Menghimpunkan 10 buah cerpen remaja yang meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005. Cerpen-cerpen tersebut merupakan hasil cipta penulis generasi baharu dan pengarang kawakan tanah air.
Sarat dengan nilai motivasi dan bersifat eksploratif, karya-karya tersebut mengankat isu tempatan di samping meneroka sehingga ke wilayah antarabangsa, berbicara tentang keadilan jagat, cinta dan kasih sayang, kecekalan semangat, prinsip kebenaran, peperangan, dan pengorbanan-kesemuanya sangat bermanafaat untuk membijaksanakan khalayak. Ditulis dengan bahasa yang menarik dan teknik yang pelbagai, cerpen-cerpen tersebut dapat menguja daya taakulan di samping menghiburkan.
Hadiah Utama Pelangi, Kami Ingin ke Sana (Ariff Mohamad) Dia Berikan Tangannya (Rahmat Purnama Mulya) Kampung Hati Ayah (Ummi Hani Abu Hassan)
Hadiah Saguhati Ratu Kosmetik (Faisal Tehrani) Mergastua dan Kotak Batu (Zaharah Nawawi) Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd. Zaki) Anak Gelandangan (Mohd. Hashim Osman) Gadis Bunga di Tasik Dal (Zaharah Nawawi) E-mel Seorang Lelaki (Muhammad Lutfi Ishak) Rabiatul Adawiyah (A. Ghani Abdullah)
Judul buku: Pelangi, kami ingin ke sana. (HSKU- Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) Penyelenggara: Nor Azah Abd Aziz, Rozlan Mohamed Noor Terbitan: Utusan Publications & Distributors Jumlah muka surat: 132
Ulasan dan resensi buku:
Memula dan menamatkan bacaan sebuah kumpulan cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan hanya dalam masa satu hari. . Memuatkan sepuluh buah cerpen terpilih, yang penulisnya bukan calang-calang nama. Yang sudah biasa terlihat di dada akhbar. Disebut di media sosial. Yang penulisan mereka bukan sekadar mengenengahkan isu, tetapi juga membuka minda, menggerakkan rasa jiwa. Malah mengangkat martabat bahasa dengan setiap cerita digarap dengan metafora dan personifikasi dalam bercerita. . Ada cerita dua lapis yang sinis. . Ada cerita yang punya ilmu untuk gadis kita. Disela-seli sinis bahasa, menegur sikap orang kita yang lebih memuja apa yang datang dari barat sedangkan bangsa sendiri memiliki rahsia ramuan hebat daripada keturunan bangsa yang hebat juga. . Ada cerita di dunia perang, yang mencuit jiwa Islam. Tentang seorang bukan Islam yang berjiwa Islam. Sanggup menyerah nyawa demi rasa kemanusiaan tanpa melihat kepada bangsa dan agama. . Ada cerita masyarakat yang berbuat dosa demi kesinambungan nyawa ibu dan adik. Benar, matlamat tidak menghalalkan cara. Dan, watak ini pun menerima bencana. Tetapi, pengajaran, kesinisan penulis bukan terhadap watak. Sebaliknya yang ditegurnya adalah sikap masyarakat. Sikap seorang bapa yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi menjadi musibat, meninggalkan bencana kepada keluarga. Nasib yang menyayat rasa ini pula telah membuka jalan taubat kepada sahabatnya. . Ada cerita tentang janji pemimpin munafik. Yang sifat munafiknya membawa kepada fitnah dan tuduhan kepada seorang imam. Sehingga menjerut kehidupan, membawa kepada kematian. Lalu, membenih dendam dalam hati anak imam itu. Lebih terluka bila cerita kenaikan pangkat si pemimpin munafik terpapar di dada media. . Cerita pendek penuh iktibar. Mengusik jiwa, mengenyangkan minda. Walau hanya kumpulan cerpen, tetapi membacanya ibarat membaca sepuluh buah novel.
