Merdekakan Cinta Ratna Dia jatuh cinta kepada Ratna, perawan yang telah membunuh dendamnya, mengajarkan makna pengorbanan. Dialah juga yang menaruh kasih kepada Alia, si manis tegas yang obses dengan hikmah takdir.
Dan dia, dialah remaja devian yang memenuhi ruang buku displin: kaki ponteng, kaki gaduh, datang lewat - suatu imej yang tak tertolongkan, tak diperdulikan!
Dan dia, dialah lelaki pengasih, pelindung, yang disuguhkan keganasan di rumah sendiri, sepanjang-panjang usia mudanya.
Merdekakan Cinta Ratna - kisahnya menduga hakikat cinta dalam makna paling luas dan dalam: Cinta, benar-benar cinta-benarkah ada?
Nama penulis: SRI RAHAYU MOHD YUSOP Nama penuh: Sri Rahayu binti Mohd Yusop Tempat lahir: Tanjong Karang, Selangor Tarikh lahir: 18 Jun 1976 Pendidikan awal: Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9, Tanjong Karang dari (1983-1988). Pendidikan Menengah: Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor (1989 -1993). Pendidikan Lanjut: Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras; University of Otago, New Zealand dan Dunedin College of Education, New Zealand (1994-1999) Karier: Guru Bahasa Inggeris di SMK Dato' Harun, Tanjong Karang (2000 - 2003), SMK Pandan Jaya, Ampang (2004-2020).
Hasil kerja yang telah diterbitkan:
1. 'Bukan Legasi Lalang' (Utusan Publications & Distributors, 2001)) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000, Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 bagi kategori Novel Remaja. 2. 'Merdekakan Cinta Ratna' (Utusan Publications & Distributors, 2003) - memenangi tempat ketiga kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. 3. 'Odisi Tanah Kencana' (Utusan Publications & Distributors, 2007) - memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. 4. 'Warisnya Kalbu' (Utusan Publications & Distributors, 2008) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. 5. 'Kasih Nan Agung' (Utusan Publications & DIstributors, 2009) - memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. 6. 'Impuls/Roh' (Utusan Publications & Distributors, 2010) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009. 7. 'Bimasakti Menari' (Utusan Publications & Distributors, 2011) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010, Kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, teks Komponen Sastera (KOMSAS) subjek Bahasa Malaysia Tingkatan 5 bermula dari tahun 2016 di sekolah-sekolah menengah di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka. 8.'Rimba Jiwa' (Utusan Publications & Distributors, 2012) - memenangi tempat ketiga Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011. 9. 'Equilibria' (Utusan Publications & Distributors, 2012) - memenangi Sayembara Penulisan Fiksyen Sains & Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Kedua pada tahun 2012, Anugerah Buku Negara bagi kategori Fiksyen Sains & Teknologi pada tahun 2013. 10. 'Qalam Kalbu' (ITBM, 2013) - memenangi Sayembara Penulisan Novel-Cerpen-Puisi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia - Berita Harian - PENA Musim Pertama pada tahun 2014, Kategori Karya Umum (Buku) dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013. 11. 'Transgenik Sifar' (Utusan Publications & Distributor, 2015) - memenangi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Ketiga pada tahun 2015. 12. 'Empunya Kalbu' (Utusan Publications & Distributors, 2016) - memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015, Hadiah Sastera Perdana 2015/2016 bagi Kategori Novel Remaja. 13. 'Kronikel Empat Bahtera: Puteri Naga Tiberius' (Penerbit X, 2017) - novel pertama beliau yang terbit di luar sayembara. 14. 'Farewell, Elsinore' (Legasi Oakheart, 2018) - novel Bahasa Inggeris pertama. 15. 'Selendang Merah Balukhali' (Utusan Publications & Distributors, 2019) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017. 16. 'ALGOJO' (Fixi, 2020) - memenangi hadiah utama Sayembara FIXI Musim Kedua. 17. 'Belati Cinta Zulaikha' (Utusan Publications & Distributors, 2004) - memenangi Hadiah Eceran Kategori Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 bagi cerpen 'Reeves, Cormack dan Semak'.
