Malam itu, malam berdarah. Malam itu, dia hilang suami, saudara dan ayah. Malam itu, kuasa dan harta keluarganya punah. Sejak malam itu, kehidupannya berubah.
Puncanya, bermula daripada arahan seorang lelaki bernama Tengku Erhan. Lelaki muda yang dingin dan beku. Entah apa dendam pada keluarganya sehingga arahan sedemikian dikeluarkan.
Tapi, kita cuma akan kenal diri sendiri ketika berada di titik terendah dalam hidup. Dia sangka lelaki itu berdendam kerana dia berkahwin dengan Syed Ali. Tapi rupa-rupanya dia silap besar...
Semakin dalam dia menyelongkar keburukan lelaki itu, semakin dalam rasa bersalahnya. Semakin dia tahu kebenaran yang tersembunyi. Semakin dia kenal baik buruk keluarga sendiri.
Serumit konflik di antara bendahara dan raja dalam politik istana, serumit itulah kisah Fatima.
Diinspirasikan daripada kisah Tun Fatimah, novel Fatima ditulis dengan genre politik dengan latar zaman moden. Disulam dengan sedikit genre cinta sebagai penyeri cerita.
Kisah utamanya berkisar tentang dua skandal kewangan terbesar negara, yang ditulis penuh hati-hati agar tidak mencuit mana-mana figura; serta perebutan kuasa politik dalam Elite Council di antara keluarga Megat dan keluarga Ghazi.
Tengku Erhan, selaku pewaris keluarga Ghazi akan sedaya upaya mempertahankan kedudukannya. Manakala Fatima, berada dalam dilema di antara keluarga dan cinta terhadap pemusnah keluarganya sendiri.
Ini buku pertama dalam siri Puteri yang dibaca. Konflik politik, perniagaan dan kekeluargaan berjaya diadun dengan baik. Seakan terbayang drama sejarah China yang dipenuhi konfilik politik istana dan keluarga bangsawan. Penulis berjaya membuatkan aku untuk tak sabar menunggu siri seterusnya dan lengkapkan koleksi sebelum ini.