Kebalikan daripada budi itu tentulah badi. Justeru akal budi adalah ikhtiar yang baik untuk mencapai kesejahteraan masyarakat; keterbalikannya, yakni akal badi pula adalah ikhtiar yang buruk dan merupakan tipu daya. Syahdan, ini bermakna akal budi Melayu adalah perihal kecerdikan atau kebijaksanaan Melayu sementara akal badi Melayu adalah perihal tidak semenggahnya Melayu. Buku ini menyajikan kupasan yang segar mengenai akal budi Melayu dengan menyasarkan perkataan ‘bijak’. Pantun dan metafora lain seperti peribahasa telah dijadikan sandaran pembuktian kehebatan kebijaksanaan Melayu ini. Akal budi melawan akal badi boleh dijadikan asas pertimbangan bagaimana untuk berkelakuan dengan baik melawan sebarang bentuk penipuan yang membawa kepada kemudaratan.
Sebuah buku yang memerihalkan akal budi orang Melayu. Akal budi ini memberi pengertian yang mirip dengan 'intelektualisme'. Walaupun alam Melayu lambat menerima perkataan 'intelektualisme', 'akal budi' hakikatnya lebih terangkum dan tepat dalam menggambarkan orang Melayu.
Akal budi ditakrifkan sebagai cara berfikir, kepintaran dan kearifan tempatan. Modus operandi akal budi boleh diterjemahkan kepada 3A, iaitu (1) akulturasi; pengolahan sesuatu yang asing ke dalam budaya sendiri, (2) adaptasi; meminjam budaya luar dan diubahsuai dengan sifat setempat, dan (3) akomodasi; menerima yang asing dan dibentuk baharu yang serasi dengan agama dan tradisi.
Akal budi ini diterjemahkan oleh penulis kepada tiga wilayah, iaitu (1) gastronomi (kajian berkenaan makanan dan kebudayaan); bagaimana ketupat, kelapa dan kuih baulu menjadi lambang kepada kebudayaan Melayu, (2) kesejahteraan hidup dengan dikhususkan kepada hak asasi manusia; sebelum Barat hadir dengan Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pada tahun 1948, orang Melayu telah lama mengiktiraf konsep keadilan, kesetaraan serta kebebasan, dan (3) kesenian dan pemerhatian terhadap alam sekeliling, misalnya pada warna, kehalusan kain tenun, ornitologi (kajian berkenaan burung) dan hantu. Sepanjang penghujahan, penulis turut menangkat peribahasa dan pantun sebagai lambang kepada akal budi Melayu. Perkara pertama dan ketiga, telah dihuraikan dalam bentuk penceritaan yang panjang lebar dalam Ketupat Cinta dan Manikam Kalbu.
Yang bertentangan dengan akal budi pula ialah akal badi, yakni betapa tidak semenggahnya Melayu. Nama lain yang mirip dengan akal badi ialah akal bulus, akal kancil dan akal geladak. Penulis mengingatkan bahawa “yang budi disimpan setia, yang badi disangkal ditongkah usah membela” (h. 99).
Tiada lagi yang seindah selain bersifat budi sesama manusia dan seluruh alam ini.
Buku Manikam Budi dari Dr. Mohd Faizal Musa membuktikan hal-hal yang jarang atau tidak diketahui ramai tentang akal budi orang Melayu. Ternyata naskhah ini satu pembuka jalan baru untuk saya kenal sejauh mana Melayu yang baik-baik, yang elok-elok dan yang cerdas isinya.
Bahagian paling menyentuh hati saya ialah Kearifan Tempatan dan Hak Asasi. Ketika mata kita sering menyanjung komponen hak asasi moden, rupanya dalam lipatan sejarah jika dikaji sudah wujud demokrasi yang menjaga keadilan dan hak masyarakat di alam Melayu. Konsep menjaga maruah serta kehormatan yang semulajadi ada dalam diri orang Melayu itu sebenarnya membawa impak yang amat besar demi melahirkan negeri yang aman. _____________________ Jika membaca tentang Kearifan Tempatan dan Kesenian pula mengingatkan saya kepada novel Manikam Budi. Cerita tentang warna dan fabrik yang datangnya dari kemahiran memerhati dan mendekati alam flora fauna. Manakala bahagian Rumusnya pada Bahasa paling saya sukai. Agaknya kenapa bahasa Melayu itu halus? Jawabnya ada pada kumpulan peribahasa yang dikongsi dalam buku ini.
