Penemuan catatan ‘Hijab Rindu’ yang ditemui (Hari ini) merungkai kisah kurun ke-14. Shafi membesar dalam asuhan salah seorang Wali Songo. Dengan alam yang terhijab, mengheretnya ke Tanah Langkasuka bertemu ‘Makhluk Bernyawa Panjang’. Siapakah dia? Dialah makhluk yang selalu menyesatkan anak-anak Adam. Diciptakan dari api dan angkuh kepada Allah SWT. Puteri Irdina, puteri Kerajaan Langkasuka terheret ke Sempadan Pura iaitu alam yang terhijab semasa disihir. Atas perbuatan semangat jahat, dia berubah menjadi ‘manusia berjiwa dua’’. Manakala Puteri Qaisara, puteri Kota Amuriah dikurung di sebuah tempat rahsia. Ayahandanya iatu Raja Baytizan, menjelma menjadi Puteri Qaisara melalui bantuan taghut laknatullah.
Riduan Judin dilahirkan pada 10 September 1992. Beliau merupakan penulis novel thriller Malaysia. Genre yang menjadi identiti dan garapan beliau ialah genre thriller yang diadun dengan mistik dan misteri. Sekarang, beliau sedang bernaung di bawah syarikat besar dan ternama iaitu Syarikat Karangkraf dalam penerbitan novel.
Riduan Judin dilahirkan di Pitas, Sabah, yang merupakan seorang guru muda yang sedang menghadapi tahun akhir di IPG KBM. Dalam dunia penulisan, Riduan Judin merupakan antara novelis muda yang berjaya melakar nama di pentas penulisan Malaysia. Sekali gus berjaya mengikuti jejak novelis thriller lain di Malaysia seperti Ramlee Awang Murshid, dan penulis-penulis lain. Beliau juga aktif dalam bidang sukan terutamanya bola sepak. Beliau juga pernah menggiatkan diri dalam bidang seni mempertahankan diri iaitu Seni Silat Gayong Malaysia.
Sejujurnya novel ini saya akan beri 5 bintang, jika NOVEL SUNAN TIDAK PERNAH WUJUD. Membaca novel Petaka Nyawa ini seperti mendapat deja vu. Bergitukan ayat. 😂😂
Saya memang gemar dengan perjalanan cerita sebegini. Fantasi tapi masih disulami keindahan Islam. Tapi, itulah... Terlalu banyak bayangan RAM ada di dalam novel ini. Lebih jelas apabila babak bangsa polip itu wujud. Sehingga saya terpaksa loncat beberapa bab memandangkan bab-bab tersebut seperti telah dibaca dalam novel RAM.
Maaf buat penulis. Saya bukan mahu menghentam. Saya berfikiran positif, mungkin penulis tidak pernah membaca karya RAM sehingga terlalu banyak persamaan yang muncul. Apa-apa pun bagi yang tidak pernah mengikuti kisah Sunan, anda masih boleh membaca karya ini.
Penemuan sebuah catatan lama merungkai sebuah kisah di abad ke 14. Shafi seorang pemuda giat menyebarkan kebaikan agama Islam di samping membantu memerangi makhluk bernyawa panjang yang melakukan pelbagai helah agar ramai lagi yang turut sesat sepertinya.
Perwatakan Shafi mengingatkan SH kepada Laksamana Sunan. Alangkah baiknya jika dunia dipenuhi pemuda-pemuda sebegini. Yang sentiasa berpegang pada kalam Allah. Yang bibirnya tak lekang dari berzikir mengingati Allah. Yang seluruh pergantungannya hanya padaNya.
Watak makhluk bernyawa panjang sememangnya tepat mengambarkan iblis dan syaitan yang tidak putus asa dan bijak menggunakan helah agar ramai lagi umat manusia terjerumus ke jalan yang sesat. Ada yang tunduk dengan ugutan, ada yang tunduk dengan kekuasan dan harta, ada pula yang tunduk angkara orang tersayang.
Sebuah naskah yang menarik dan penuh dengan pengisian. Cuma, pengakhirannya sedikit mengecewakan SH. Ada banyak persoalan yang tidak terungkai. Mungkin penulis mahu pembaca membuat kesimpulan sendiri.
Dan SH rasa naskah ini akan lebih sempurna jika tiada kesalahan tatabahasa dan ejaan. Walaupun SH ni bukanlah seorang yang sangat teliti namun banyak juga kesalahan yang tidak terlepas dari pandangan. Dan SH rasa naskah ini ada banyak babak imbas kembali hingga kadangkala sedikit terkeliru. Kena ulang sedikit pembacaan untuk betul-betul memahami.
