Mimpi aneh yang menyakitkan membawa Umair Jayden ke sebuah perkampungan nelayan. Di situ dia bertemu Saufi, anak muda yang menguatkan keyakinannya pada gerak hati.
“Ibunya mengalami kemurungan, adiknya ada masalah penglihatan dan perlukan pembedahan segera. Sedangkan si abang hanyalah penjahit pukat."
Namun, penerimaan Jusoh hanya separuh hati.
“Tak masuk akal! Siapa dia ni?”
Dalam kekalutan, ada Awatif yang ingin mempercayai.
“Kak Atif sedar tak, dia hanya ambil kesempatan atas ketiadaan Hambali?”
Penolakan yang berkali-kali menjadikan Umair tahu diri. Ketulusannya yang diragui membuatkan harapannya koyak dan jiwanya rabak.
“Saya belajar menjadi gagah. Walaupun diri hampir patah macam papan-papan lama jeti tu.” - Umair
“Dia dah tak ada lagi dalam hati kami. Dia dah matikan seluruh rasa bahagia dalam keluarga ni!” - Jusoh
Kelukaan Umair membirat hingga membawa langkahnya pergi. Namun, tanpa disedari, ada cebisan memori yang dia tinggalkan dalam hati seseorang.
Untuk baca buku ni sangat perlukan kesabaran yang tinggi sebab slow paced, bahasa yang terbuai-buai serta 300 m/s pertama sangat banyak teka teki dan persoalan. Buatkan saya rasa nak selak helaian terakhir sebab tak penyaborr nak tahu kesudahan perjalanan Umair Jayden. Tapi macam tak bestla pula nak skimmed terasa tak masuk sekali berjalan mencari diri Umair. Haish, I ingatkan ending tu sad-bittersweet sebab semacam ada hints tapi nasiblah tak.
Overall, I enjoyed the journey. Sebakla sikit bila sentuh isi kekeluargaan ni.
300 halaman pertama memang perlahan dan penuh dengan persoalan. Namun, cerita tetap dipacu dengan baik. Aku merasakan seperti menonton drama di TV2 dahulu.
Latar laut, rumah kampung dan pantai memberikan pengalaman yang menyentuh hati buat aku. Apatah lagi, keluarga mereka digambarkan miskin dan masih menggunakan air telaga.
Kejutan pertama sepertinya sudah aku jangka. Ada juga pertanyaan dalam benak aku sendiri, sekiranya dibuka dari awal, adakah akan begini jadinya? Kejutan seterusnya menyaksikan kepingan susun suai mula tercantum dan menampakkan gambaran yang sebenar. Aku sangkakan hanya satu bahagian, tapi rupanya banyak bahagian pada Umair yang memungkinkan perkara itu menjadi lebih sukar. Patutlahhhh...
Semakin ke hujung, penulis menyelak lagi halaman silam, membuatkan aku bertambah sebak dengan apa yang pernah terjadi dahulu. Beberapa kali jua bergenang air mata, namun tidaklah sampai aku menangis. Tetapi kesedihannya tetaplah terasa.
Terpadamnya Lilin di Tangga - aku syorkan pada orang yang penyabar, atau untuk mula membacanya dengan tenang, sebelum badai melanda jiwa, pada hampir 200 halaman terakhir.
Sebuah cerita kekeluargaan yang sarat dengan kesedihan dan penuh tanda tanya, namun dengan membacanya ke hujung, segala persoalan sejak dari awal, terjawab dengan indah.
🕯️Kekeluargaan 🕯️Slow burn Romance 🕯️Slice of Life
𝘏𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘩𝘢𝘵𝘪.
Buku ini berkisar tentang Umair Jayden, dia memilih untuk memberi ruang kepada diri sendiri dengan berundur sebentar daripada kehidupan dan kerjayanya. Berbekalkan secebis mimpi dan gerak hati yang kuat, dia menuju ke sebuah kampung nelayan bagi mencari asal usul dan memori silam yang hilang. Dalam usaha menjejaki jawapan itu, Umair memaksa dirinya menyesuaikan diri dalam kehidupan baharu yang asing, namun firasat yang kuat membuatkan dia terus melangkah.
Permulaan jalan cerita bergerak agak perlahan, sebab dia macam Umair ni kenapa & siapa sebenarnya😂 Suka buat orang lain bingung, dengan sis sekali terjebak. Ada lah rasa betul ke nak sambung baca, sebab buku setebal ni takkan asyik tarik tali je pasal Umair ni, pastu tiba nak masuk campur hal keluarga orang lain, hal orang kampung juga. Sesuatu sangat🙄 Tapi bila teruskan juga bacaan, baru lah tahu kan apa yang tersirat sebenarnya.
