Membaca deskripsi ketenangan hidup masyarakat kecil di kampung berdekatan dengan pantai, kesegaran udara dengan kehijauan berselang seli kicauan unggas dan haruman flora fauna, menyemarakkan lagi harapan saya agar tidak lama lagi, sebelum nafas terakhir, untuk tinggalkan kekecohan bandar dan tinggal nun jauh di hulu mana-mana, dalam Malaysia.
Agaknya, selaras dengan karya sastera remaja, novel Pelangi Jingga halus bahasanya dan lembut nadanya. Walaupun ada konflik sedikit, waktu Muzaffar ditemani Abang Khairuddin bekad bersemuka dengan Arif dan kumpulannya di hutan untuk menuntut pembebasan DekNor, pertuturan dan gaya penulisan masih agak mendatar. Rasanya ada juga caci maki dalam hati, tapi hanya cukup untuk tunjukkan bahawa wataknya sedang marah sedikit, tak cukup untuk menzahirkan watak yang sedang mendidih darahnya. Saya tidak pasti, bolehkah agaknya sebuah karya sastera menjadi lebih menarik untuk dibaca umum pelbagai lapisan umut dan lebih realistik, jika nada penulisan dipelbagaikan dan bahasa yang digunakan dinaik-turunkan bagi menggambarkan emosi seseorang watak, ke peringkat yang lebih extreme?
Pak Jidin dan wau-nya, Kak Limah dan kelasakannya, Abang Khairuddin dengan gaya garang askar pencennya... "Pelangi warna oren!" laung DekNor. "Bukan oren, dik. Pelangi itu warnanya jingga. Oren itu buah!" Ohhh, terima kasih Muzafar 😄saya pun baru jelas kini.