Hujan telah berhenti. meninggalkan kebasahannya di aspal dan kedinginannya di tembok-tembok bangunan. Aku berjalan meninggalkan daerah kecil yang aneh ini. ia seperti sebuah kapsul apabila dimasuki menjadi seperti daerah yang luas dan apabila keluar hanya tinggal sebuah ruang kecil antara longkang dan lorong. Aku tegak sebentar memandang ke situ. Tidak ada apa-apa lagi selain kelibat gelandangan dan haiwan perosak yang melompat keluar masuk dari longkang.
Aku berpaling dan menuju ke Riwayat. Hujan jatuh semula, sedikit-sedikit dan kemudian menderas. Aku sudah melangkah ke kaki lima. Melindungiku daripada titis-titis yang jatuh dari langit.
S.M. Zakir nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan di Pulau Pinang dan Selangor. Kini menetap di Selangor. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Kota Bharu, Kelantan hingga darjah empat; Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Pulau Pinang; seterusnya ke sekolah menengah Penang Free School, Pulau Pinang; Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi dan menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA dan Institute of Commercial Management, Bournemouth, England.
Mula menulis pada tahun 1990 dan sehingga sekarang telah menerima puluhan anugerah sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana kategori kumpulan cerpen 1994/95 (Merengkuh Langit, DBP 1995) dan Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, PPN 2001). Antara anugerah sastera tersebut ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBKL, Hadiah Formula Malaysia dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan.
Pernah dihantar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai peserta ke ASEAN Youth Writer’s Conference/Workshop di Bayview Hotel. Pulau Pinang, Disember 1992 dan Bengkel Cerpen MASTERA di Bogor, Indonesia 11-17 Oktober 1998.
Bidang penulisan yang diceburi ialah cerpen, esei, sajak dan novel yang antaranya disiarkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, Bahasa, Dewan Siswa, Jurnal Perisa, Jurnal Malay Literature, Jurnal Pangsura, Milenia Muslim, Pentas, akhbar Berita Minggu, Berita Harian, Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan pelbagai akhbar serta majalah lagi.
Buku-buku yang diterbitkan ialah novel remaja Di Bawah Lembayung (DBP. 1991), novel klasik Kembang Kanigara (DBP. 1992), kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP. 1995), kumpulan cerpen-mini Fatamorgana (Sasbadi. 1997), kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril (Penerbitan Pustaka Nusa. 2001), kumpulan cerpen Menyirat Nirmala (DBP. 2004), kumpulan cerpen Sekeping Ruh di Atas Bantal (PPN2005), kumpulan sajak Memburu Malaikat (PPN 2007), kumpulan sajak Sajak-sajak Petualang: Manusia Cinta (PPN, 2009) dan sebuah buku biografi edisi mewah iaitu Seniman Negara ke-7 Datuk (Dr) Ahmad Nawab (JKKN. 2008).
Bukan buku cerpen terkuat SM Zakir tetapi ini adalah bukunya yang saya nikmati dengan nyaman tanpa perlu bertangguh atau diketepikan lama. Berbanding buku² cerpen yang sering disebut apabila membaca biodata SM Zakir seperti Sekuntum Tulip & Serigala, 20 Cerita Tentang Tuhan atau Sekeping Roh di atas Bantal, saya justeru sebaliknya lebih gemar dengan cerpen² terkini beliau seperti Rumah Kupu², Ular di Tilamku dan terkini, Daerah Orang² yang Telah Mati (DOYTM)
Jika kita mencari kebaharuan dari segi teknik dan bahasa, kita tidak akan temui. Saya merasakan sama sahaja. Cuma saya dapati bahasanya lebih bertenaga, barangkali kerana susunan kata dan ayatnya terlihat lebih rapi. Penulis meneruskan teknik penulisannya, namun lebih nampak teratur, idea cerita berkembang dengan baik.
Apakah perkara lain yang lebih menarik? Rasanya SM Zakir makin kurang membebel, merungut tetapi lebih banyak mempamerkan kehidupan sehariannya, pekerjaannya dan kenangan²nya. Bermula dari cerpen awal sehingga akhir, kita akan dibawa bertemu rakan²nya; Ridzuan, Lutfi, Nazmi, Lan; rumah Pena, DBP, Kinokuniya. Inilah tema utamanya, kehidupan penulis/penerbit buku yang tampak mundane tapi diadun dengan menarik lewat permainan idea yang membentuk cerita. Cerita²nya saling terhubunh walau tidak berkesinambungan. Ia berdiri sendiri, dan peleraiannya tidaklah pula memeningkan pembaca.
Barangkali yang kita dapat rasakan juga, adalah ini cerita-cerita biasa dengan sedikit bumbu fantasi/magis bagi menambah rempah cerita. Soal yang agak mengecewakan, tetapi diselamatkan oleh kepandaian SM Zakir mengatur bahasa dan arah cerita. DOYTM adalah kumpulan cerpen yang berjaya menempatkan dirinya sebagai antara buku yang menggambarkan kematangan SM Zakir sebagai pencerita, bahkan, penerbit.
Pada mulanya, niat asal - ini sebuah buku yang aku jadikan rujukan untuk menulis. Dan sekali lagi juga—ia berjaya buat aku rasa kecil… sampai hampir berputus asa untuk menulis 😅🤣 Sampai terlintas di kepala: patutkah aku kekal jadi pembaca tegar sahaja?
