“Kita dapat pergi umrah bukan sebab kita sihat, bukan sebab kita ada duit dan bukan sebab kita ada masa. Kita dapat berumrah kerana Allah undang dan izinkan. Yang lain itu cuma asbabnya saja.”
Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah ialah sebuah naskhah refleksi Nisah Haron ketika menunaikan umrah pada Ramadan 1444H. Ini bukan sekadar buku panduan umrah yang biasa, sebaliknya segala tip dan panduan disampaikan melalui peristiwa serta pengalaman beliau sepanjang 18 hari di Tanah Suci. Catatan ini dapat menyuntik semangat buat mereka yang belum pernah ke Tanah Suci atau membuka jendela kenangan kepada yang sudah menjejakkan kaki di Bumi Haramain ini.
Menuju ke Tanah Suci, sama ada untuk mengerjakan umrah mahupun haji, adalah suatu proses pembelajaran menuju kematian. Pemergian ini belum tentu kembali dan jika kita pulang sekalipun, kita seharusnya kembali sebagai diri yang ”bersih”.
Born in Seremban, Negeri Sembilan on 20 April 1973, Nisah Haron has been writing as a hobby since 1988. She has written forty short stories, five novels, essays and a few poems published in local literary magazine and newspaper.
Nisah Haron had her legal education from National University of Malaysia and graduated in 1997. She also obtained her LL.M from the same instition in 2006. She practised as an advocate and solicitor as well as a syarie counsel for eight years before becoming a full-time writer in 2006. She advocates on the copyright awareness among writers and publishers. Nisah has also written a copyright book for laymen entitled "Karya Kita Hak Kita - Panduan Hak Cipta" (Al-Ameen Serve Holdings, 2008).
Her works has been received my awards including Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan and many others. Recently, she won first place in Hadiah Sastera Berunsur Islam with her winning short-story, “Aset Istiqamah”.
Her personal blog is www.annyss.blogspot.com, or join her on Facebook "Nisah Haron - Pengarang".
Bila seorang novelis yang menulis kisahnya, rasanya sampai. Unsur dramatiknya jelas. Hingga kita yang membaca ikut berdebar, risau, sedih, menangis. Begitulah Nisah bila menulis. Pilihan katanya dibuat dengan cukup cermat.
Sudah banyak buku umrah dan haji yang saya baca sebelum menunaikan haji 2017 dulu. Namun banyak kisah, tip, nasihat, panduan yang belum pernah saya lalui atau saya baca semasa di tanah suci atau di mana-mana.
Setiap tetamu Allah ke tanah suci akan punya pengalaman dan rasa yang tidak akan sama sebab latar diri kita yang berbeza. Cantumkan semua kisah, untuk jadi bekalan ke tanah suci.
Bukan mudah untuk mendapat peluang menjadi tetamu Allah. Ia bukan sekadar tentang kemampuan kewanvan saja, namun ada banyak pertimbangan lain yang perlu diambil kira.
Peluang belajar melalui pengalaman penulis buku ini amat berharga, ditambah pula dengan 'summary' perjalanan yang dibuat sebagai sisipan kepada buku ini.
Mungkin disebabkan saya sudah kerap membaca perihal "teknikal" umrah dan haji, jadi besarlah harapan saya agar buku ini tidak lagi "mengajar" apa itu tawaf, apa itu saie.
Bukan pula bermaksud sombong dengan ilmu. Bukan. Ia lebih kepada mengharapkan sesuatu yang berlainan. Yang lebih bersifat peribadi. Seperti catatan arwah Prof. Kamil dalam buku beliau yang sangat menginspirasi, Travelog Haji.
Alhamdulillah, buku Sehelai Sejadah Di Lantai Kaabah sarat dengan pengalaman yang membuatkan kita mahu segera tahu catatan di muka surat seterusnya. Pengalaman penulis (sudut pandangan jemaah wanita) memberi satu pengalaman baru kepada saya. Boleh juga saya jadikan panduan sekiranya ada rezeki ke sana lagi bersama isteri. Insya-Allah, pada waktu menunaikan haji juga.
Ya, seperti catatan bab akhir penulis, saya juga berimpian untuk menaja seseorang untuk menunaikan umrah bersama-sama. Dah lama saya pendamkan, dan membaca luahan Puan Nisah dalam buku ini, membarakan semula cita-cita itu. Insya-Allah, semoga ia menjadi kenyataan.
Terima kasih puan, untuk pengalaman dan perkongsian.
Sebuah travelog umrah Ramadan yang diterbitkan pada November 2024, sebulan sebelum saya berangkat menunaikan ibadah ziarah tersebut. Pada awalnya, saya ingin membaca buku ini sejurus sahaja ia diterbitkan tetapi kewangan tidak mengizinkan, dan akhirnya saya direzekikan untuk membelinya pada April 2025, dua bulan selepas saya pulang daripada kota Madinah- dan saya kira, garis masa ini sudah ditakdirkan Tuhan dengan cantik sekali. Sejujurnya, ada sedikit kegusaran jika membaca karya ini selepas umrah, dapat memberikan saya sebarang "rasa" tetapi alhamdulillah, pelbagai "rasa" pula datangnya seusai sahaja pembacaan.
