Kita bukanlah insan istimewa. Namun, adakala kita berasa kitalah yang paling baik dan kitalah paling sempurna, sehingga ada yang terdetik kita mampu sendirian mengharungi liku-liku kehidupan. Rasa itu terus menjalar ke benak hati paling dalam.
Ya… tanpa sedar kita tewas dalam telahan sendiri. Lalu, segala teguran diabai dan nasihat dianggap dusta. ALLAH… siapa kita untuk berasa hebat? Kita hanya insan kerdil yang mengharap maghfirah Ilahi jua.
Lupakah kita bahawa hanya ALLAH tempat sandaran?
Andai ALLAH diabai, ke mana harapan harus dituju?
ALLAH itu dekat. Tidak pernah menjauh.
Kita pula sering melupakan-NYA dan mengingati saat kesusahan bertamu. Lalu, munajatlah tanpa henti. DIA akan membantu kita dalam mendidik hati dan jiwa.
Pasti… kita menjadi sebaik-baik insan. Yakinlah… Cukup hanya DIA di hati.
Ustaz Kazim Elias adalah seorang penceramah bebas yang terkenal di Malaysia. Ceramah Ustaz Kazim banyak dimuatnaik di laman youtube. Pendekatan komedi dan santai yang digunakan oleh Ustaz Kazim dapat menarik minat ramai pendengar dari pelbagai latarbelakang masyarakat. Topik-topik berkaitan dengan keluarga dan motivasi sentiasa menjadi intipati ceramah beliau. Merupakan pengasas dan pengetua untuk Pusat Pendidikan Al Barakah iaitu pusat pendidikan Islam yang beribu pejabat di Kg Manjoi, Ipoh, Perak. Ustaz Kazim juga banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan agama Islam. Beliau sering dijemput untuk memberi ceramah disekitar tanah air terutama termasuk Singapura dan Brunei. Selain itu juga dijemput menjadi ahli panel atau pensyarah di siaran-siaran televisyen dan radio utama nasional dan juga ceramah perdana.
Naskah kedua daripada penceramah ini benar-benar memberi manfaat kepada saya. Walaupun nipis tapi padat dengan panduan hidup sebagai umat Islam. Naskah ini bukan saja tertumpu pada satu golongan saja malahan ianya melibatkan seluruh masyarakat sama ada anak-anak, ibu bapa mahupun orang ramai. Jadinya, naskah ini sesuai dibaca oleh semua peringkat umur. Tahniah buat UKE atas kelahiran naskah ini.