Bersangka baik kepada Tuhan bukan semudah yang kita sangkakan. Ia sering disalahfahami, seolah-olah sekadar pasrah tanpa daya.
Kita telah berusaha. Kita bekerja keras seperti orang lain. Kita tetap berbuat baik — walaupun dalam luka. Namun, kekecewaan masih datang bertali arus. Kita cuba bertahan, tapi akhirnya yang tinggal hanya lelah dan penat. Dalam hati, bisikan pahit itu muncul,
"Apa gunanya sangka baik, kalau akhirnya aku juga yang menderita?"
Buku ini ingin mengajak kita menyelami makna sebenar husnuzon — bukan sekadar berserah tanpa usaha, tetapi sebagai cahaya yang memandu langkah, kekuatan yang menghidupkan jiwa, dan ketenangan yang membisikkan makna di sebalik setiap ujian.
Dengan merenungi hikmah di sebalik aturan-Nya, kita akan menemukan bahawa dalam setiap peristiwa, walaupun pahit, terselit kasih sayang dan rahmat Allah SWT yang tidak terduga.
“Ketahuilah bahawa segala bencana, musibah, kesakitan dan kesusahan yang berlaku di dunia ini — walaupun secara zahirnya ia seakan-akan azab dan penderitaan — namun pada hakikatnya ia merupakan hikmah dan rahmat.” – Al-Razi
Husnu dzon bukan sekadar bersangka baik kepada Tuhan, juga kepada manusia.
Husnu dzon kepada Tuhan permulaan ibadah hati dalam mengenalNya. buku ini menghuraikan bagaimana cara kita husnu dzon kepada Tuhan dan apa yang kita peroleh daripada husnu dzon kepadaNya.
Husnu dzon kepada manusia pula untuk kita menjaga hati kita. Dan bukankan Tuhan lebih kenal dan tahu tentang hati seseorang?
Akhir skali, husnu dzon kepada Tuhan paling diperlukan saat2 kita hampir kepada kematian. Menarik kan?
💎 Saat ramainya manusia terlihat bahagia dan berjaya namun kita masih biasa-biasa. Maka, tika itulah muncul pelbagai sangkaan dan keraguan terhadap susunan takdir Allah. Meluruskan dan membersihkan sangkaan kita kepada Allah merupakan satu kunci yang sangat besar untuk kita lebih memaknai kehidupan sebagai seorang abid yang setiap detik hidupnya berada dalam aturan takdir yang cantik tertulis olehNya.
💎 Husnuzon ialah ibadah hati’. Bahkan saya sungguh merasakan husnuzon membersihkan hati dan mengukuhkan akidah kita. Bagaimana kita meluruskan akal dan hati kita untuk mempercayai bahawa atas setiap qada’ dan qadar Allah tetapkan itu pasti ada hikmah dan tarbiah yang Allah susunkan untuk hambaNya. Oleh itu, dalam usaha mendidik hati untuk husnuzon billah, kita tidak boleh meninggalkan usaha untuk mengenali sifat-sifatNya serta memdalami makna disebalik asma’ Allah.
💎Husnuzon itu bukan bererti kita menyerahkan segalanya tanpa berusaha. Seringkali manusia terlupa. Lebih-lebih lagi diri saya sendiri. Tersalah erti dalam memaknai kata husnuzon sehingga meninggalkan usaha secara total dan menyerah kalah sebelum diri ini benar-benar cuba untuk melangkah.
💎 Husnuzon itu bukan hanya kepada Allah. Tapi kita juga perlu bersangka baik kepada manusia. Kerana sungguh, cara kita berhubung dan berkomunikasi sesama manusia adalah cerminan kepada akhlak dan apa yang tertanam di dalam hati kita. Saat kita memandang sarong dan berbisik yang tidak baik terhadap seseorang, mungkin sahaja yang paling utama kita perlu perbetulkan adalah diri kita sendiri.
💎 Buku ini benar-benar membenarkan neraca saya untuk memaknai husnuzon billah dan semoga menjadi penolak untuk lebih berusaha 200% dan melibatkan Allah di setiap langkah dalam kehidupan ini.
Dalam hidup ini, sebagai manusia walau bagaimanapun kita cuba mengharap aturan hidup ini tenang tenang sahaja, akan ada masa ujian itu hadir tanpa kita sangka. Boleh jadi dari segi kehilangan, atau mungkin kebahagiaan. Namun pernahkah kita bersangka baik pada Tuhan tiap kali ujian mendatang? Terkadang sebagai manusia, kita sering menyalahkan Tuhan. Mengapa kita yang sering diuji? Mengapa bukan manusia lain?
