Siri Karangan Terpilih menghimpunkan karangan-karangan terpilih oleh pengarang-pengarang Melayu yang telah meninggalkan pengaruh mendalam dalam bidang bahasa, pendidikan dan persuratan bangsa. Siri ini bertujuan memperkenalkan semula pengarangan yang mendidik, bernas dan indah kepada angkatan pembaca masa kini.
Siri ini dimulai dengan empat karangan Pendeta Za‘ba yang pernah diterbitkan dalam Majalah Guru, sebuah majalah bulanan penting yang menjadi wadah pemikiran dan perbahasan dalam kalangan para guru Melayu antara tahun 1923 hingga 1941. Karangan-karangan dalam bahasa Jawi ini menyentuh pelbagai aspek masyarakat dan pendidikan, ditulis dengan gaya yang tersusun, jelas, dan sarat dengan suara peribadi seorang pemikir yang tekun dan jujur.
Zainal Abidin Ahmad, juga dikenali sebagai Za'ba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Za'ba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.
Za'ba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916, dan kemudiannya bertukar ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (1918), Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur (1923), Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1924), Jabatan Maklumat, Singapura, (1939 sehingga 1942), Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London (1942 sehingga 1951), dan Universiti Malaya, Singapura sehingga (1951 sehingga 1959).
Za'ba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.
Empat karangan Pendeta Za'ba yang dipilih oleh Akademi Jawi Malaysia (AJM), iaitu berkenaan waqtu, 'ilmu, terjemah dan menterjemah serta pelajaran. Karangan Za'ba jelas memperlihatkan bahawa beliau telah mendahului qawm pada zamannya. Misalnya, tatkala membicarakan perihal kegiatan terjemah menterjemah, beliau mengatakan bahawa orang Melayu harus membaca dalam bahasa yang difahami. Kemunduran mereka dalam pengetahuan adalah kerana kurangnya bacaan berbahasa Melayu. Beliau membuktikan bagaimana bangsa Eropah maju yakni dengan menggiatkan kegiatan menterjemahkan karya-karya Rom dan Yunani. Adapun semangat ini diperoleh menerusi orang-orang Islam yang terlebih dahulu yang menterjemahkan pusaka 'ilmu Rom dan Greek (Yunani).
Bahkan, Za'ba melihat bahawa penterjemahan ialah kunci kepada kemajuan: "Walhasil dengan jalan terjemah-menterjemah, maka telah dapatlah ditanamkan benih-benih kemajuan daripada bangsa-bangsa yang maju oleh pendeta-pendeta ke dalam hati anak-anak bangsanya; dan tatkala telah bertanah berakar benih-benih itu dalam diri masing-masing maka bertumbuhlah daripadanya beberapa dahan dan cawangan dan daun, ranting, bunga-bunga dan buah-buahannya."
Za'ba turut menyatakan bahawa orang yang mengatakan bangsa Melayu itu "pemalas" kerana dinilai daripada perbuatan malas membaca, hakikatnya tiada faham bahawa Melayu sebenarnya tidak memahami bahasa karangan, bukanlah kerana pemalas: "Maka oleh sebab tiada kegemaran dan tiada pengertian inilah jadi terbit malas mereka itu mengusahakan diri pada yang demikian."
Perihal umur yang Za'ba nyatakan juga cukup menarik: "harga 'umur seseorang itu ditimbangkan daripada pekerjaan-pekerjaan berjasa yang disempurnakannya pada masa hidupnya, bukan daripada lama atau tiada lama ia hidup".
Umur manusia dinilai pada jasanya, bukan kepada berapa lama dirinya hidup. Membaca karangan ini, teringat saya kepada Imam Ghazali dan Imam Nawawi yang meninggal pada usia yang agak muda (berbanding rata-rata) iaitu 52 tahun dan 45 tahun. Namun, lihatlah karangan kitab mereka yang masih juga memberi manfaat hingga ratusan tahun.
Perihal pendidikan, Za'ba menekankan bahawa di rumah ialah puncha-mula pelajaran diterapkan dalam diri anak-anak: "maka nyatalah bahawa sebesar-besar perkara yang dikehendaki itu ialah latihan dan asuhan yang sempurna di sekolah dan di rumah. Bahkan asuhan di rumah itulah sekolah yang pertama sekali bagi membaiki hati dan keperangaian anak-anak sesuatu bangsa..."
Dalam segala karangan Za'ba, masih jua ada beberapa perkara yang saya kurang setuju seperti "shukurlah kita semenjak negeri-negeri kita sebelah sini masuk ke dalam sinaran tadbir satu daripada kerajaan-kerajaan Barat yang maha 'adil ini, telah adalah dibangunkan beberapa banyak sekolah-sekolah tempat belajar pada segenap kampung-kampung dan pekan-pekan jajahan...", namun perlu difahami jua bahawa keadaan Tanah Melayu ketika itu, sedikit sebanyak mempengaruhi Za'ba dalam chara-pandang Za'ba terhadap Barat. Dua-tiga hal pinggiran tidak mengubah kekuataan dan kebijaksanaan Za'ba dalam membicarakan perihal qawmnya.
Pemikir Melayu yang agung dan hebat seperti Za’ba sewajarnya untuk kita baca setiap karya yang beliau hasilkan untuk pedoman kita anak Melayu.
Setiap karangan yang dinukilkan oleh beliau sungguh banyak intipati dan kesedaran yang perlu disematkan dalam akli dan jasadi bagi membentuk jati diri kita sebagai orang yang waras dan berpendidikan.
Bait kata yang beliau gunakan mudah untuk difahami oleh masyarakat awam dan boleh membantu kita meningkatkan peribadi yang sedia ada supaya bertambah mutunya.
Teguran dan nasihat yang beliau katakan sepatutnya kita ambil pengajaran untuk kita perbaiki segala tindak tanduk dan tutur kata agar kita jadi insan yang bertamadun dan beragama.
Buku Za’ba yang pertama saya baca. Karangan pendek dalam buku ini saya pilih untuk menjadi pendahuluan bagi saya dalam mengenali gaya penulisan dan pemikiran Za’ba, sebelum saya pergi ke buku-bukunya yang lain.
Asal mulanya saya membeli buku ini kerana salah satu karangan yang dimuatkan dalamnya adalah berkisar tentang penterjemahan. Namun saya jadi seronok membaca setiap karangan yang ada kerana tertarik dengan idea Za’ba yang menyentuh pentingnya pendidikan dalam memacu kemajuan bangsa.