Puan penulis, Nisah Haron berjaya menterjemahkan pengalaman beliau menunaikan umrah selama dua minggu (asbab daripada hadiah daripada seorang insan kiriman Tuhan, Puan Mun) ke dalam sebuah travelog dengan baik sekali. Travelog yang bukan sekadar coretan teknikal mahupun mekanisme sepanjang perjalanan, beliau berjaya menerapkan perasaan sekali di dalam penulisannya- apatah lagi bagi saya yang telah direzekikan untuk ke sana, jadi sungguh dirasai segala keluh-kesah, hiba, sebak, gembira yang penulis bawakan.
Ada beberapa halaman yang membuatkan saya menangis, rindu terhadap umrah itu sendiri sungguh berat. apatah lagi keberadaan jasad dan ruh di sana. Benar, ibadah umrah bukan satu perlumbaan seperti apa yang penulis katakan (halaman 207), dan bagi saya itu merupakan satu ujian taqwa yang berat sekali untuk dikekalkan bilamana sudah pulang ke tanah air- adakah segala 'amal dan sikap mahmudah yang saya usahakan di sana, berjaya dikekalkan di sini sehingga panggilan umrah/haji seterusnya (semoga dijemput lagi, amin)?
Ada juga beberapa tips yang penulis kongsikan yang amat membantu untuk panduan pembaca satu hari nanti, terutama sekali jadual peristiwa/haluan hidup (halaman 135). Dijemput Ilahi untuk menziarahi Mekah dan Madinah, bukanlah satu perkara yang kecil dan bilamana penulis berkongsi jadual tersebut, saya amat terkesan daripada segi pentingnya mengamati perjalanan hidup yang amat singkat ini, apatah lagi bila berada di sana- apa lagi yang perlu direnungi selain daripada diri sendiri dan bekal 'ibadah yang telah disemai di setiap haluan usia pinjaman Allah ini.
Buku travelog yang ringkas isinya tapi sarat dengan emosi dan ibrah. Tahniah dan terima kasih Puan Nisah untuk karyanya dan kepada Puan Mun juga. Barakallahufiikum.
Travelog umrah dan haji bukan sesuatu yang nadir dalam persuratan Islam, namun catatan oleh tangan pengarang wanita yang sasterawan bukan selalu muncul di persada khalayak pembaca.
Hal ini memungkinkan Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah terhidang dengan bahasa yang terpilih dan memikat, malah tampil menawan dengan gambar berwarna serta reka letak yang molek. Dek kecekapan menyusun bahasa dan pengisian yang bermakna, catatan pengalaman umrah Ramadan ini begitu menusuk, manakala kota Madinah terasa nian indahnya.
Beberapa bab dalam buku ini turut memberikan petua dan panduan berguna untuk pengembara, khususnya mereka yang menuju kota ibadah. Sementara bab yang lain merakamkan beraneka pengalaman yang menerbitkan rasa syukur, mengharukan hati dan juga mencabar kesabaran. Semuanya bersulam refleksi dan hikmah tersendiri.
Pengarang juga meneroka keluasan makna rezeki di sebalik pemergiannya ke tanah suci. Melalui cerita ini, nescaya akan kian lenyap kesangsian, bahkan makin teguh bukti bahawa bukan harta yang menyampaikan seseorang hamba ke sana; hanya keizinan-Nya yang Maha Tahu akan bisikan dalam setiap gumpalan hati manusia.
Tuah pengarang Sehelai Sejadah bukan sahaja dapat meraikan hari lahir yang ke setengah abad di sana, malahan ada kejutan yang lebih besar menunggu setelah pulang.
Umpama panggilan demi panggilan untuk menuju ke rumah-Nya yang agung, buku ini adalah salah satu laungan paling manis.
Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah oleh Nisah Haji Haron
Buku ini merupakan sebuah travelog pengalaman penulis menunaikan umrah pada bulan Ramadan—penuh dengan perkongsian yang jujur, dekat, dan menyentuh hati.
Apa yang paling memberi kesan ialah peringatan bahawa apabila kita dijemput oleh-Nya, kita perlu membuat persediaan sebaik mungkin. Belajarlah dan kumpulkan maklumat tentang umrah—tempat-tempat penting, kemudahan pengangkutan, serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Semua ini menjadi langkah awal untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang tidak dijangka.
Gaya penulisan penulis juga sangat menarik kerana sudut pandangnya yang teliti. Setiap pengalaman dan maklumat dikongsikan dengan terperinci, membuatkan pembaca seolah-olah turut sama melalui perjalanan tersebut.
Sebuah bacaan yang bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga menyentuh jiwa dan membuka hati untuk lebih bersedia menjadi tetamu-Nya.