Tajuk cerpen dan penulis:
1. Pelangi, kami ingin ke sana (Arif Mohammad) 2. Ratu Kosmetik (Faisal Tehrani) 3. Mergastua dan Kotak Batu (Zaharah Nawawi) 4. Dia berikan tangannya (Rahmat Purnama Mulya) 5. Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd Zaki) 6. Anak Gelandangan (Mohd Hashim Osman) 7. Kampung Hati Ayah (Ummu Hani Abu Hassan) 8. Gadis Bunga Tasik Dal (Zaharah Nawawi) 9. E-Mel Seorang Lelaki (Mohd Lutfi Ishak) 10. Rabiatul Adawiyah (A. Ghani Abdullah)
Terdapat beberapa cerpen yang menarik dalam buku ini. Antara yang menjadi kegemaran ialah ‘Pelangi, Kami Ingin ke Sana’, ‘Ratu Kosmetik’, ‘E-Mel Seorang Lelaki’ & ‘Rabiatul Adawiyah’.
BUKU di Musim Hujan : Pelangi, kami ingin ke sana. Antologi pemenang Hadiah sastera 2005, kategori cerpen remaja)
Antologi ini mengandungi 10 buah cerpen. Hasil penulis muda ketika itu. Sebahagiannya sudah mencipta nama besar hari ini.
3 Pemenang utama, mengetengahkan isu kemanusiaan. Manusia yang mengorbankan diri demi insan yang lain. Motivasi kebangkitan hidup dan memperbaiki buat teladan untuk diwarisi generasi akan datang. Pengharapan melihat dunia yang lebih baik.
Pelangi yang indah mewakili keindahan dan harapan ingin kita miliki tetapi sukar dicapai. Tidak putus asa meyakini kehidupan yang indah pasti menyinggah dengan kesabaran dan kesungguhan. Cerpennya:
1. Pelangi Kami Ingin ke Sana oleh Ariff Mohamad 2. Dia Berikan Tangannya oleh Rahmat Purnama Mulya 3. Kampung Hati Ayah oleh Ummu Hani Abu Hassan
7 buah cerpen yang lain menerima hadiah penghargaan. Membawa pelbagai tema yang mengangkat keadilan jagat, cinta dan kasih sayang, kecekalan semangat, prinsip kebenaran, peperangan dan pengorbanan.
Kesemuanya disampaikan dengan menggunakan bahasa yang baik buat memujuk dan menyentuh pembaca untuk dijadikan iktibar. Cerpennya:
1. Ratu Kosmetik oleh Faisal Tehrani 2. Mergastua dan Kotak Batu oleh Zaharah Nawawi 3. Cikgu Apek oleh Sit Hajar Mohd Zaki 4. Anak Gelandangan oleh Mohd Hashim Osman 5. Gadis Bunga di Tasik Del oleh Zaharah Nawawi 6. E-mel Seorang Lelaki oleh Mohd Lurfi Ishak 7. Rabiatul Adawiyah oleh A. Ghani Abdullah
Ada 10 cerpen semuanya di dalam ni...dan kesemuanya adalah pemenang bagi Hadiah Sastera 2005 Kumpulan Utusan bagi Pemenang Kategori Cerpen Remaja🏆.
Buku ni cetakan pertama 2006. Dari buku ni aii ada la berkenalan dengan sesusuk tubuh wanita yang bernama Rabiatul al-Adawiyah....huihhh, hebat betui orangnya dalam episod meraih cinta yang dinanti-nantikan dengan lantunan puisi kata-kata...hampa boleh pi search nama dia kalau hampa nak tau melalui dukun penstriman pantas masa kini iaitu Pak Google...😚
Lepastu berkenalan jugak dengan seorang penulis yang banyak menulis kata-kata menarik mencuit deria kemahiran berfikir yang bergema "hahahha, nice thought" yang nama penanya adalah Voltaire...dia ni org Perancis yg lahir tahun 1694...pun hampa boleh tanya pak dukun Google untuk episod Pencerahan hampa sendiri nanti naaa😉....
Apa-apa pun buku ni memang menarik...banyak cerita dia, dan paling best baca bab Laporan Panel Hakim yang mengulas tentang kecerdikan para pengarang dalam menyusun jalan cerita mereka dengan cara yang tersendiri... memang Terbaik!) 👍🏽🫰🏽✨
Walaupun ianya adalah kumpulan cerpen remaja yang telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005, tidak semua kisah di dalam buku ini yang menarik.