Buku ini menghimpunkan 15 cerpen dengan kisah yang berbeza-beza, namun diikat oleh perjalanan watak di setiap pit stop. Aku sendiri tak pasti sama ada wataknya orang yang sama atau berbeza—kerana ada cerpen yang wataknya dicampak ke dalam sungai, berpunca daripada isu gelandangan yang dibicarakan. Kekaburan itu sendiri sebenarnya menambah rasa resah dan persoalan.
Secara keseluruhan, cerpen-cerpen ini buat aku kenyang dan bermesej. Setiap satunya menyentuh isu semasa, tetapi dibalas dengan renungan yang membuat pembaca berhenti dan berfikir. Gaya bahasa yang digunakan jelas bersifat sastera, dan mungkin itulah sebab utama aku rasa kerdil—lalu memilih untuk terus membaca, menjadi pencatat, dan berkongsi manfaat kepada mereka yang mencari ilmu, daripada memaksa diri menulis sesuatu yang belum sampai.
Bahagian yang paling aku suka ialah selitan puisi Rumi dalam cerpen pertama. Puisi cinta—bukan kepada kekasih bernyawa, tetapi kepada Tuhan. Bahagian itu sangat halus, mendalam, dan terasa jujur.
Aku beli buku ini kerana tajuknya benar-benar memanggil. Dan selepas dibaca, aku faham kenapa.
Tajuk: Daerah Orang-orang yang Telah Mati Penulis: SM Zakir Penerbit: Nusa Centre Cetakan Pertama: 2025 Ketebalan: 209 muka surat Genre: Cerpen Harga: RM 28.00
Alhamdulillah.
Jam menunjukkan pukul 2.04 pagi. 10 jam selepas aku mula menyelak khazanah ini, akhirnya aku sampai ke halaman terakhir.
Buat pertama kalinya untuk tahun ini, aku kehilangan kata-kata selepas membaca.
Sempurna.
Itulah perkataan pertama yang terpacul di mindaku. Kutahu sempurna itu milik Tuhan, tetapi jika sempurna itu boleh dinisbahkan kepada mahkluk, mana manuskrip ini adalah salah satu yang layak menerima penghormatan ini.
**awas, spoiler di hadapan**
Dalam 209 lembaran peta, SM Zakir telah memandu kita meniti jalan-jalan ghaib di kota metropolitan yang saban hari kita lalu, tetapi belum betul-betul pernah sampai.
Daripada 15 kisah yang disajikan, SM Zakir hanya membawa satu cerpen absurd. Yang lainnya, bertema lebih kepada cerpen realisma dan realisma-magis.
Sebagai seorang penikmat cerpen, aku berpaksikan gaya O Henry dan Roald Dahl yang membuka cerita dengan penceritaan yang berplot dan spesifik, membawa dada pembaca ke puncak klimaks, sebelum menutup cerita dengan plot twist yang lazat. Bagiku, itulah ramuan cerpen yang sempurna.
Itu aku yang dulu. Sebelum membaca naskhah ini.
Dalam Daerah Orang-orang yang Telah Mati, SM Zakir telah membawaku menerokai dunia cerpen yang tidak pernah aku telusuri sebelum ini. Penceritaan yang terperinci yang bergerak perlahan, seperti menikmati keindahan malam dan bau petrichor di kaki lima River of Life, tanpa arah tuju yang jelas. Tiada arah tuju, tapi itulah tujuannya!
Dalam 15 kisah pendek ini, SM Zakir membawaku kepada kehidupan seorang lelaki yang bekerja dalam bidang penerbitan buku yang berulang alik di antara kerja, persahabatan dan bangunan-bangunan yang menjadi latar cerita. Bahkan sekiranya SM Zakir mengatan ini bukanlah cerpen, tetapi memoir hidup seorang yang kenal, maka aku tanpa berbasa-basi akan menawarkan diri untuk menjadi pembenar nombor satu beliau.
Stephen King berkata, untuk menulis karya yang baik, kita perlu jujur. Jujur dengan watak. Jujur dengan cerita. Jujur dengan perasaan. Barulah cerita itu akan hidup. Dan sepanjang 209 muka surat buku ini aku mengekori SM Zakir mengembara di lorong-lorong gelap Kuala Lumpur, aku dapat merasai kejujuran beliau.
Tidak perlu watak-watak sebaik malaikat seperti Habiburrahman Al Syirazi. Tidak perlu kegeniusan luar biasa seperti Andrea Hirata. Tidak perlu plot bersimpang siur seperti Jeffrey Archer. Cuma perlu jujur, dan pembaca akan hanyut dalam asyik kejujuran.
SM Zakir telah menjadikanku kembali beriman dengan sastera tempatan. Bahawa masih wujud segolongan umat ini, yang tulus berkarya kerana kecintaannya kepada sastera.
Akhirul kalam, kepada Tuan SM Zakir, terimalah bintang-bintang yang aku kait dari ufuk langit kotaraya ini, untuk dihiaskan pada naskhah agung ini.
Sangat suka buku yang ni. Berbanding kumcer sebelumnya—yang ada kalanya melelahkan pembacaan—kumcer yang ini sedap dan alirannya pun menarik. Dan sereal mana pun SM Zakir nak buat cerita, mesti akan termasuk juga unsur2 surealnya.