Sedap penceritaan teater itu. Hidup, berjiwa. Lama kemudian, baru sedar bahawa ianya merupakan hasil manipulasi kisah peribadi Muhammad sendiri. Ah, apa rasanya dapat mengadaptasi kisah sendiri menjadi karya seni? Suatu bentuk luahan, itu saya pasti. - Untuk mencintai, seseorang itu perlulah merdekakan diri. Agar cinta yang bersemi bukanlah hasil serpihan pelbagai alasan. Bukanlah atas dasar dendam. Bukan pula buat membebaskan diri dari rasa bersalah yang menyelubungi.
Teguhkan peribadi. Ranap, ranap jika cinta sendiri dalam kongkongan lain yang berselindung di sebalik cinta kita yang murni. - Saya kurang pasti sewaktu bila cinta Muhammad terhadap Aliya ini bercambah. Mungkin dua jiwa yang berkongsi pedih yang sama punyai telepati? Telepati cinta?
Sangat baik bahasa yang disulam penulis mengkisahkan perjalanan hidup, derita dan bahagia watak-watak dalam cerita atas dan luar pentas, merdekakan cinta Ratna.
Ohh ya saya baru teringat akan sesuatu yang baru saya dapat hasil membaca buku ini... Betul atau sebaliknya, saya tidak tahu. Namun, penulis seperti menyatakan maklumat ini dengan nada serius seserius seriusnya tanpa ada ruang pertikaian. Seingat saya hasil bacaan atau entah saya juga sudah lupa dari mana sumber cerita, Singapura yang pernah dilanggar todak diselamatkan oleh seorang budak bernama Nadim. Beliau kemudian diarah bunuh oleh sang raja yang termakan hasutan bodoh pembesarnya. Dalam buku Merdekakan Cinta Ratna, penulis melalui suara Cikgu Soraya (alamak saya lupa, adakah Cikgu Suraya atau Muhammad haha) menjelaskan bahawa anak Hang Jebat adalah pemuda yang menyelamatkan Singapura dari terus menerus kerugian dek bencana dilanggar todak. Beliau diburu oleh tentera sang raja dan lari ke Gunung Ledang. Beliau berguru dengan Puteri Gunung Ledang dan kemudian pulang ke Melaka bagi tujuan menuntut bela melunasi dendam dek fitnah yang membunuh bapanya.
Ada yang tahu kebenaran kisah anak Hang Jebat ini?
Mengisahkan tentang seorang pelajar Tingkatan 6 bernama Muhammad yang datang dari keluarga porak peranda. Dia terkenal di sekolah SMK Seri Setia sebagai seorang pelajar yang selalu melakukan masalah disiplin. Segalanya berubah dengan kedatangan seorang guru baru bernama Soraya.
Dengan bimbingan Soraya, pelajar-pelajar Tingkatan 6 dari Kelas 6 Atas Tawakal ingin membuktikan bahawa mereka bukanlah golongan pelajar tercicir yang tak dapat masuk universiti. Untuk membuktikan kesungguhan mereka, satu pementasan drama bertajuk 'Merdekakan Cinta Ratna' akan dijalankan semperna malam kemerdekaan. Keputusan Muhammad untuk turut serta dalam pementasan itu mengejutkan semua.
Sebuah novel bergenre 'slice of lice' yang berjaya disampaikan dengan baik. Kisah watak-watak utama, dan plot drama yang akan mereka persembahkan diceritakan secara berselang-seli. Karya ini telah mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Novel Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002...
Merdekakan Cinta Ratna, sebuah novel yang mengisahkan tentang seorang pelajar STPM iaitu Muhammad yang melalui kisah-kisah hitam yang tragis yang dipendamnya sendiri. Secara tidak sengaja telah menumpahkan penderitaan yang dihadapinya ke dalam sebuah teater sekolah dan menjadikan teater tersebut sangat menarik dan hidup. Dihidupkan dengan jiwa Muhammad.
