Hati Wan Adnin sangat halus, walaupun kehidupannya ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapa, dia sanggup mengenepikan perasaannya sendiri untuk nenek kesayangannya, Wan Suhaidah (Tok Bonda). Tok Bonda itu asalnya dari kerabat diraja, barangkali itulah sebabnya sibuk dia menolak pinangan demi pinangan terhadap Adnin kerana merasakan tidak sedarjat.
Wan Adnin, gadis yang patuh, barangkali, ada orang akan menyatakan membuta tuli, tetapi hakikatnya, hati Wan Adnin yang halus, yang terhutang budi kepada Tok Bondanya, menyebabkan dia menurut kata. Biarlah orang kata, dia ini gadis pingitan, terlampau dikongkong serba serbi, orang tidak tahu sayangnya Tok Bonda pada Wan Adnin yang ditinggalkan ibunya kerana mengikut lelaki lain & ayahnya pergi membawa hati yang luka. Wan Adnin sangat berhati-hati menjaga pertuturan dan kelakuannya, benar-benar berhati-hati ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Adnin menerima kejutan pertama, si Ahmad Akhtar menghubungi Wan Adnin memberitahu hendak datang merisik! Satu keluarga Akhtar tiba, namun risikan mereka ditolak Tok Bonda. Adnin yang selama ni tidak berperasaan terhadap Akhtar malahan tidak mengenali Akhtar, tetap menyokong Tok Bondanya walaupun kian lama hati diperam, kian tersayat.
Adnin adalah satu sisi gadis Melayu, patuh pada orang tua, tidak melawan walaupun hati meronta dan yang paling penting, cekal hatinya ketika dugaan mendatang. Perempuan Melayu, walaupun nampak lembut tetapi apabila didatangkan cabaran/dugaan, masya-Allah, saya kira kalah lelaki di luar sana. Berapa ramai yang membesarkan anak sendirian? Berapa ramai yang suaminya barangkali duduk jauh dan dia berdikari? Subhanallah.
Saya suka nukilan penulis kali ini,
1. Yang menggambarkan Adnin wanita cekal, bukan lembik-lembik dan terus mengalah pada perasaan. Benar air mata itu perlu gugur apabila perlu, cuma 'senjata' wanita itu bila kerap digunakan dipandang murah. Jangan hanya dugaan kecil, kita terus mengalah.
2. Nukilan tentang bunga emas. Keperitan mereka yang perlu membayar cukai untuk membuat bunga emas kian terasa
3. Kisah terusan Wan Mat Saman.
4. Seni tekat yang makin susut di kalangan masyarakat Melayu
5. Seni pantun yang masih manis melebat.
Pokok kelapa berbuah lebat,
Benih dari kampung paya;
Kalau kita mencari sahabat,
Biarlah dapat orang yang setia.
Galah terpacak di tengah laman,
Laman tempat orang berjudi,
Bukan tak hendak mencari teman,
Belum dapat teman sejati.
Sumber: Pusat Rujukan Persuratan Melayu