menjawab sebahagian dari pertikaian yang timbul masa kini.