Awalnya, momentum bacaan saya agak perlahan, bukan kerana penulisan atau genre, tetapi kerana bias peribadi terhadap topik pertanian (untuk novel ini: bioteknologi pertanian). Namun, seiring saya meneroka dunia pasca-bencana 2065–2097 dengan krisis kelangsungan makanan, persepsi saya berubah kepada lebih positif.
Novel ini menegaskan kepentingan industri pertanian yang merangkumi asas kritikal dalam kelangsungan hidup manusia dan masyarakat, khususnya dalam mendepani ancaman terhadap sekuriti makanan global.
Membaca The Klang membuatkan saya lebih serius menilai isu ini, tetapi tetap boleh layan pembacaan dengan mod santai, walaupun temanya agak kritikal. Ceritanya membina ketegangan melalui konflik sosial, kurang sensasi melodramatik atau saspens berlebihan. Ada babak sedih dan menyayat hati, tetapi saya boleh katakan, penulis pantas memimpin pembaca supaya 'move-on'.
Watak-watak utama terbahagi kepada dua kelompok: geng lelaki (watch utama) dan geng wanita (watak kedua utama). Masing-masing mempunyai ahli dengan kepakaran unik seperti tech-savvy, engineer, scientist dan fighter. Perbezaan cara kerja, ideologi dan objektif organisasi mereka menimbulkan konflik, tetapi tidak memecahkan persahabatan.
Bahkan percanggahan awal antara watak utama dan watak kedua utama menambah kedalaman karakter, menunjukkan bahawa kepercayaan dan kerjasama tetapi utuh walaupun berbeza prinsip.
Selain tentang objektif kelangsungan hidup, tidak kurang tema novel ini menggambarkan politik sosial di tengah-tengah krisis yang melanda, persahabatan dan tanggungjawab moral. Watak-watak berstrategi, membentuk pakatan, menukar sekutu (ally) dan menghadapi dilema etika demi memastikan kelangsungan dan manfaat untuk golongan terpinggir.
Struktur naratifnya kemas membuatkan pengalaman membacanya lancar sahaja, setiap bait yang mengundang tanda tanya, dijawab secara logik dan segera tanpa pembaca rasa ketinggalan, menjadikan bacaan mudah diikuti walaupun dunia yang digambarkan kompleks. Plotwist ada, cuma sedikit sahaja.
Laras bahasa yang digunakan juga sederhana tetapi penggayaannya matang, selari dengan tema serius namun masih mesra pembaca. Penulis menyertakan nota kaki untuk istilah sains, menjadikan karya ini inklusif bagi pembaca tanpa latar sains dan memudahkan pemahaman tanpa mengganggu aliran cerita. Ini memperlihatkan perhatian penulis terhadap pembaca yang luas, sambil mengekalkan kedalaman intelektual dan realisme dunia yang dibina.
Secara keseluruhan, The Klang menawarkan pengalaman membaca yang unik: sains fiksyen berpijak pada realiti sosial, konflik sistemik yang kompleks dan hubungan manusia yang kukuh. Ia berjaya menyeimbangkan mood matang, tema yang relevan, nilai persahabatan dan kejelasan naratif.
Novel ini bukan sahaja memperluas perspektif pembaca tentang sistem kelangsungan hidup, tetapi juga menyuntik minat membaca sci-fi dengan cara yang reflektif dan kritikal.