Buku ini menghimpunkan 12 biografi dan naratif tentang isteri Nabi SAW, bermula dengan isteri pertama baginda Sayidatina Khadijah hingga isteri terakhir, Sayidatina Maimunah.
Dengan bahasa sasterawi lenggok Arab yang amat mempesonakan, buku yang bercerita mengikut kronologi kemasukan setiap isteri dalam rumah tangga Nabi SAW ini memberikan tumpuan kepada sisi manusiawi Nabi dan isteri-isterinya dalam kehidupan bermadu. Mereka saling diuji dengan keberadaan satu sama lain dan perlu menundukkan keinginan peribadi untuk menggapai reda Allah SWT.
Selain itu, nasab setiap isteri Nabi SAW diceritakan panjang lebar daripada sumber-sumber muktabar. Walaupun demikian, pengarang tidak pula memilih untuk mengetepikan pendapat para orientalis yang serong, malahan setiap satu tohmahan dan pandangan bertentangan dijawab dengan tuntas melalui logik akal dan juga sumber sejarah Islam.
Peribadi setiap isteri Nabi SAW yang khusus bagi diri masing-masing diberikan penekanan sewajarnya sehingga kita dapat meraikan perbezaan antara mereka. Ada antara mereka yang begitu setia menyokong perjuangan Nabi sejak awal, ada pula yang terkenal kerana kecantikan, ada yang tebal sikap cemburu, ada yang begitu mencintai orang miskin hingga digelarkan Ibu Orang Miskin, ada yang menjadi penghubung silaturrahim antara cabang keluarga, ada yang asalnya hamba yang dihadiahkan, ada pula sepupu-sepupu baginda yang berbangga dengan keturunan mereka, dan banyak lagi.
Inilah biografi terbaik setakat ini yang pernah saya baca tentang isteri-isteri Rasulullah SAW!