Dan SH suka juga apabila penulis memasukkan penceritaan di Tanah Arab. Kisah 2 tempat digabung dan diolah dengan baik membuatkan naskah ini semakin seronok dibaca. Sebab untuk SH selain Tanah Melayu yang sememangnya tempat tumpah darah kita, Tanah Arab adalah sesuatu yang SH rasakan agak dekat dengan jiwa.
Sebuah kisah di dalam kisah. Gabungan watak-watak masa kini yang terdiri daripada mujahid dan mujahidin yang bertugas sebagai sukarelawan di Syria, bersama watak-watak pejuang Islam di kurun ke-14. Kisah Kiai Jabar, anak angkatnya Shafi yang tekun beribadah di madrasah sebelum diuji dengan serangan makhluk tersumpah.
Lalu, penulis membawa kita kepada perjalanan Shafi ke negeri-negeri yang diganggu makhluk dalam kalangan syaitan yang direjam. Yang sentiasa cuba menakluk bukan sekadar takhta sesebuah kerajaan, tetapi iman di jiwa insan.
Pertarungan, bukan hanya secara fizikal, tetapi spiritual. Yang mana, watak putih sentiasa memuji Allah dan meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada DIA. Watak hitam bermain sihir tercela.
Latar tempat dan masa sentiasa berubah-ubah. Dari satu negeri ke satu negeri. Teknik imbas kembali turut digunakan oleh penulis bagi menggambarkan punca kejadian dan tragedi yang berlaku kepada watak-wataknya pada setiap pertukaran lensa cerita.
Petaka Nyawa ini, judulnya merujuk kepada watak hitam yang disebut dengan beberapa nama - Thagut, Makhluk Yang Panjang Nyawa, dan beberapa lagi gelaran. Makhluk yang merasuk daripada satu tubuh ke satu tubuh untuk diperhamba.
Cinta hadir kepada semua manusia. Dan, di dalam cerita ini hadir dan tumbuhnya dalam hati pemuda yang hatinya kuat memegang tali agama. Benih cinta yang tumbuh itu pula, dua cambahnya. Ujian yang sukar bagi seorang manusia walau dia menjaga hatinya daripada segala lagha. Dan, dia memilih Tuhan dalam penyerahan diri terhadap setiap ujian. Baik ketika diuji dengan kehadiran syaitan, mahupun kehadiran dua cinta pada satu masa walau salah satunya dari zaman berbeza.
Pengakhiran cerita lebih kepada rasa muhasabah jiwa. Ia tidak memenangkan sesiapa. Malah, memutar plot. Watak putih menjadi watak hitam walaupun watak itu hanya antara watak yang mewarnai perjalanan watak utama. Dan, perubahannya pula bukan kemahuan jiwa, sebaliknya ia tersihir dan menjadi hamba suruhan kepada watak hitam sebenar.
Apa yang boleh dirumuskan, cerita ini cenderung membawa pembaca untuk mengingati Tuhan dan berhati-hati dalam kehidupan yang tak putus daripada godaan syaitan. Syaitan itu ada di mana-mana. Dalam istana raja tidak beragama, di hadapan hamba yang bibirnya tak lepas zikrullah. Syaitan tetap muncul mengganggu.
Agak bercelaru pada awalnya.. Namun semakin pembacaan diteruskan semakin kecelaruan itu dapat dileraikan.. Cerita yang menarik antar zaman lama dan dunia baru.. Ada kisah pertarungan antara baik dan jahat.. Jihad ke jalan Allah..
Jujur aku akui yg kisah drpd novel ini ada sedikit persamaan dgn karya Siri Laksamana Sunan oleh novelis Ramlee Awang Murshid..drpd watak2 dlm novel ni dan juga lokasi smuanya kembali mengingatkan aku ttg kisah Sunan..wpun ada inisiatif tersendiri drpd penulis utk membuat sedikit kelainan namun hati aku msih lg terbyg2 kisah Sunan..menghampiri penghujung novel ini pemahaman aku bercelaru dgn jalan cerita yg agak melompat2 iaitu dr masa silam dan masa skrg..ada jugak watak yg aku rs tiada kaitan dgn kisah ini iaitu ttg ahli silat Gayong di Gurun Kedah..apa kaitan mereka dgn Rabiah & Razlan? Penutup cerita nya pulak seolah2 tergesa2 dan tergantung..pengakhirannya bg aku agak tidak kemas dan kurang jelas ttg bgmn watak Puteri Qaisara berakhir..keseluruhan aku harapkan novel ini masih boleh diperbaiki dgn lebih baik jika ada kesempatan utk membuat sequel...
Bayangan Laksamana Sunan sgt mempengaruhi... Syabas buat penulis kerana berani membuat karya epik thriller spt ini... Tapi diharap dapat menunjukkan gaya penulisan yang tersendiri dlm karya yg seterusnya..
