Ah, pengakhirannya meruntun jiwa!
Sungguhpun Hamba adalah sebuah novel, namun ianya mencerminkan kehidupan masyarakat di Tanah Melayu pada awal kurun ke-19. Kehidupan golongan pembesar di Tanah Melayu khususnya di Perak, tentang adat dan budaya buruk pembesar yang menyimpan dan menjual beli hamba dan menghisap serta menjual candu.
Hakikat yang pahit mesti ditelan oleh anak Melayu pada masa kini, adalah menerima fakta bahawa adat menyimpan dan menjual-beli hamba pembesar Melayu terdahulu sangat terkutuk! Hamba pada ketika itu terbahagi pada dua golongan, hamba berhutang (orang Melayu) dan hamba abdi.
Golongan hamba abdi pada ketika itu diperoleh dengan menculik orang asli yang tinggalnya di dalam hutan. Mereka diculik tidak kira usia dari semuda 5 tahun sehingga setua lewat 50-an tidak kira lelaki mahupun perempuan. Kehidupan sebagai hamba abdi ketika itu sangat teruk, mereka dilayan seperti binatang, kaki mereka dirantai besi, dikerah bekerja dari pagi hingga ke petang, hanya diberi makan sekepal nasi bersama ikan masin sekali sehari.
Lagi terkutuk, hamba perempuan dijadikan gundik pembesar, peneman pembesar menghisap candu dan tempat mereka melampiaskan nafsu, tidak cukup dengan itu, mereka dijadikan pelacur kepada pembesar lain dan pedagang dan pelombong cina dan hasil melacur dikaut oleh pembesar ini tadi! Merdeka bagi hamba abdi bermaksud dua jalan; melarikan diri dan cuba sedaya untuk kekal hidup tidak ditangkap kembali atau merdeka di alam abadi, bilamana roh meninggalkan jasad.
Apabila orang Inggeris menjajah Tanah Melayu, dan menyahhapuskan sistem perhambaan ianya merupakan episod hitam bagi orang Melayu, terutama pembesar dan sultan. Mereka kehilangan tenaga kerahan dan sumber pendapatan. Tetapi bagi golongan hamba abdi, ini merupakan titik mulanya sejarah kemerdekaan bagi mereka.