Buku Sejarah Islam di India Abad ke-8 hingga Abad ke-20 ini merupakan buku penting yang menjadikan Islam sebagai asas perbincangan. Berbagai-bagai aspek merangkumi kehadiran Islam, kerajaan dan tokoh Islam mahupun peristiwa-peristiwa yang membabitkan orang Islam di India antara abad kelapan hingga abad ke-20 yang menjadi tumpuan utama. Buku ini dihasilkan dengan menggunakan sumber rujukan yang mendalam yang pasti menjadi sumber rujukan penting kepada pelajar sama ada pada peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi serta mereka yang berminat dengan sejarah Islam. Lebih penting lagi, buku ini akan mengisi kekosongan yang wujud dalam meneliti dan memahami Islam di India. Diharapkan buku ini memberikan faedah kepada semua pembaca.
Sebuah buku sejarah yang agak terperinci dan mendalam yang membincangkan mengenai bagaimana Islam berjaya bertapak di India sejak abad ke-8 Masihi sehinggalah abad ke-20. Selain membincangkan permulaan awalnya hubungan antara Islam dengan benua kecil India,penulisnya,Azharudin Mohamed Dali,turut mengetengahkan impak dan sumbangan Islam terhadap ketamadunan India itu sendiri terutamanya melalui dinasti-dinasti Islam yang pernah memerintah di sana. Dinasti Mughal merupakan dinasti Islam yang paling banyak meninggalkan kesan.
Tidak hanya berhenti di situ saja,penulis turut membincangkan apa yang telah menimpa orang atau masyarakat Islam di India apabila British datang ke India dan pasca kemerdekaan India pada 15 Ogos 1947. Walaupun demikian,pada masa yang sama,saya juga mendapati ketiadaan peta,rajah dan ilustrasi yang berkaitan membuatkan pembacaan agak mendatar atau dull. Sekiranya disertakan,saya kira akan membuatkan pembacaan menjadi lebih menarik dan mudah difahami. Selain itu,walaupun diterbitkan pada tahun 2014,buku ini tidak mengupas dengan lebih lanjut keadaan komuniti Islam di India pada tahun 2010 dan ke atas. Penulis menghentikan perbincangannya pada peristiwa rusuhan kaum dan agama di Gujarat pada tahun 2002 sahaja.
Namun begitu,secara keseluruhannya,saya berpandangan bahawa penulis berjaya menyampaikan isi penulisannya dengan baik dan berkesan. Buku ini disyorkan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui sejarah Islam di India dan sumbangannya ke atas benua kecil tersebut.
Sejarah berkenaan Islam di India sangat luas dan agak sukar untuk diterangkan secara terperinci hanya dengan buku setebal 400 halaman. Akan tetapi, topik-topik yang dipilih oleh penulis sangat menarik dan senang untuk diikuti. Hujah yang dikemukakan juga disertakan denga nota hujung. Jadi, ini akan memudahkan pengkaji-pengkaji yang lain untuk membuat rujukan dan kajian lanjut.
Malangnya, penulis tidak memasukkan peta yang menunjukkan wilayah kekuasaan dinasti-dinasti Islam dan juga bandar-bandar atau kota-kota penting sepanjang pemerintahan Islam di India. Ini agak mengganggu pembacaan dan saya terpaksa menggunakan google maps bagi meneliti tempat-tempat yang dibincangkan.