Sri Rahayu Mohd Yusop adalah nama yang sentiasa muncul sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada awal pembabitan beliau dalam bidang penulisan.
Warisnya Kalbu adalah sebuah karya yang mengangkat martabat warisan sastera Melayu melalui medium yang jarang diberi perhatian serius dalam naratif kontemporari: pantun. Ia dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. Walaupun dipakej sebagai sebuah novel remaja, ia sebenarnya adalah sebuah manifestasi pascakolonial yang mengangkat keunggulan lokaliti dan peribumi dalam menghadapi bayangan budaya Barat yang amat dominan.
Novel ini berpusat pada Hassan Basri, seorang pelajar Melayu yang menemui sebuah jurnal usang milik datuknya - dalamnya mengandungi catatan harian Tun Cempaka, anak Orang Kaya Berlapan dari Pahang. Jurnal itu merakamkan detik - detik Tun Hassan Perwira mengajar pantun kepada seorang wanita Inggeris bernama Katherine. Sementara Khadija, seorang gadis kacukan Inggeris - Melayu pula, mewarisi naskhah terjemahan yang mengandungi pantun - pantun Melayu dalam bahasa Inggeris. Kedua - dua naskhah ini, yang terputus benang takdirnya akibat Perang Bendahara Pahang, kembali bertaut apabila Hassan dan Khadija berganding bahu untuk menyertai sayembara pantun di sekolah mereka.
Hassan Basri adalah seorang pemuda yang berjiwa halus, berakar kuat pada warisan budaya dan sejarah bangsanya. Dia berani menentang arus pemodenan yang sering memperlekehkan nilai tradisi. Khadija pula adalah simbol pertembungan dua dunia - Barat dan Timur - dia memilih untuk menyelami akar Melayu yang diwarisi secara tidak langsung. Dinamika antara Hassan dan Khadija selain romantik, juga mencerminkan dialog budaya yang kompleks dan penuh ketegangan.
Sri Rahayu menggunakan gaya bahasa yang kaya dengan metafora, alusi sejarah, dan keindahan puisi tradisional. Pantun bukan sahaja menjadi elemen naratif, tapi juga struktur estetik yang menyulam makna dan emosi. Dialog para watak sering diselitkan dengan pantun, menjadikan pembacaan suatu pengalaman naratif yang memberi penghayatan seni. Sri Rahayu juga bijak menggunakan teknik intertekstualiti melalui jurnal dan terjemahan sebagai medium naratif yang merentas masa dan ruang, menghubungkan sejarah dengan masa kini.
Novel ni sarat dengan pemikiran pascakolonial yang mengangkat suara peribumi dalam menentang hegemoni Barat. Ia menolak imej perkasa Barat yang sering mendominasi naratif sejarah dan budaya, dengan menampilkan kebijaksanaan Melayu sebagai warisan yang bukan sahaja relevan tapi unggul. Pantun, sebagai bentuk puisi tradisional, dijadikan simbol ketahanan budaya dan intelektualisme Melayu yang tak tunduk kepada arus globalisasi. Ia juga menyentuh mesej tentang identiti, warisan, dan tanggungjawab generasi muda dalam melestarikan budaya.
Ini adalah karya yang mengangkat martabat sastera Melayu dalam bentuk yang segar dan berani. Selain menggabungkan sejarah, puisi, dan naratif kontemporari dengan baik, aku salute keberanian Sri Rahayu untuk menjadikan pantun sebagai teras naratif, ini satu tindakan sastera yang radikal dan penting. Aku cukup suka karya yang menjadikan sejarah sebagai sesuatu yang hidup dan relevan, bukan sekadar latar atau nostalgia.
Dalam dunia penerbitan buku yang aku rasa agak kelam sebab terperangkap antara romantisme dan realisme, buku ini telah membuka jalan baru yang berani dan bermakna. Novel ini bukan sahaja waris kepada kalbu Hassan dan Khadija, tetapi juga kalbu aku sebagai seorang pencinta sastera.
4.6 / 5 stars