Buku ini mengajar kita bagaimana dalam setiap ujian yang hadir, kita perlu bersangka baik pada Tuhan Yang Esa. Ya, husnuzon. Boleh jadi ujian itu sebenarnya bakal membawa kita pada sebuah pengakhiran yang indah? Sebagai manusia, apa yang kita perlukan cuma bersangka baik dan terus berteduh pada takdir Tuhan. Tidaklah Tuhan hadirkan ujian, melainkan Dia tahu kekuatan hambaNya.
Kesimpulannya, untuk mereka yang sedang dilanda dugaan dan dalam persimpangan, buku ini boleh dijadikan sebagai santapan jiwa. Tahniah buat penulis atas penghasilan buku ini.
"Berapa kerapkah kita terperangkap dalam kerisauan hanya untuk sedar kemudiannya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita?"
Dulu saya pernah ada mindset, setiap kali diuji dengan kesukaran dan kekecewaan, itu bermakna ianya adalah satu hukuman dari Tuhan. Disebabkan oleh kelalaian dan kejahilan diri. Saya mula fikir Allah hukum sebab dosa yang dilakukan, Allah sukarkan hidup disebabkan oleh kesalahan yang dibuat. Sehinggalah sepanjang proses menjadi dewasa, saya akui ujian juga adalah salah satu bentuk kasih sayang Tuhan untuk hamba-Nya.
"Semua ujian yang dilalui membawa kepada satu tujuan utama, iaitu untuk mengajar kita bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita. Ujian-ujian ini merupakan cara Allah SWT mengingatkan kita tentang kebesaran-Nya, kasih sayang-Nya, dan perancangan-Nya yang lebih baik daripada apa yang mampu kita rancang sendiri".
Terkadang, dalam kesibukan kita menguruskan hidup, dalam kesulitan hidup yang kita hadap, dalam waktu kesukaran yang kita tempoh, kita lupa bahawa Dia ada! Akibatnya, kita senang untuk menyalahkan takdir, kita lalai dan tersasar daripada matlamat asal kita di dunia.
Antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada buku ini ialah :
1. Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya melewati tempoh kesukaran dan ujian tanpa ada hikmah di sebaliknya. Yakin, bahawa Allah nak beri kita sesuatu di luar jangkauan kita.
2. Look at the bright side - walau sesulit manapun keadaan kita dalam sesuatu ujian, pasti ada sisi baiknya yang kita tidak akan jangkakan.
3. Elakkan berburuk sangka walaupun sesama manusia. Diri kita yang tentukan bagaimana kita melihat diri orang lain. Kata Hamka, "Yang melemahkan semangat ada dua perkara, Yang pertama ialah prasangka. Manakala yang kedua adalah hati yang busuk".
Buku yang sangat bagus dan membantu saya untuk memahami konsep Husnuzon dengan lebih baik dan mendalam. Husnuzon kita bukan hanya kepada manusia, malah kita perlu berhusnuzon dengan Allah yang mentakdirkan sesuatu perkara yang berlaku dalam hidup kita.
Buku yang baik untuk menghayati & mendalami erti husnuzon ; berbaik sangka pada-Nya.
Ramai orang salah anggap yang berbaik sangka itu seolah-olah lari dari ujian. Hakikatnya, berbaik sangka ini dapat membawa keyakinan kepada-Nya, membawa kedekatan pada-Nya dan menyuburkan rasa tenang dalam hati. Ia akan level-up hubungan kita sebagai hamba dengan Rabb.
Dengan husnuzon, kita percaya dan yakin bahawa setiap yang berlaku itu adalah aturan terbaik-Nya, yang disusun indah dengan rahmah-Nya & penuh hikmah kebaikan.
Moga kita semua sentiasa berbaik sangka pada Allah Yang Maha Berkuasa.
*** Bacaan yang sangat baik especially di bulan Ramadhan & sesuai bagi mereka yang mencari ketenangan berpanjangan dalam menempuh cabaran hidup. ✨
Macam mana nak rasa tenang? Bersangka baiklah dengan Allah dan sesama manusia. Dengan sangka baik kepada Allah ini kita tahu akan adanya cahaya disebalik terowong kegelapan.
Rasa terpujuk bila baca buku ni. Rasa agak sedih baru-baru ni dan terdetik untuk mulakan baca buku ni. Alhamdulillah. Pilihan yang tepat untuk saya.
Husnozon perlu dilatih dan moga kita semua tetap bersangka baik dengan Allah sampai hujung nyawa. Allah tidak pernah tinggalkan kita.
"Pujuklah hati kita dengan mengingatkan diri bahawa Tuhan yang telah menunjukkan kebaikan kepada kita sejak dahulu pastinya akan terus memberi kebaikan kepada kita pada masa hadapan"