Antara sebab saya membaca buku ini kerana penulisnya seorang Dr. Seorang Dr menulis novel sains fikyen. Menarik kan ?
Sewaktu membaca, saya akan mencari kritikan sosial yang diselitkan oleh penulis. Terdapat beberapa perkara seperti orang Melayu hanya bercakap di mulut sahaja akan menyokong bangsa sendiri dalam sudut ekonomi, tetapi tidak laksanakan. Baru mahal sepuluh sen, sudah mahu makan di gerai bangsa lain. Selain itu, tentang kepercayaan terhadap bomoh. Walaupun sudah tahun 2097, kepercayaan terhadapa bomoh tidak pernah surut. Malah bomoh² ini mempunyai sijil khas. Saya rasa penulis menyindir sikap masyarakat kita yang lebih percaya kepada bomoh berbanding doktor. Walaupun bomoh itu hanya menipu seperti menggunakan darah dan organ haiwan, masyarakat tetap percaya kepada institusi bomoh. Teknologi sahaja maju, tidak diiringi dengan kemajuan intelek.
Manubot, manuklon adalah perkara baru bagi saya. Nampaknya kewujudan teknologi memberi ancaman kepada manusia. Seperti filem terminator pun ada. Menarik untuk dibaca.
Ada beberapa perkara yang saya kurang setuju. Pertama, kisah percintaan Mardianah dan Khairil. Saya yakin penulis patut menjadikan kisah cinta mereka didasari dengan keikhlasan dan perjuangan. Tetapi penulis lebih suka menceritakan tentang kecantikan Mardianah dan keseronokan perbuatan yang memberahikan. Bermula dari pertemuan pertama Khairil dengan Mardianah sehingga penghujung cerita, Khairil tidak mahu melupakan kemulusan membelai tubuh Mardianah.
Seterusnya, penulis lebih banyak mengetengahkan elemen semangat Melayu. Tidak dikaitkan dengan agama Islam. Bukankah Melayu dan Islam itu seperti satu jasad. Pejuang kemerdekaan bukan sahaja berjuang kerana maruah rakyat dinoda, tetapi kerana agama mereka dihina. Terasa canggung membaca kisah perjuangan hanya kerana ingin menuntut nasib bangsa, tetapi tertinggal agama.
Selain itu, cara kematian Paduka Presiden dan General Mempani. Sungguh tragis dan menyayat hati. Mayat mereka dilayan seperti binatang. Saya akui kejahatan yang mereka lakukan sangat tidak boleh dimaafkan, tetapi jika kita melakukan perbuatan keji seperti itu, apa beza kita yang menuntut kemerdekaan dengan mereka ?
Kesimpulannya, novel ini menarik. Jalan ceritanya juga mudah difahami. Penulis ada menggunakan sedikit jargon perubatan, mujur saya faham. Mungkin orang biasa akan sedikit sukar untuk faham. Tiada plot twist. Semua rancangan berjalan seperti yang diinginkan. Saya sarankan untuk mereka yang ingin melihat bagaimana buku tulisan tahun 90-an boleh meramal apa yang akan berlaku membaca buku ini.