Al-Quran, bukan hanya untuk dibaca, tetapi untuk difahami dan diamalkan. Namun betapa ramai yang tidak berusaha untuk membaca, apatah lagi memahami serta mengamalkannya. Hakikatnya, helaian Al-Quran adalah surat cinta dari Tuhan kepada hamba-Nya. Buku ini mengajak pembaca untuk menyelami makna setiap juzuk dengan penuh rasa kasih dan harapan. Ia bukan sekadar himpunan tafsiran biasa, tetapi sebuah perjalanan hati yang mendekatkan kita kepada Allah melalui pesan-pesan-Nya yang penuh rahmah dan hikmah. Dengan gaya santai dan menyentuh jiwa, buku ini menjelaskan maksud utama setiap juzuk dalam Al-Quran secara ringkas dan mudah difahami. Ia membawa pembaca untuk merenungi hikmah di sebalik wahyu, serta bagaimana ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Buku ini harus dibaca oleh setiap Muslimin & Muslimat. Ianya adalah ringkasan tafsiran & terjemahan dari 30 Juzuk Al Quran. Sesuai bagi mereka yang sibuk sebagai bacaan 1 Juzuk setiap malam
Buku SURAT CINTA DARI TUHAN. Bilangan Halaman : 635 Halaman. Mula Dibaca : Isnin, 09 Zulkaedah 1447 Hijrah, 27 April 2026. Tamat Dibaca : Sabtu, 28 Zulkaedah 1447 Hijrah, 16 Mei 2026.
Buku yang bersifat tadabbur ringan ini dibahagikan mengikut 30 Juzuk Al-Quran dan setiap juzuk itu pula dibahagikan kepada empat suku. Pada setiap permulaan bab, penulis mengongsikan sinopsis atau tema ringkas setiap Surah dan tema keseluruhan juzuk. Cuma lebih menarik jika penulis mengongsikan sekali bagaimana cara penulis membahagikan setiap juzuk itu kepada empat suku beserta info ringkas mengenai Surah seperti di mana turunnya Surah tersebut.
Segala yang ada pada kita hari ini adalah pinjaman dari Allah. Ahli keluarga, kemewahan harta, kerjaya, setiap hela nafas, kesihatan mental dan fizikal serta kebijaksanaan akal semuanya datang dari Allah. Syukurilah setiap nikmat Allah yang tidak akan mampu dihitung dengan cara memanfaatkan nikmat untuk melaksanakan amal semata-mata demi menggapai redha Allah. Usah sia-siakan nikmat dengan maksiat dan lagha. Usah sombong dengan segala yang dipinjamkan. Sentiasalah mengulangkaji sejarah para umat terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, kaum Ad, kaum Tsamud dan Firaun yang dibinasakan Allah kerana keangkuhan dan kekufuran mereka menentang para Rasul yang mengajak kepada mengesakan Allah.
Manfaatkanlah nikmat mata untuk mengamati dan mempelajari tanda-tanda kebesaran Allah melalui penciptaan langit, flora dan fauna, gunakan telinga untuk mendengar ilmu, kalam Allah dan kalam Nabi SAW. Langkahkan kedua-dua kaki menuju masjid dan surau, bukan pergi konsert selebriti atau pesta air. Masuk masjid bukannya perlu letakkan apa-apa bayaran tetapi macam berat kaki nak melangkah. Pergi konsert kena berebut membeli tiket berharga ratusan ringgit ramai pula yang sanggup. Manfaatkan seluruh pancaindera semata-mata demi ketaatan kepada Allah.
Bukan sia-siakannya dengan menonton drama Korea berpuluh-puluh episod, mendengar lagu-lagu yang diragukan bait-bait liriknya yang menambah kecelaruan emosi. Hiburan lagha tidak akan mendatangkan ketenangan, malah menggelapkan hati dan menumpulkan akal. Maksiat tidak akan boleh ditangani dengan maksiat. Tekanan emosi tidak akan lega dengan maksiat. Hati akan tenang hanya dengan mengingati Allah.
Para Rasul hanya menyampaikan risalah wahyu tetapi hidayah adalah hak mutlak Allah. Betapa ramai yang menolak kebenaran bukan kerana kurangnya bukti tetapi kerana hati yang sudah tertutup dari memahami kebenaran. Nauzubillah, moga kita tidak digolongkan dalam kumpulan seperti ini. Hidayah itu bukan ditunggu sebaliknya perlu dicari. Mereka yang mencari dengan ikhlas akan bertemu dengan cahaya hidayah.
Dunia adalah ujian, sebenar-benar kehidupan adalah di akhirat sana dan jadikan syurga matlamat kita. Jadikan kisah-kisah kenikmatan syurga dan kengerian azab mereka yang diceritakan di dalam Al-Quran sebagai motivasi untuk menambah kualiti Iman, memperbanyak amal soleh dan menyucikan hati.
