Mak Som atau Hajah Kalsom binti Alang Kecut sudah berusia 75 tahun, dan telah kematian suami, iaitu Haji Kiran. Mempunyai 4 orang anak iaitu Dato’ Mahfus, Selamat, Siti Khadijah dan Siti Sakinah. Wanita yang berpendirian tegas, berfikiran jauh, dan juga berpegang kuat dengan identiti Melayu. Ini digambarkan penulis melalui seni bina Melayu rumah miliknya. Ciri-ciri rumah yang dibina tiga sebandung, iaitu rumah serambi, rumah ibu dan rumah dapur. Berdindingkan papan, dan tangga yang diperbuat dari kayu jati.
Kemelut antara Mak Som dan anaknya, bermula apabila Dato’ Mahfus bekas ketua kerani di Pejabat Tanah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Padu Menang, dan kemudian berjinak-jinak dengan politik. Skop kerja Dato’ Mahfus ialah mendapatkan persetujuan dari penduduk kampung Bertam Malim untuk menjual tanah-tanah milik mereka, dan termasuk juga tanah bendang milik Mak Som. Ia bagi tujuan pembangunan, seperti membina kawasan perumahan, bank, klinik, kedai runcit, kedai komputer dan pelbagai kemudahan awam yang lain.
Akhirnya Dato’ Mahfus mula hilang pertimbangan. Didikan agama yang diterima dari ayahnya, iaitu Haji Kiran dikaburi dengan sogokan kemewahan yang melimpah, wang ringgit dan pangkat. Manusia tidak dapat lari dari angan-angan dan sifat tamak. Pelbagai penipuan dilakukan demi agenda masing-masing demi mengaut keuntungan dan laba. Natijahnya, orang yang di bawah menjadi mangsa kerakusan orang yang berada di atas. Orang kaya ingin menambahkan lagi kekayaan, orang politik bermain helah untuk keuntungan diri, sementara orang miskin didesak, dihimpit dan hilang semuanya.
Telahan awal, saya menyangka ‘Nenek’ cuma sebuah buku biasa sahaja. Buku tentang Mak Som yang memperjuangkan tanah bendang miliknya. Tetapi akhirnya, saya dapati ia adalah sebuah buku yang harus disingkap oleh rakyat marhaen. Buku yang wajar diamati, dicermati dan direnungkan bagi orang yang suka mempergunakan orang lain, dan juga yang suka dipergunakan, suka dikhianati, dan juga suka mengkhianati. Akal dan kewarasan berfikir dikesampingkan. Akhirnya, kerakusan, dan sifat tamak jadi racun kepada diri sendiri.
Sindiran tajam lagikan pedas dari Mak Som yang ditujukan kepada Dato’ Mahfus, mungkin juga tepat terkena batang hidung kita sendiri.
“Bebaskan jiwa kau. Jangan jadi hamba kepada manusia dan harta. Petanda orang yang berjiwa hamba ialah mereka yang menyanjungi orang yang kuat, manakala mereka yang berjiwa merdeka menyanjungi kebenaran.”
“ Jadilah manusia yang berakal. Jangan sekadar menadah telinga tetapi tidak mahu mendengar, tahu menulis tetapi tidak tahu membaca, pandai berbicara tetapi tidak faham apa yang dicakapkannya.”