Sukar mencari satu hari untuk kami tidak berbicara tentang kotak. Seluruh hidup kami, sama ada di rumah, kedai kopi, sekolah, padang bola, dalam bas henti-henti, bengkel kereta, pusat kitar semula, masjid, bahkan di dalam tandas pun kami berbicara tentang kotak. Jika ayah tidak turun keberja, dia menyusun kotak di bangsal. Jika dia tidak menyusun kotak, dia bercakap tentang kotak. Jika dia tidak bercakap tentang kotak, dia berada dekat dengan kotak kerana seluruh ruang hidup kami dikelilingi kotak. Kotak itu sendiri merupakan lambang yang menembusi serata penjuru makna ke lorong-lorong hidup kami – ke mata fikir, ke mata hati dan mata yang melihat. Lantas, bagaimana kami dapat mengelak kotak meskipun Cuma sehari?
Dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah. Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik, suka melancong dan membaca. Pada tahun 2006 menang tempat pertama peraduan mengarang cerpen sempena kempen Budi Bahasa Budaya Kita anjuran Kekwa, pada tahun 2008 menang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007, kategori novel remaja menerusi novel Gadis Adikara dan pada tahun 2009 menang tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 menerusi novel Jendela Menghadap Jalan. Manakala Waris Pejuang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 juga di tempat kedua.
Novel yang teramat aneh kerana orang lain memberi rating tiga bintang ke bawah, tetapi ikutkan hati aku, aku mahu berikan rating 10/5 terus.
Orang lain yang membaca novel ni lebih memandang kisah penemuan wang di dalam kotak, tetapi tidak bagi aku. Aku lebih berminat membaca nama-nama kotak dan situasi yang menjadikan kotak sebagai "kegunaan khusus". Di setiap penceritaan kotaknya memiliki metafora yang tersendiri. Kisah perebutan wang hanya sekadar peneraju cerita, hakikatnya metafora yang penulis tulis mengenai kotak itulah yang menjadi mesej tersirat dalam novel ini.
Awal muka surat sudah ditulis mengenai kata-kata yang kita acapkali dengar, iaitu "berfikir di luar kotak". Aku jangkakan ia bermaksud berfikir perlu jauh ke hadapan, atau mencari ilmu yang baharu. Ternyata metafora penulis terhadap "berfikir di luar kotak" itu bukan sekadar ilmu semata-mata, tetapi lebih kepada kehidupan dunia akhirat yang sangat dekat dengan diri kita, cuma kita tidak menyedarinya. Pengakhiran novelnya lantas menjawab persoalan kepada "berfikir di luar kotak" itu tadi. Sungguh, novel ini tiada kisah yang tergantung.
Oh! Ini kali pertama aku ketawa membaca novel Hadiah Sastera. Penulis banyak selitkan unsur jenaka dalam novel ni. Sangat kelakar bagi aku, lagi-lagi sewaktu Jamal berbincang mengenai teori dengan kawan baiknya. Serius sangat kelakar!
Aku sangat suka novel ni. Andai ada masa senggang, aku mahu tulis kesemua metafora penulis berkenaan kotak. Terima kasih penulis atas karya yang teramat sarat dengan maksud tersirat! Mesej tersembunyi itu telah sampai ke jiwa aku.
1. Ceritanya mudah. Tentang penemuan yang tak disangka oleh seorang lelaki pengutip kotak. Sejumlah wang yang bikin hilang kewarasan.
2. Ia tentang pergelutan antara jati diri dan kemahuan nafsu.
3. Jamal, anak lelaki pengutip kotak, turut berperang dengan perasaan dan rasukan dunia demi melihat wang yang jatuh dari langit.
4. Sepanjang penceritaan sepanjang 182 muka surat ini, banyak nilai-nilai kehidupan (mungkin falsafah) yang dibincangkan oleh penulis.
5. Walaupun isinya bagus, entah kenapa saya rasakan jalan ceritanya agak mendatar. Irama pembacaannya sekata dari mula hingga akhir, menjadikan pengembaraan dalam buku ini terasa seperti biasa-biasa sahaja.
Tersangat suka akan buku ini! Jalan cerita yang amat baik. Banyak pengajaran dan kata kata mutiara. Humorous juga. Bacaan ringan yang membuatkanku berfikir cantik betul olahannya. Hanya dengan menggunakan satu perkataan 'kotak'. Semoga kita semua dapat mengekalkan iman di dada sepertimana ayah Jamal, si pengumpul kotak yang berhati bersih dan suci.