Bab yang paling aku suka adalah bab lima ayat tadabbur pilihan pada setiap juzuk. Cuma aku rasa tidak cukup setakat lima, mungkin penulis kena letak tujuh paling kurang. Pesan-pesan yang terkandung di dalam bab ini begitu menenangkan, memberikan harapan dan meniup semangat dalam menjalani kehidupan yang tidak sunyi dari beragam ujian.
Antara pesan yang dikongsikan oleh penulis adalah banyakkan berselawat, beristighfar dan jangan tinggal zikir pagi serta petang. Bertaubat dan bertaubat selagi belum mati. Yang paling utama adalah menjaga keteguhan dan ketetapan Iman serta beramal soleh sebanyak-banyaknya supaya kita selamat dunia akhirat.
Aku cuba kongsikan sedikit beberapa pesan yang dapat aku catat :
Ciri-ciri Mukmin sejati :
- Solatnya khusyuk. - Meninggalkan perkara lagha. - Membayar zakat. - Menjaga kemaluan dari yang haram. - Memelihara solat.
Ciri-ciri hamba Allah yang sejati :
- Merendah diri. - Tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. - Solat malam. - Menjauhi lagha. - Berdoa dijauhkan dari neraka. - Berinfaq sederhana. - Tidak syirik. - Tidak membunuh tanpa hak. - Taubat nasuha dan amal soleh. - Tidak bersaksi palsu. - Menerima teguran apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Allah. - Berdoa agar isteri dan anak-anak menjadi penyejuk mata dan pemimpin bagi orang bertakwa.
Jika kita sedar situasi hari ini di mana kos sara hidup makin tidak menentu, tahap ekonomi yang dicanangkan sebagai sihat di dada-dada akhbar tetapi realitinya sedang tenat,
Cuba kita lihat kembali siapa yang kita pilih sebagai pemimpin?
Adakah dari golongan yang menjadikan hawa nafsu tunggangan syaitan sebagai panduan?
Adakah kita sendiri juga jauh dari Allah?
Sengaja solat di hujung waktu, mushaf Al-Quran entah bila kali terakhir dibuka, nak berzikir pun malas tetapi kita ada terlalu banyak masa untuk menonton filem, permainan video, menatal media sosial tanpa tujuan.
Apabila stress, kita bukan cari ilmu tetapi kita kejar hiburan lagha. Kemudian kita bertanya, kenapa hidup makin sempit?
Terlalu banyak dosa yang kita anggap remeh dan sedang dinormalisasikan seperti menonton filem yang mendedahkan aurat dan cara hidup jahiliah, membuang masa dengan menonton anime atau bermain permainan video padahal masa yang terbuang sia-sia itu jauh lebih baik jika dimanfaatkan dengan menimba ilmu, beribadah dan berzikir.
Bercampur gaul dengan berlainan jantina yang bukan mahram tanpa urusan penting dengan alasan "sekadar kawan", ini pun satu hal yang sedang membarah juga.
Bagi aku, kita sebagai umat Islam tidak memerlukan pun berlambak-lambak buku 'bantu diri' dan motivasi tulisan penulis Barat yang entah apa ideologinya. Membazir masa dan wang saja dengan buku-buku seperti itu.
Terlalu banyak ilmu yang dapat digali dari Al-Quran dan Hadis. Maka, buku tulisan Ustaz Adnin ini sangat sesuai dimiliki dan difahami isinya oleh kita semua umat Islam. Al-Quran dan Hadis itu adalah petunjuk yang menyuluh jalan kehidupan agar kita tidak tersesat dan terjatuh ke dalam kegelapan. Aku harap Ustaz Adnin dapat kembali dengan buku yang lebih terbuka dan garang seperti buku Maksiat Akhir Zaman.
Pada aku, harga buku ini terlalu murah jika mahu dibandingkan dengan kualiti kulit buku dan kertas halamannya yang tebal. Rekaan ilustrasi kulitnya ringkas tetapi sedap mata memandang, begitu juga reka letak pada setiap halaman. Cuma aku harap penulis dapat kurangkan halaman kosong lebih-lebih lagi halaman berwarna hitam penuh untuk menjimatkan kertas dan dakwat.
"Dewasalah kita dari ketagihan maksiat. Matanglah kita dengan perbanyakkan ibadat".
Alhamdulillah. Selesai bertaddabur 30 juzuk Al-Quran walaupun mengambil masa yang agak lama. Bukan mudah untuk memahami isi kandungan yang terdapat di dalam Al-Quran. Namun, masih belum terlambat bagi setiap insan yang ingin menghayati dan merenung ayat-ayat Al-Quran secara mendalam. Kerana buku ini ditulis dengan bahasa yang santai, memudahkan pembaca memahami apa yang tersurat pada setiap juzuk. Semoga selepas membaca Surat Cinta dari Tuhan menjadi asbab kita semakin mendekatkan diri kita dengan Al-Quran dan merenung pesan-pesan illahi