Namun, kekuatan novel ini jelas pada suasana kampung nelayan yang diceritakan dengan sangat realistik. Vibes kehidupan masyarakatnya sampai dengan baik iaitu penuh dengan kesederhanaan, kesusahan, serta perkembangan watak. Bahagian ini yang buat saya kekal membaca, kerana terasa hidup dan dekat dengan realiti. Buku ni ada vibes macam tengok drama siri RTM1 tuu🍂🍃
Sewaktu memilih buku ini, saya memang dalam mood ‘slow reading’. Nak bacaan yang perlahan, tenang, tanpa aksi mendebarkan atau konflik berat. Cumanya kena ready, buku ni bukan untuk orang yang nak cepat cepat tahu kenapa gitu & gini. Jadi, kena cari masa & mood yang tepat kalau nak baca buku ni🫢 Sebab watak-watak buku ni penuh dengan emosi, maka ketersediaan tu perlu untuk berkenalan dengan mereka dengan lebih baik & bermakna.
Apa ya aku nak cakap tentang buku ni. Membaca buku ini sama perasaannya dengan menonton sebuah KDrama "My Liberation Notes".
Kisah dan jalan ceritanya memang tak sama, cuma aku rasa ada aura yang sama bila baca novel ini. Slow burn, perasaan watak yang mendalam. Kiranya cerita ni makan dalam la. Watak Umair itu sendiri menyimpan banyak misteri sepanjang perjalanan cerita.
Kehidupan di kampung yang ditonjolkan berjaya menggambarkan kekuatan masyarakat setempat yang masih menjaga 'tepi kain orang lain'. Maksudnya mereka saling mengambil berat, kisah dengan kesusahan orang lain, saling menyokong dan telus dalam memberikan pendapat.
Trauma dengan kejadian lalu, memberikan kesan yang mendalam kepada kehidupan yang dijalani oleh keluarga Jusoh. Dia menjadi lebih degil kerana kejadian lalu. Kalau boleh, dia tidak mahu lagi kehilangan sesiapa dalam hidupnya. Ibunya menjadi seorang yang pendiam dan banyak termenung.
Cuma satu je yang aku masih tertanya-tanya. Mengapa tajuk ini yang dipilih, sebab hingga ke akhirnya, aku masih tak jumpa simbolik atau situasi yang menggambarkan tajuk itu. Hehehe...itu jelah nak kongsi.
Kalau anda sukakan novel kehidupan berkonsepkan penceriitaan slow burn, emosi yang dalam, novel ini salah satu pilihan.
Sesiapa yang suka novel puitis dan slow pace, buku ni sangat sesuai. Walaupun agak slow pace, tapi disebabkan saya suka dengan permainan kata oleh penulis dalam setiap dialog, saya tak sedar yang hampir habis membaca. Ending agak sama2 pada permulaannya, pada 10 bab terakhir macam dah boleh agak. Tapi tetap menangis juga saya bila penulis sentuh isu kekeluargaan lagi-lagi pengorbanan adik beradik sulung tika keluarga hilang tunjang tanpa diduga.
Tema ‘Sejauh mana kita pergi, tempat asal pasti akan dikenang’ sangat memberi kesan kepada saya, seorang perantau. Kadang rumah itu terasa asing pada zahirnya, tetapi terlalu dekat pada pegangan memori dan emosi. Usaha Umair untuk mencari identiti diri walau hanya sekadar mengikut gerak hati sangat saya kagumi. Sakit dibuang keluarga hanya kerana salah faham dan tanggungjawab untuk menjaga hati buat saya terusik beberapa kali khususnya pada katakter Jusoh.
Tahniah penulis kerana berjaya menyusun kata menjadikan cerita ini seperti novel misteri dengan latar yang lebih tenang.
Buku ini sarat dengan emosi. Permulaan cerita agak perlahan dan menjadi kepingan puzzle yang hendak dicantum. Kisah Umair yang mencari diri dalam memori masa lalu.
Bagaimana pemuda dari Perth ini dapat kembali ke kuala kecil di Semenanjung Malaysia? Gerak hati katanya. Di sinilah bermula kisah Umair.
Perkenalan dengan Opie membawa Umair mengenali keluarga kecil Opie. Saat hatinya terusik dengan tatapan wajah Ibu, Dini dan dinginnya respon Jusoh, hatinya kuat mengatakan ada sesuatu di sini.
Dalam seriusnya perwatakan beliau, tetap ada nakalnya mengusik Awatif. Awatif yang sentiasa berhati-hati, selalu memerhati setiap gerak-geri Umair dalam diam. Benarkah curiga merajai hati? Atau sebenarnya ada rindu yang tersisip?
Umair mengingatkan mereka dengan seseorang yang telah lama pergi dan tak kembali. Seseorang yang telah hilang di lautan luas. Terkubur tanpa nisan. Pertuturan, tingkah laku nasihatnya hampir sama sahaja. Lalu, siapakah Umair?
Mungkin buku ni bukan untuk aku tapi aku hargai sangat buku ni. Rasa macam tengah tengok filem Pulang versi slow burn dengan banyak konflik dalaman.
Bahasa cantik, sopan je (kdg2 geram gak sebab baik sangat ayat ni haha)
Paling penting, buku ni bagi kita rasa pelbagai emosi. I loved that. Sakit tu sampai, ternangis juga. Scene family, scene adik-beradik, banyak. Emosi tu sampai.