'Masa kecil' adalah 'masa lalu' semua orang. Aku Budak Lenggong (ABL) adalah catatan 'masa lalu' yang mewakili 'masa kecil' ramai orang yang mungkin tidak terungkap. Zaman ketika elektrik adalah asing, pelita minyak tanah dan kabaid menjadi sumber cahaya, TV adalah peti ajaib, sungai dan lata menjadi mainan, bendang dan kubang, bukit dan hutan, memasak dengan kayu api, mendaki bukit ke dusun, menangkap ikan dan udang di celahan batu sungai yang jernih, mengapuk di pokok petai dan jering, lastik dan senapang kayu, gasing, congkak dan batu seremban, serta banyak lagi.
ABL adalah kisah real, bukan imaginasi. Membacanya, anda pasti terbawa ke zaman kecil. Mungkin tanpa sedar anda akan terasa kembali 'muda' pada saat berlarian meniti di batas sawah, lalu terjerlus di dalam selut dan dihinggap sang lintah. Boleh jadi anda terhimbau saat mengelui angin dan menghalau kawanan burung-burung tiak. Mungkin anda tersengih sendiri kala mengenang manisnya saat bermain pondok-pondok di bawah rumah atau di dalam hutan ubi, lalu disandingkan dengan seorang putera atau puteri.
Lebih lagi, ABL memberi erti kepada kita generasi 'lama', kerana kita diasuh oleh alam, membesar dengan alam dan tahu menghargai kemanusiaan. ABL mungkin menjentik hati dan minda generasi baharu (yang katanya sudah bertaraf X, Y dan Z atau Gen Alpha), bahawa dahulu ayah atau ibu atau atuk dan nenek di kampung, melalui banyak benda yang hari ini bagaikan sudah hampir tidak tergambar lagi.
Cicip dan rasailah ABL, ia adalah masa lalu kita, ia adalah masa kecil kita.
Berkisar memoir si penulis semasa membesar di Lenggong, daerah utara Perak. Beliau berkongsi permainan, persekitaran, adat setempat dan budaya org 'lenggo'. Ada beberapa perkara yang mungkin sama dengan daerah-daerah atau negeri lain tapi istimewanya Lenggong adalah, penemuan dan penyimpanan PerakMan.
Terlebih dahulu berbanyak terima kasih diucapkan kepada penulis kerana menghasilkan buah tangan yang sedap ni.Buku ini berjaya memutar dan memugar kembali gulungan sudut memori silam aku.Nostalgia,sentimental gitu.Keseronokan,kenakalan,daif,jerih perit,lucu,rindu,pengorbanan,kasih sayang,kegigihan dll semua berpadu menjadi sebati.
Orang kampung dulu-dulu menyesuaikan diri dan berinteraksi dengan alam,ianya mudah dan tidak kompleks seperti kehidupan milllenium kini.Cara hidup dulu boleh digambarkan dan ada perkara bagaikan sudah hampir tidak tergambar lagi.Yang pasti ianya sama sekali tidak akan sama dengan alaminya sendiri,itulah pengalaman berharga dan kenangan indah yang payah diperolehi.
Dengan gaya tersendiri penulis bijak menyusun ayat,bahasa mudah tetapi menarik dan penyampaiannya berkesan.Biasanya sebelum ini aku cepat merasa bosan jika membaca buku berbentuk memoir/travelog.Banyak kali aku tergelak sorang apabila tiba part yang lucu pastu sengih.Ada part yang membuatkan aku berhenti sekejap untuk recall memori lama.Ada masa aku sebak terkenang realiti dulu-dulu.Penulis(seorang Ustaz) turut menyelitkan mesej dakwah dan menerapkan nilai murni(Aku suka mesej cerita 12:bila tiba kenduri-kendara).Buku ini turut disertakan sedikit gambar yang berkaitan dengan cerita,lampiran kamus Orang "Lenggow" dan info pelancongan di Lenggong.
Bagi aku buku ini lebih sesuai untuk lelaki tak bermakna perempuan tak perlu@boleh baca.Maksud aku ceritanya lebih kepada nostalgia budak lelaki,maklumlah ini kisah benar penulis(seorang lelaki).Sesiapa yang lahir sebelum tahun 1990 elok benar lah beli,baca dan simpan buku ni.Amat disarankan dan digalakkan.Generasi X,Y pun korang rembat baca lah buku ni.Kekurangan buku ini,bagi aku hampir tiada melainkan aku hanya jumpa dua kesalahan ejaan.
Kalian pernah mandi telanjang kat sungai main hantu air,panah ikan,main polis sentri waktu orang berterawih,menunggu durian di dangau,buat balik berudu kat rumah sebab menyangka berudu akan membesar menjadi ikan,gosok gigi pakai serbuk arang,tengok TV hitam putih beramai-ramai kat rumah jiran(ada yang kena caj 20 sen).Kalau bab makanan pula,pernah makan biji getah gulai lemak,mencari siput sedut,jeruk mamam,ulam beko,ingat tak lagi susu cap junjung,makan nasi berlaukkan minyak bekas goreng ikan+kicap.Arghh semua tu dan banyak lagi sesunguhnya nostalgia yang amat mengesankan.Selamat mencicip ABL,ia adalah masa lalu kita,masa kecil kita.Tahniah penulis.
"Dua tahun" mengambil masa untuk mengkhatamkan buku ini. 360 mukasurat bukanlah alasan membaca lambat, tetapi motivasi untuk menyambung baca itu hampir sifar.
Tuan Hamizul bercerita tentang kisah masa silam. Yang sedikit sebanyak ada persamaannya dengan pengalaman peribadi. Cuma gayanya seperti bercerita satu hala. Tidak "hidup". Penulisannya terlalu "keakuan". Lebih menarik jika ada dialog-dialog yang lebih menghidupkan suasana. Watak dalam buku ini terlalu ramai, yang aku ingat hanya dua-tiga orang sahaja.
Aku memang seorang "pemuja" kisah-kisah kehidupan yang alami. Yang terhad, yang terbatas dengan kemodenan teknologi. Bersatu dan bermesra dengan alam. Aku Budak Lenggong ada yang aku suka itu. Tetapi itulah, tidak begitu meresap ke dalam hati.
Kisah yang agak (atau terlalu) panjang di dalam sesuatu bab, kemudian dalam cerita ada cerita puka, itu agak mengelirukan.
Mungkin kalau dipendekkan kepada hanya 4-5 mukasurat untuk setiap kisah, sudah memadai.
Dan, glosari sehingga 50 mukasurat (kurang lebih) itu, aku langkau begitu saja. Maaf, aku tidak nampak keperluannya (buat masa ini).
Puas baca buku ini memang tak boleh nak kata. Tebal dan padat dengan memori masa kecil yang mungkin generasi baru seperti aku tak tahu, jadi mengerti. Suka pada mood dan setiap bab yang diatur cukup cantik dalam buku ni. Begitu juga dengan benda-benda baru yang banyak kita boleh jumpa dalam naskhah ini.