Novel KOTAK karya Ruhaini Matdarin yang telah memenangi Tempat Kedua bagi Kategori Novel Remaja, Hadiah Sastera 2012, Kumpulan Utusan dan ExxonMobil ini sememangnya perlu menjadi nashkah perlu dimiliki setiap pembaca. Mengapa dan kenapa? Mungkin jawapannya perlu anda terokai sendiri dengan membaca karya ini.
Cuba anda bayangkan kehidupan seorang pencari kotak, yang saban hari bergelumang dengan mencari kotak-kotak terpakai tanpa jemu bahkan bahagia dengan pekerjaannya itu. Setiap masa, ada sahaja kotak yang dikaitkan dengan kehidupannya.
Pak Man Kotak suka menasihati anaknya Jamal supaya sentiasa melihat sesuatu dengan bersandarkan kotak pemikiran yang lebih luas. Katanya "kita perlu berfikir di luar kotak agar arah pandangan kita terhadap sesuatu perkara itu melangkawi batasan kotak kejumudan". Jangan mudah dihanyutkan hasutan nafsu terutama apabila perlu mempertimbangkan sesuatu keputusan yang bersangkut paut dengan kebenaran dan kejujuran.
Semuanya bermula apabila Pak Man ditakdirkan (atau boleh dikatakan direzekikan ) menemui sebuah kotak berisi duit bernilai ribuan ringgit di tapak pembuangan sampah. Bagaikan "jatuh dari langit" wang itu hadir tanpa Pak Man tahu siapakan pemilik atau daripada manakah sumber wang itu diperolehi.
Permulaannya, hanya Jamal yang mengetahui rahsia penemuan ini sebelum segalanya bagaikan air mengalir deras, diketahui oleh setiap penduduk yang berdekatan dengan lokasi penemuan tersebut. Bagaimanapun, Pak Man bagaikan tidak terpukau dengan kemewahan yang dibentangkan oleh takdir dan ternyata anaknya Jamal hairan dengan sikap pelik ayahnya itu...
"bukankan duit itu segala-galanya? dengan duit ayah tidak perlu bekerja terlalu keras seperti sekarang, dan dengan duit ayah boleh memulakan perniagaan sendiri. Ayah boleh menjadi tauke dan kehidupan kita akan lebih mudah memiliki apa sahaja yang dihajati. Sama seperti orang-orang yang berharta di luar sana."
Itulah kepelikan Pak Man, dia mahu mengembalikan duit yang dijumpainya itu kepada balai polis yang terdekat. Jamal buntu. Puas dipujuk dengan pelbagai cadangan bagaimana duit yang dijumpai itu boleh digunakan sebagai pelengkap kesempurnaan mereka di kemudian hari. Namun tetap, pendirian ayahnya sukar digoyahkan.
Pelbagai idea mula bermain di kotak fikiran. Kotak hati Jamal juga sudah mula diamuk kegelisahan. Dia perlu berfikir pantas bagaimana mahu memintas tindakan ayahnya daripada melepaskan kotak berisi duit itu ke tangan pihak berkuasa. Bagi Jamal, peluang datang hanya sekali, pastinya tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Ayahnya pasti sudah disampuk jembalang atau mungkin bukan lagi manusia yang sempurna akal fikirannya. Duit yang menjadi kegilaan manusia, yang saban hari dikejar kini ingin dilepaskan begitu sahaja! Pelik!!!
Ketika itu, kotak pemikiran Jamal berperang hebat dengan kotak kejujuran dan kebenaran dirinya. Dia tahu duit itu bukan milik sesiapa dan pastinya insiden jumpaan kotak berisi wang tempoh hari tersebut tidak menjadikan ayahnya pemilik sah kepada wang tersebut. Kemungkinan duit tersebut dari sumber haram adalah tinggi. Mungkin duit itu hasil rompakan atau ada mana-mana individu telah secara tidak sengaja keciciran wang tersebut ke tapak pelupusan.
"Ahhh berkecamuknya akal melawan kenyataan yang berkemungkinan"
Nak tahu, kisah KOTAK dengan lebih lanjut...? Dapatkan segera senaskah buku ini di pasaran. Best tak tipu tauuuuu...👍🏽👍🏽👍🏽
Tajuk: Kotak Penulis: Ruhaini Matdarin Penerbit: Utusan Publications & Distributors Tahun terbit: 2014 Jumlah halaman: 182 ms Tempoh baca: 2/9/23 - 4/9/23
(Pinjam dari Perpustakaan Kuala Lumpur)
Kotak - sebuah novel yang sangat unik. Tentang Pak Man Kotak, seorang pengutip kotak-kotak terpakai. Tentang Jamal, anak Pak Man Kotak yang berusia 16 tahun. Tentang kehidupan mereka yang serba sederhana.
