Well Done Bunick!!
(Itulah ayat yang kakwan nak cakap kat Bunick kalau jumpa dia nanti, tapi memandangkan tak tahu bila kita akan jumpa, kakwan harap Bunick akan baca ) ^_^
Suka saya nak bandingkan naskhah ini dengan buku pertama penulis, Dia dan Dia. Ya saya tak nak bandingkan karya ini dengan lain-lain penulis kerana ianya tidak wajar! Lain penulis lain cara dan gaya berkarya.
Jiran Masam Manis, saya nampak kematangan penulis dalam berkarya. Saya suka Suria yang berprinsip dan teguh dengan pendirian. Saya suka Fayyad yang bijak mencari 'peluang' untuk dekat dengan Suria.
Walaupun pada awalnya saya juga seperti Suria yang rasa kecewa bila kehadiran kita bagaikan atas tiket 'bayangan orang tersayang'. Saya juga akan ambil tindakan seperti Suria bila rasa sakit hati mengatasi rasa suka yang mula berputik dalam hati. TAPI makin lama saya rasa tindakan Suria agak keterlaluan.
YA Fayyad pernah buat silap, tapi kesungguhannya untuk memohon maaf hingga sanggup terbang ke bumi Big Ben menggambarkan kesungguhannya untuk sebuah kemaafan. Saya jadi sangat kasihan pada Fayyad bila kembalinya mereka ke Tanah Semenanjung, Suria masih belum sepenuhnya memaafkan Fayyad. Ok tak apa, anggap saja Suria masih terkesan kerana 'penipuan' adalah satu fobia kepada Suria dek sejarah silamnya.
Tapi akal saya berkata, kadang-kala kita harus berkompromi dengan keadaan. Tak salah mengalah, kerana mengalah bukan bermakna kita lemah, tapi menggambarkan kita kuat untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan (buruk) yang akan berlaku. Dalam kes ini, kedegilan Suria untuk tidak memaafkan Fayyad membuatkan saya 'tak geng' dengan Suria.
Satu lagi yang saya tak setuju dengan mereka berdua, bila ada masalah, mereka lebih suka ambil sikap berdiam diri. Tidak mahu duduk dan berbincang. Apa yang mereka buat, membawa diri dan bersembunyi yang konon-kononnya nak berfikir yang akhirnya tidak membuahkan hasil pun! (saya geram ok!)
Walau bagaimanapun, saya tetap berpuashati dengan Jiran Masam-Manis ini, kerana kerenah mereka inilah yang menghidupkan jalan cerita mereka yang masam-manis-pahit-kelat ini.
Lagi sekali 'Well done Bunick!'