Amat menarik jika difikirkan semula, orang Melayu ingin menegur sesuatu yang salah tetapi dengan berbahasa lembut. Namun, jika difahami oleh seseorang itu ia umpama tikaman pedih. Ya, suatu bentuk teguran yang tidak mendatangkan kecederaan fizikal kerana bahasa itu dijaga dengan budi dan kehalusan. _____________________ Saya rasa pegun membelek halaman Bibliografi, mungkin ada masanya perlu juga membaca dan ambil tahu karya-karya dari pakar kearifan ilmu Melayu yang lain.
Terima kasih Dr. Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) untuk Manikam Budi yang cukup luar biasa dari pembaca yang melengung mencari makna diri. Sekalung tahniah juga buat Kawah Buku kerana menerbitkan karya yang boleh saya anggap terpenting pada zaman yang sedang tercicir akal budi.
Sejujurnya, buku ini telah mengubah tanggapan saya terhadap kecerdasan dan kebijaksanaan bangsa Melayu.
Ya, saya memang tahu bahawa dalam sejarah Melayu, konsep asas tentang hak asasi, demokrasi dan dinamika hubungan rakyat-pemerintah itu memang telah wujud, melalui perjanjian semacam kontrak sosial antara Sang Si Perba dengan Demang Lebar Daun. Namun saya baru tahu, bahawa sejarah teori hak asasi di Tanah Melayu telah dirangka seawal abad ke-6 Masihi, melalui penemuan prasasti Talang Tuo, raja Srivijaya yang menjulang tinggi nilai persaudaraan dan kemuliaan insan, jauh sebelum Universal Declaration of Human Rights yang hanya dimaterai pada 1948.
Saya juga sedia mengetahui bahawa makanan sememangnya menempati kedudukan tinggi . Namun saya baru tahu aspek makanan di alam Melayu ini bukan hanya soal sedap dan cukup rasa semata-mata, malahan ia juga punyai khazanah yang cukup kaya dari sudut gastronomi (kajian tentang hubungan antara makanan dan budaya) yang antara lainnya merangkumi asal usul dan falsafah ketupat. Saya tidak pernah terfikir bahawa santapan berupa beras yang dibalut dengan daun kelapa ini asalnya merupakan juadah istimewa dalam upacara keagamaan Hindu, sebelum ia diberi erti baharu setelah masyarakat Melayu memeluk Islam.
Tidak kurang penting juga soal kemampuan umat Melayu berabstraksi melalui metafora dan interaksi rapat dengan alam sekeliling (alam terkembang menjadi guru), lalu diungkap dengan cukup puitis melalui bidalan, peribahasa dan pantun.
Sudah pasti tidak sedikit tenaga dan waktu yang dikorbankan demi menggali semula khazanah keilmuan Melayu yang berusia ratusan, malah ribaun tahun ini, dan setinggi penghargaan perlu dikalungkan kepada penulis.
Faizal Musa, atau Faisal Tehrani seperti kebiasaannya, tidak pernah segan silu dan menyembunyikan diri daripada kontroversi. Beliau suka menyindir dan berani berterus-terang, namun terkadang kelihatan (atau kedengaran) agak melulu. Ia mungkin terbit daripada keyakinan teguh atas kepercayaan, ataupun muncul daripada kegopohan akibat tidak kefahaman yang tidak mendalam terhadap satu-satu isu.