Sehinggalah pada suatu hari, Pak Man Kotak menemui wang bernilai ratusan ribu ringgit dalam kotak di dalam tong sampah.
Adakah Pak Man Kotak akan menyerahkan wang itu ke balai polis atau digunakan untuk diri sendiri?
Novel ini sarat dengan falsafah kotak dari sudut pandang Pak Man Kotak. Walaupun hanya seorang pengutip kotak, namun watak Pak Man Kotak sebagai bapa banyak sekali memberi nasihat kepada anaknya, Jamal. Secara tidak langsung, nasihat-nasihat Pak Man Kotak juga langsung tertuju buat pembaca.
Kisah Jamal dan kawan-kawan di sekolah juga membangkitkan unsur humor yang menjadi, membuatkan pembaca turut tertawa pada babak berkenaan. Nilai persahabatan yang ditonjolkan juga menambahkan rencah dalam kisah ini.
Sebaik wang ditemukan, Jamal benar-benar bergelut dengan nafsu untuk memiliki wang berkenaan walaupun sedikit. Sehinggalah ke akhir cerita, barulah pembaca boleh menarik nafas lega setelah pelbagai halangan dan dugaan yang menimpa.
Rasa puas ketika menyudahkan pembacaan buku ini. Bukan puas kerana berjaya menamatkannya dalam waktu yang singkat. Tetapi berpuas hati dengan cara pengarang menyudahkan dan menyimpulkannya. Terasa sempurna dan dinoktahkan dengan bergaya.
Saya pernah membaca sebuah novel yang isinya saya rasakan bagus sekali tetapi ditamatkan dengan tergesa-gesa. Berpeluang menyatakannya kepada pengarang dan beliau mengakuinya. Mungkin kerana novel itu asalnya ditulis secara bersiri, ada kekangan di situ.
Novel Kotak dihasilkan untuk pertandingan, justeru ianya dimuatkan dengan banyak falsafah hidup berkisar dengan kotak dan cerita pengumpul kotak. Walaupun ada kala nampak ianya dibuat-buat, kaedah penceritaan yang santai menutupinya dan latar diri watak mewajarkan falsafah-falsafah hidup yang diluahkan.
Ia kisah pencari kotak yang menjumpai sejumlah wang yang banyak dan bagaimana ia menanganinya. Awalnya saya fikir ia akan sama dengan kisah sebuah cerita komedi yang seakan dengannya. Ternyata jangkaan saya salah.
Ia kisah tentang iman, kejujuran dan maruah sebuah keluarga pencari kotak tetapi ia cuba mengajak kita berfikir di "luar kotak".
Sebuah karya yang menikam kalbu oleh penulis. Buku yang santai dan ringkas tentang kehidupan rakyat marhaein tetapi mempunyai pengajaran yang besar.
Kisah Jamal seorang remaja di sekolah menengah yang merupakan anak pengutip kotak di tapak pelupusan sampah.
Ayahnya iaitu Pak Man Kotak merupakan seorang lelaki yang dikenali sebagai orang yang jujur, amanah, bertanggungjawab, bekerja keras walaupun hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jamal bersahabat dengan Rusdi anak nelayan Pak Leman, Amira anak Tauke Goh, Benazir anak Pakcik Balan pemilik bengkel kereta dan Kok Seng penggemar teori sains terutamanya hukum Galileo.
Dilema bermula apabila Pak Man Kotak menjumpai wang tunai RM130,000 di tapak pelupusan sampah.
Pak Man Kotak dari awalnya berkeras dengan pendirian hendak memulangkan wang tersebut kepada balai polis.
Setiap orang di sekelilingnya termasuk Jamal mempunyai pandangan tersendiri berkaitan penemuan ini.
Buku yang ringkas, santai tetapi penuh pengajaran ini menyentuh tentang: ✅kemudaratan berhutang. ✅jujur, khlas dan amanah dalam kehidupan. ✅sentiasa bersyukur. ✅jangan mengambil apa yang bukan hak kita. ✅hidup mesti bermaruah. ✅godaan syaitan dan dunia yang menjerumuskan manusia ke lembah nafsu. ✅kehendak vs keperluan. ✅sederhana dalam hidup. ✅menabung untuk pendidikan, kesihatan dan masa tua. ✅jangan materialistik. ✅jangan menilai orang dari luaran.
Den harap ada rezeki untuk baca buku-buku lain daripada penulis ini di masa hadapan.
This entire review has been hidden because of spoilers.