Penceritaan yang sangat menarik. Saya suka akan penyusunan plotnya yang sangat rapi dan tersusun. Hanya sekali duduk berhadap sahaja untuk saya selesaikan pembacaan novel ini dari kulit ke kulit. Saya sebenarnya tidak menyangka novel ini akan mampu ‘mengikat jiwa’ saya kerana ia sangat kontradik dengan ekspektasi awal saya yakni sebuah kisah percintaan muda remaja yang klise. Tetapi setelah meneruskan pembacaan kepada bab yang kedua, saya mula merasakan bahangnya. Dan bahang itu telah berjaya membawa saya tenggelam dalam episod perjuangan memerdekakan cinta sang Ratna ini.
Tidak sia-sia saya berusaha mencari dan meminjam buku ini. Sangat berbaloi dan yang pastinya ia akan menjadi salah satu antara novel kegemaran saya.
Muhammad. Yang terpuji, tetapi nama itu seakan kontras dengan pemiliknya. Sejarah hitam di alam kanak-kanak mempengaruhi psikologi remaja. Remaja devian, gelaran selayaknya. Tetapi Muhammad tidak sengaja, ditumpahkan segala lara di dalam diri Hang Kadim. Di luahkan cinta kepada Ratna. Lalu, ia merdekakan dirinya dari dunia yang memasung erti kebahagiaan dalam hatinya. Merdekakan Cinta Ratna, ada segalanya! Kisah guru cekal yang mendidik bukan hanya mengajar. Muhammad yang terpuji, kini mengerti kenapa dia 'Yang Terpuji'.
Karya Kak Sri Rahayu tidak pernah menghampakan. Bukan setakat karakter dalam kisah benar-benar hidup, malah kekal menghuni dalam sukma.
Nilai yang dikarang sangat indah dan dekat pula di hati masyarakat. Kisah cinta seorang anak, seorang teman, seorang guru dalam lingkungan dunia pendidikan.
Sempurna. Benar-benar merasakan hangatnya gebar yang penulis selubungkan ke tubuh saya. Rasa selamat dan nyaman. Tak sedar pun entah bila pipi basah dek air mata.
Walaupun novel ini mengangkat tema percintaan, tetapi persoalan yang dikemukakan bukanlah cintan-cintun picisan remaja. Akhiran cerita nampak agak mudah, tapi tidaklah terlalu klise. Bukan seperti "happy ending" yang mana si uda dan si dara akhirnya bahagia bersama ... (DUH!)
Pembukaan cerita berkisar pada pelajar-pelajar Tingkatan 6, yang ingin membuktikan bahawa mereka bukanlah golongan pelajar tercicir yang tak dapat masuk universiti. Sebagai satu cara untuk membuktikan kesungguhan mereka, satu pementasan drama dijalankan.
Apa yang menarik sebenarnya ialah, selain pergolakan hidup salah seorang pelajar tersebut, kandungan drama yang dipentaskan itupun merupakan persoalan menarik yang ditampilkan oleh penulis. Ia ibarat cerita dalam cerita. Kisah mengenai cinta, tetapi bukan kisah percintaan. Bagaimana cinta itu (yang bukan semestinya antara uda & dara je ya!) boleh menyekat keadilan. Dengan membebaskan rasa cinta sahajalah, keadilan dapat dilaksanakan ("The law is reason free from passion" -Aristotle).
Ya, novel ini telah digarap dengan indah oleh Puan Sri Rahayu. Sekali lagi kita (selaku orang yang cuba-cuba belajar teknik bercerita) dapat melihat setiap watak digarap dengan baik, tidak mutlak hitam tidak mutlak putih. Tidak banyak, sedikit kelabunya.
Sebab musabab yang menolak jalan ceritanya jelas. Seperti yang dipetik, Puan Sri Rahayu, menunjuk ajar bagaimana menulis cerita yang sempurna, bagaimana yang paling selalunya diterima.
Merdekakan Cinta Ratna, sebuah novel tentang cinta yang sangat istimewa!
Tak ingat watak dalam cerita ini. Tapi memang best. Kalau ada peluang nak baca lagi sebab memang dah lupa. Cuma ingat watak utama dia, seorang budak lelaki yang sangat nakal di sekolah. Dan dia nakal sebab masalah keluarga. Sangat nakal sehinggalah dia diberi peluang untuk jadi watak utama dalam teater sekolah dia. Seterusnya, maaf saya dah lupa...