Contohnya, kenyataan beliau bahawa "Melayu tidak semestinya unggul kerana Islam sahaja, tetapi Melayu juga sudah lebih terbilang ketika sebelum Islam. Kehadiran Islam hanya membantu proses-proses lain pengayaan umat Melayu." Kenyataan ini pasti boleh ditanggap sebagai seolah-seolah meremehkan peranan Islam dalam membentuk dan memberi roh kepada kebudayaan Melayu, tidak hanya dari sudut ritual agama semata-mata, tetapi juga bahasa, seni, falsafah, nilai, dan sistem kehidupan, seperti yang dikupas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
Saya juga perasan di beberapa tempat, seakan ada beberapa kenyataan penulis yang seolah "memaksakan fakta demi menjustifikasi pandangan peribadi yang telah sedia dipegang (preexisting assumptions)". Contohnya penghakiman beliau terhadap kaum agamawan Melayu pada zaman lampau yang "berada di serambi takhta dan menyusunkan pelbagai kitab untuk memberi hukum; dengan niat mengawal rakyat jelata agar tidak berlebihan menuding kepada pemerintah." Siapa agamawan yang dimaksudkan? Elok juga jika penulis menyertakan sumber rujukan untuk pembaca boleh turut sama menilai perlakuan para 'ulama terompah' yang menjadi alat pemerintah ini.
Namun ini isu sampingan yang pada saya tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan dalam menikmati karya ini, dan tidak sama sekali menafikan premis penting buku dalam membuktikan "kecerdasan dan kebijaksanaan bangsa Melayu" dalam pelbagai bidang, dan secara peribadi, saya cukup terkesan dengan sekian banyak pembuktian yang dibawa.
Antara pelajaran penting yang dititip oleh penulis juga ialah bahawa proses akulturasi, adaptasi dan akomodasi yang diamalkan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman itu, telah menyumbang kepada daya tahan budaya Melayu, dan tidak sama sekali melunturkan jati diri da meruntuhkan teras Kemelayuan - dengan syarat ia dilakukan secara bertahap dan bermatlamat.
"Bangsa Melayu itu berbudaya bahari (kelautan dan kesamuderaan), sifatnya menyerap, justeru globalisasi bukan ancaman kepada bangsa Melayu. Globalisasi ialah kesempatan dan peluang. Melayu bukan bangsa Parsi atau Jepun yang rentan dan sukar menyerap budaya lain."
Cukup bagi seseorang yang mahu mengenal siapakah itu Melayu. Bagi kamu yang selalu menyangkal bahawa Melayu itu lemah dan hanya berpandukan tombak dan keris untuk menentang penjajah, maka buku ini untuk kamu.
Dapatlah menambah sedikit sebanyak ilmu pengetahuan yang sudah berkarat untuk sekian lamanya, konten dari buku ini menawarkan perspektif yang baharu dan sedikit terbeza daripada pengetahuan sedia ada kita. Tidak rugi dan tidak menjelikkan, malah lebih kepada membuka mata dan ruang kepada dimensi pemikiran baharu. Setiap baris ayat adalah sesuatu yang baharu yang membawa kepada momen 'Oh, aku tidak pernah tahu' atau 'Oh, begitu rupanya bangsa aku!'
Dikarang oleh penulis yang gemar bereksperimen, pembukaan buku ini semestinya tidaklah mudah untuk diterima pada awalnya tetapi mula merangsang akal dan fikiran setelah membelek halaman demi halaman. Dari permulaan sejarah rumpun Melayu, sehinggalah membawa kepada nilai kemanusiaan, gastronomi, nilai bahasa dan komersial serta hiburan Masyrakat Melayu adalah cukup membanggakan. Anda akan merasa pelik sehingga tertanya-tanya ke mana hilangnya akal dan budi Melayu yang kreatif dan kritis ini.
Jangan bimbang, setiap fakta yang dilontarkan diselitkan dengan rujukan yang cukup kuat dan unik. Itulah keistimewaan buku ini. Sudah tiba masanya kita mengiyakan keunggulan sejarah Melayu yang bertaburan dan bertebaran di seluruh pelusuk dunia. Kita tidak berasa bangga kerana kita sendiri tidak faham dan tahu asal usul kita. Maka, dengan bahan bacaan yang disediakan ini diharapkan anda terpanggil untuk kenal bangsa sendiri dengan lebih mendalam.
Paling suka bab gastronomi. Rasanya (setahu saya) tak ramai yang sasterawan cuma menelusuri bab gastronomi Melayu. Kalau dulu FT "terjemahkan" gastronomi dalam novelnya Ketupat Cinta, tapi ini melalui karya yang lebih akademik.