Arafat Hambali, M Farez dan Najmuddin Yusoff, adalah penyair yang melihat keterbatasan jangkauan kudrat dan iradat manusia yang sentiasa tertakluk pula kepada kudrat dan iradat Ilahi. Sajak-sajak yang mereka lahirkan sama ada pendek atau panjang adalah pernyataan rasa hati tentang ketidakmampuan manusia sebagai makluk dan kesebatian perlakuan manusia bersama Takdir itu sendiri. Mahu atau tidak mahu manusia terpaksalah reda degan segala ketentuan-Nya. -- Yusoff Abdullah (Yajuk), Penyair Kelantan
Arafat membina sajaknya dengan cermat. Pemilihan kata dalam sajak-sajaknya kelihatan rapi, di sana sini sajak2 beliau dibentuk dengan rima dan irama. Rima dan irama yang harmoni mencantikkan sajak-sajak beliau. Pun begitu terkadang ada kata-katanya yang dilepaskan dengan nada yang amarah yang terkawal. Arafat kadang mencari Tuhannya, kadang mencemuh kebejatan moral dan siasah manusia. Selebihnya Arafat bicara tentang cinta dan kehidupan.
Antara sajaknya yang saya suka termasuklah Sebiji Padi, Khabar Dunia, Tuhan dan Hal-Hal Percuma, Kepada Ham (Temanku) dan Pendeta Separuh Abad.
Dan andai suatu masa Tuhan tidak lagi Mendatangkan setiap hal secara percuma termasuk untuk sepotong doa sajak Tuhan Dan Hal-Hal Percuma
Capal usang busana sewarna telapak yang merekah menyorong kisah berdekad menyaksi kehidupan antara peluru kekejaman penjajah juga sebuah permainan siasah sajak Pendeta Separuh Abad.
M Farez M Farez ternyata serius dengan puisi. Puisi-puisinya menampakkan kematangan renungan tentang kehidupan, ketuhanan, pengalaman, kenangan dan falsafah. Terdapat puisi-puisi protes yang mencela kebejatan sosial dan politik, namun dilakukannya dengan tujuan menyeimbangkan kembali unsur-unsur yang mencacatkan itu.
Sajak-sajak M Farez enak dinikmati jika kita sedia memberikan masa untuk merenung dan berfikir. Sajak Panah ini contohnya bagi saya sangat memikat:
pernahkah kau melihat panahan busur? ia melayang membujur membengkok pada susur mengena urat jalur mayat-mayat kaku terbujur
lain-lain sajak M Farez yang saya suka termasuklah Menunggu Hujan, Siapakah Kau?, Seolahnya Semalam, Lelaki Yang Berteduh Di Bawah Pohon Sena, Ayat-Ayat Tuhan Saling Bercakaran, Kau & AKu, Mereka dan Niskala.
Baris sajak beliau yang saya paling suka
"Tuhan kirimkan kesedihan untuk manusia sepertiku
Najmuddin Yusoff Sajak di tangan Najmuddin Yusoff ialah sebilah pedang tajam gunanya untuk memancung kezaliman dan ketidakadilan yang ditanggapinya. Sajak-sajak beliau banyak bernada protes. Sajak-sajak beliau juga banyak merefleksikan peristiwa-peristiwa semasa. Contohnya sajak-sajak seperti 20 Januari 2013, Apa Lagi Chin Peng Mahu, Di Atas Runtuhan Lembah Bujang, Jiesti, Banjir Kuantan Dan Kinabatangan Adalah Bukti, Jutaan Kangkung Dan Berapa Peduli dan beberapa sajak lainnya. Sajak-sajak sebegini akan dekat kepada pembaca jika pembaca mengetahui peristiwa/isu yang menjadi latarnya.
Najmudin bijak memaksimumkan retorik bahasa secara telus tanpa terlalu banyak dekorasi. Kadar komunikatif yang tinggi dalam sajak-sajak beliau mendekatkan pembaca dengan makna sajak-sajaknya. Pemilihan teknik bahasa seperti ini memberi kekuatan kepada tema dan persoalan sajak-sajak beliau. Sajak Marah-Marah 4 ini adalah salah satu contohnya:
Bila segala perlu dicatu dari makanpakai ke lampinsusu anak bila yang boleh diubah hanya kadar ketat perut diikat jangan marah bila yang tak dicatu hanya marah-marah
Pun begitu sajak-sajak Najmuddin yang menyangkut soal ketuhanan terasa lebih lembut. Persoalan trensedental ini ditanggapinya dengan lebih berimbang.
Sajak-sajak beliau yang saya suka termasuklah Harum Mawar, Jiesti, Masa Sunyi, Hari Ini Bersyukurlah, Sjak Marah-Marah, Perjalanan dan Hanya-Mu,
Kesimpulannya, buku sajak Trisula Kata Dari Daerah M ini ialah luahan pemikiran, emosi, protes dan renungan tiga penyair muda yang punya daya kekuatan (dan kelemahan) masing-masing. Sebagai pembaca kita meraikan kepelbagaian ini.
"Apakah Daerah M itu adalah Malaysia? Mungkin ya mungkin tidak. Boleh jadi 'muslim', 'mukmin', 'muttaqin' ataupun 'makmur'? Mungkin juga bermaksud 'merdeka', 'marhaen', ataupun 'melayu'? Bagaimana pula jika is 'manusiawi', 'melankolia' atau lain-lain kata yang bermula huruf M? Terserah anda sebagai pembaca yang bijak bistari."
Baru baca kata-kata pengantar, dah lagi tambah eksited nak baca buku ni. 99 buah sajak dari tiga orang penyair muda iaitu Arafat Hambali (AH), M Farez (MF) dan Najmuddin Yusof (NY). Sajak yang dilahirkan oleh mereka masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri. Sama ada pernyataan hati, kehidupan dan peringatan kepada diri semuanya ada dalam buku ni. Bagi saya, saya lebih gemar puisi dari AH kerana pengisiannya mempunyai kata-kata tersirat yang perlu dicerna. Rasa misteri sikit. Haaa. Puisi yang menceritakan pengalaman hidup dan tentang hidup. Seperti mencari-cari erti hidup sebenar.
Tidak kurang juga penyair MF dan NY. Sajak MF lebih berkisar tentang kematangan, penuh falsafah ketuhanan bagi pendapat saya. Sajaknya bertajuk 'Ratapan-ratapan' walaupun pendek tapi memang padu. Sajak NY pula lebih kepada peringatan untuk diri. Walaupun banyak sajaknya bernada protes, namun tak jemu membaca kesemuanya. Tentang marah dan lain-lain. Sajak ketika hari ke-24 MH370 juga mendalam maksudnya.
Terima kasih atas puisi-puisi dalam buku Trisula Kata Dari Daerah M. Selamat maju jaya kepada semua penulis!
Arafat Hambali, bagi saya secara peribadi, adalah penulis yang paling kuat dalam kumpulan ini. Dia berjaya mengadun citra sastera yang tinggi kepada puisi-puisinya yang diungkap dengan semangat indie. Farez dan Najmuddin juga membawa tikaman yang tersendiri. Terutama dengan gaya ungkapan protes dan rebel mereka, dengan pemilihan tema-tema peminggiran sosial.