Penemuan catatan ‘Hijab Rindu’ yang ditemui (Hari ini) merungkai kisah kurun ke-14. Shafi membesar dalam asuhan salah seorang Wali Songo. Dengan alam yang terhijab, mengheretnya ke Tanah Langkasuka bertemu ‘Makhluk Bernyawa Panjang’. Dialah makhluk yang selalu menyesatkan anak-anak Adam. Diciptakan dari api dan angkuh kepada Allah SWT. Puteri Irdina, puteri Kerajaan Langkasuka terheret ke Sempadan Pura iaitu alam yang terhijab semasa disihir. Atas perbuatan semangat jahat, dia berubah menjadi ‘manusia berjiwa dua’’. Manakala Puteri Qaisara, puteri Kota Amuriah dikurung di sebuah tempat rahsia. Ayahandanya iatu Raja Baytizan, menjelma menjadi Puteri Qaisara melalui bantuan taghut laknatullah.
Petaka Nyawa,tajuk yang baik dan aku memahaminya."satu pertemuan tujuh perpisahan" aku kurang jelas maksudnya.Cover yang cantik cuma gambar kuda macam tiada kaitan je.Saiz tulisan sedikit kecil.
Sebenarnya cerita ini latar masanya dua zaman(dulu dan kini).Tahniah kepada penulis muda ini diatas kelahiran novel sulung.Dengan susunan ayat yang agak baik,naratif ok dan menerapkan banyak elemen islamik.
Pembacaan aku perlahan dan agak membosankan hampir 25 bab pertama,aku masih mencari hala tuju jalan cerita ini.Jujurnya aku tidak terkesan dengan review orang lain yang mengatakan novel ini dibayangi Sunan.Aku boleh menerima watak Shafi anak asuhan Kiai Jabar@Raden Said@Sunan Kalijaga yang digambarkan sempurna akhlak+pendekar ampuh,selingan bangsa Polip(sebenarnya Al-Hin) sehinggalah sampai lebih kurang 35% penamat(Shafi merentas waktu berkenalan dengan Rabiah) sedikit sebanyak merubah persepsi aku.Betul ianya ada perbezaan dengan Haryani(siri Sunan) tetapi penulis tidak berjaya mengolahnya dengan baik.Penulis mengambil risiko,aku rasa lebih ok 'subjek' ni tidak dimasukkan.
Kelemahan ketara novel ini ialah plotnya tidak kemas pada permulaan dan pengakhiran.Aku rasakan plot tidak licin,pendek-pendek dan melompat sememangnya menganggu bacaan(tiada unsur saspen pun wujud).Seolah-olah apa yang ingin disampaikan tak berfokus.Aku juga kurang suka teknik imbas kembali,ada sebahagiannya aku rasa tak perlu imbas boleh je jadikan naratif.Penggunaan latar tempat yang terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada sebahagian pembaca.
Watak hero utama Shafi tidak berjaya menarik minat aku,aku lebih suka Suhail.Aku menjangkakan mereka berdua mungkin adik beradik yang terpisah (tunggu sekuel nanti).Ada watak yang tiba-tiba muncul seperti Panglima Waqas dan Raja Hurmuzon.Apa yang terjadi kepada watak antagonis Pangeran Aring dan pembantunya tu,mungkin akan muncul kembali.Unsur percintaan yang minimun dan ada konflik,aku cuma kurang jelas kenapa Shafi macam lebih suka Rabiah(gadis masa depan) berbanding Puteri Irdina.Aksi pertarungan tidak menarik,tak ada 'feel'.Aku mengharapkan penulis lebih buat 'homework' untuk babak aksi.
Cerita ini menjadi sangat meleret pada lebih kurang 35% penamat.Terutamanya apa pulak emak rabiah masuk hospital Alor Setar,barah otak dan paling tiada kaitan ialah geng-geng silat gayong tu(motif?).Ini memang membuatkan mood bacaan hilang.Pada masa sama aku rasa macam baca cerita lain pula.
Kesalahan typo yang boleh diabaikan tidak menjejaskan bacaan.Aku suka penulis selitkan info/fakta pengetahuan am. 2.5*
*Semoga penulis muda ini berhasil dengan lebih baik dan diharap ada gaya sendiri dalam karya keduanya dan seterusnya.Beri ruang,peluang dan masa serta sokongan.
maaf bro.. aku tak nak kondem.. cuma yg aku bleh pesan.. cuba cari identiti sendiri.. jangan terlalu terpengaruh dgn idola atau penulis lain yg berjaya.. terlalu banyak persamaan dgn sunan.. maaf lah.. aku tak bleh terima.. anyway good luck.. semoga anda berjaya menjadi penulis ternama satu hari nanti..