Hati ibarat sebuah tembikar. Bila – bila masa sahaja boleh jatuh dan berkecai. Seperti hati Tasnim Amani yang kehilangan bondanya.
Nekad dan tabah membawa sedih dan rajuk ke ranah samurai. Berteduh di kedai cenderahati Tuan Takanabe. Mempelajari seni kintsugi – membaik pulih tembikar, dibimbing Seiichi Yamada. Di sebalik keindahan kintsugi ada banyak rahsia dan tragedi.
Kehadiran Tasnim diragui. Mampukah orang asing memahami seni kintsugi yang disanjung tinggi? Dalam pengelutan sendiri, dia mahu membuktikan kepada Pak Cik Yamada, Puan Kutsuma, Ichirou dan Puan Takanabe bahawa hatinya juga seteguh emas.
Hati Kintsugi menghubungkan yang retak, pecah dan berderai, umpama membaiki hati sendiri. Dapatkah retak ini bertaut kembali?
Fiksyen yang boleh dikategorikan sebagai fiksyen 'healing'.
Kisah seorang Tasnim Amani membawa diri ke Jepun untuk mengubat hatinya kerana dia baru kehilangan dan serentak itu juga menghadapi perubahan besar dalam dinamik keluarga.
Kehidupannya di Jepun yang bersulam kisah menguasai seni kintsugi amat mengujakan untuk dibaca, kerana utuhnya kaitan antara seni itu dan cabaran yang sedang dihadapinya.
Gaya penceritaan pengarang juga begitu indah, dengan lenggok bahasa yang memikat dan kosa kata yang kaya.