ADUNAN daripada realiti dan fiksyen, Dr. Rahmat Haroun berjaya menghasilkan sebuah novel yang penuh dengan unsur-unsur suspense yang mendebarkan. TERANG BULAN adalah secebis daripada kisah pahit manis penulisnya ketika beliau berada di rantau orang, hidup di tengah-tengah masyarakat asing yang mempunyai adat resam dan kebudayaan yang berbeza. Daripada novel ini, kita akan dapat memahami jerit hati seorang perantau di tanah seberang, kita dapat mengenal siapakah kawan dan siapakah lawan, kita dapat menyelami makna yang tersirat dan yang tersurat, dan yang pentingnya, novel ini telah memberikan erti kepada sebuah ikatan hubungan di antara dua buah negara yang serumpun.
TERANG Bulan boleh dianggap sedikit santai berbanding dua novel Rahmat Haroun yang lain, iaitu Di. Ar. Ti. dan Sentuhan Oedipus dalam erti kata tepunya unsur sains. Bagaimanapun, ia tidak bererti novel ini ringan untuk dikunyah, kerana juadahnya diramu daripada dua negara berjiran - Malaysia dan Indonesia dengan rempah-ratus yang pedas.
Kita dibuai oleh hubungan cinta antara pelajar perubatan dari Malaysia dengan Indonesia dan secara tiba-tiba disentakkan oleh insiden penculikan warga Malaysia yang didorong oleh keperitan sejarah pedih Konfrontasi yang rupa-rupanya lukanya belum tersembuh.
Membaca novel ini tidak sukar kerana menggunakan sudut pandang pertama dan mengalir dengan teknik kronologi, tetapi menghadamkannya tidak senang kerana kita terpaksa memikirkan apakah hubungan Malaysia-Indonesia ini boleh diuruskan dengan baik, bukan saja secara politik dan ekonominya, bahkan lebih penting secara persaudaraan atas nama agama dan bangsa.