Wilayah Ekaterina merupakan percubaan pertama penulisnya mengumpulkan 10 buah karya yang digarap dari sisi pandang sastera kota - iaitu mengambil latar permasalahan yang bergerak dalam pemikiran generasi anak muda yang membesar dalam kepesatan urbanisasi yang menggaulkan realiti dan non-realiti sebagai wacana hibriditi mereka.
Melalui sisi imaginatif yang menarik, watak-watak unik dimunculkan dalam setiap cerpen mewakili 'nilai' yang ingin disampaikan. Memanfaatkan unsur psikologi yang mudah tetapi bermakna, cerpen-cerpen di dalam naskhah ini merungkaikan gelodak jiwa penulisnya sendiri di samping memasuki pergolakan dunia bawah sedar.
Dengan menggunakan bahasa yang komunikatif sifatnya, juga pengolahan pemikiran yang segar dalam ruang kehidupan hari ini, penulis memberikan kesan dan pemahaman yang berbeza kepada pembaca. Ternyata, percubaan Wilayah Ekaterina tidak sia-sia. #Untuk mendapatkan buku ini, sila hubungi 019-2219015 (Cik Norhasydah; Pegawai jualan ITBM). Untuk pembelian secara online; (http://www.itbm.com.my/shop/book/1156)
Kumpulan cerpen pertamanya diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2015 dengan tajuk Wilayah Ekaterina. Salah satu cerpennya bertajuk "Patung" (diterbitkan dalam Berita Mingguan 2 Mac 2014, kemudian dibukukan dalam Wilayah Ekaterina) terpilih untuk bergabung dalam Cerpen Terbaik 2014 terbitan Fixi Mac 2015. Karya Mozaza juga disiarkan di dalam majalah dan akhbar tempatan seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta, Pelita Bahasa, Sanggar Kreatif(Berita Harian), Yang Indah Itu Bahasa( Utusan Borneo), Wanita, Keluarga dll.
Antara 10 cerpen di dalam 'Wilayah Ekaterina', cerpen yang paling terkesan adalah 'Rama-Rama' sebab ianya berkait dengan kes pembedahan plastik di negara Korea. Si suami tak yakin anak yang lahir tu bukan anak kandung dia.
Suka baca: Wilayah Ekaterina, Hemisfera, Bau Kematian, Rama-Rama, Patung, Eksistensi & Wajah.
Kumpulan cerpen yang tidak mengecewakan. 10 cerpen yang berbagai tema dan latarnya. Ada yang lucu dan mengejutkan, ada yang menyentuh dan menginsafkan. Ceritanya mengalir laju dan menarik minat untuk dibaca.
Naskah ini mengesahkan bahawa Mohammad Zakri Zakaria adalah penulis bukan konvensional. Penyimpangannya mungkin cuma sedikit namun mampu meletakkan beliau di dalam angkatan mutakhir yang dikatakan sebagai 'sastera kota' ini. Keabsurdan yang terkawal di dalam naskah ini berjaya membuka suis-suis kesedaran baharu kepada pembaca yang kurang pendedahan kepada karya sebegini. Pun begitu tema, filosofi dan keabsurdan alur ceritanya belum sampai tahap boleh mencabut kepala pembaca. Beginilah yang saya suka - yang sedang-sedang sahaja!
Jika ditanya cerpen mana paling meninggalkan kesan kepada saya jawapannya ialah Wilayah Ekaterina, Eksistensi dan Wajah. Cerpen-cerpen lain juga bagus dan ditulis dengan bahasa segar, lancar dan dipadankan pula dialog-dialog efektif dan komunikatif. Secara keseluruhan naskah ini berjaya melakukan kerjanya sebagai kumpulan cerpen yang baik.
Sudah selesai membaca buku ini berbulan-bulan lepas. Kemudian saya dilanda kesibukan yang sangat padat, outstation ke sana-sini selama berbulan-bulan juga. Sampai terlupa password akaun Goodreads!
Ada bahagian buku ini yang saya begitu suka. Ada juga bahagian yang saya fikir masih perlukan anjakan perubahan yang besar. Tapi secara keseluruhan, saya memuji buku ini. Kerana tidak banyak penulis muda yang mampu menghasilkan karya pertama yang hampir sempurna.
Saya kurang suka pemilihan "Wilayah Ekaterina" sebagai judul kumpulan. Sebab roh dan mesej dalam cerpen tersebut tidak mengangkat citra dan dimensi sebenar keseluruhan kumpulan cerpen ini. Bukan saja Wilayah Ekaterina itu tidak representatif; bahkan cerpen itu juga ditulis dengan agak lemah. Pembangunan wataknya kurang efektif, pelataran waktu dan tempat juga tidak menarik sangat; dan isunya pun tidak dapat diangkat dengan cukup baik. Boleh pilih cerpen yang lebih kuat sebagai judul buku.
Dalam karya-karya yang dipaparkan, ada cubaan penulis untuk mengolah teknik naratif yang berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh gaya naratif konvesional dalam penulisan cerpen di Malaysia. Teknik imbas semula yang sengaja "dicaca-marba" sikit, lompatan plot secara "agak rambang" - itu antaranya. Ia memberi kesegaran tersendiri dan ujaan ekstra kepada pembaca. Saya secara peribadi menyukai kelainan-kelainan begitu, sungguhpun sebenarnya (pada hemat saya) kumpulan cerpen ini ditulis dengan pendekatan yang "agak remaja". Idea dan pemikirannya juga tidak kompleks; serta permainan bahasa dan wacana isu pun tidaklah terlalu sofistikated. Tapi ya, "kelainan teknik" itu yang mendorong saya untuk terus membaca.
Nota: Ada beberapa lagi komen sepatutnya yang saya ingin masukkan. Tapi sebab sudah agak lama, saya terlupa. Nanti saya akan tambah kemudian. Saya harap Sdra Zakri akan terus menulis kerana ada ruang potensi yang masih boleh diisi. Yang kurang adalah elemen "thrill" dan "twist" yang dapat memberi sentakan yang tajam kepada pembaca. Wilayah Ekaterina ini boleh kira dipersembahkan dengan gaya yang agak "lurus", relatif kepada cerpen-cerpen kontemporari terbaik oleh penulis-penulis muda lain. Saya cadangkan baca kumpulan cerpen: Malaywood (Roslan Jomel), Hujan Hujung Januari (Rebecca Ilham), Dongeng Pascamerdeka (Azman Hussin) dan Negeri Malam (jasni Matlani). Ini adalah buku-buku kumpulan cerpen yang mempunyai imbangan yang mantap dari segi persembahan (teknik penulisan), pemikiran (idea/isu) dan 'sentuhan seni' (kreativiti dalam membangkitkan elemen-elemen thrill dan twist).