Himpunan tulisan Fathi Aris Omar yang cuba menyelak kesan-kesan kuada pada agama, budaya, wacana, dan kekangan fikiran. Kemudian bagaimana agama, budaya, wacana, dan fikiran yang terkekang itu mempengaruhi pula isu-isu kuasa dan jaringanna yang dalam merasuk dasar batin
Walaupun saya sudah menjangka kehebatan buku ini, tetapi setelah menghabiskannya hanya dalam sehari, kekaguman dan hormat saya pada sosok bernama Fathi Aris Omar ini memuncak tidak terbanding lagi. Secara ringkas pembahagian bab buku ini kepada bahagian politik, agama dan budaya kesemuanya membawa tema-tema yang bergandingan yang koheren sepanjang penulisannya yakni sekitar pemberdayaan masyarakat sivil melalui pendemokrasian wacana, penegasan atas autonomi individu-individu dalam perlawanan atas budaya kolektif dan juga kritik atas hegemoni alat kekuasaan yang merangkumi seperti agama, negara, ilmu dan budaya, parti politik dan sebagainya.
Tidak dapat tidak, bab paling mengesankan, sesuai dengan pembawakan tema tersebut, kritik atas agama merupakan tunjang utama dalam erti kata sebagai usaha menyedarkan umat Islam Malaysia, khususnya Melayu, dari segenap lapisan (ulamak, cendekiawan, akademik, wartawan, mahasiswa , masyarakat) supaya berani menyemak semula dogma-dogma agama yang menjajah ke dalam fikiran mereka sekaligus melumpuhkan keupayaan individu-individu untuk secara cermat menaakul sesuatu isu yang dibangkitkan dalam wacana. Penulisan beliau yang bergaya dan penuh satira membuatkan anda tersenyum tersipu-sipu saat logik akal kita membenarkan kontradiksi yg diimani dan kebingungan yang tidak kita sedari selama ini.
Buku ini memang (meminjam kata Fathi Aris Omar) nampak "tenang" tetapi jangan disangka tiada buaya yang membaham kesadaran anda supaya bangun dari berkhayal.
Buku pertama terbitan Thukul Cetak yang aku baca. Alhamdulillah, tidak mengecewakan. Gaya penulisan Fathi Aris Omar yang berkias dan berseni ni memang memeningkan pada mulanya, tapi bila dah go through 2-3 tajuk, aku dah boleh faham slow-slow apa yang cuba disampaikan penulis. Insya-Allah berbaloi untuk dibaca.
setelah bertangguh tangguh akhirnya habis juga buku ni di baca (himpunan article)
bertangguh tangguh ni sebabnya buku ni agak bosan diawalnya. diawalnya adalah sejarah yang didiamkan mungkin atau dicantikkan dalam buku teks sejarah sekitar era pemerintahan Tun M. walaupun bosan ianya sangat perlu dibaca oleh generasi muda kini sebagai bekalan analisis politik semasa yang sudah pasti berkait dengan masa lalu. hal hal yang dilakukan Dr M itu sepatutnya membuatkan kita lebih berhati2 sekarang. (if and only if kita disajikan dengan sejarah alternatif ini).
seterusnya buku ini yang saya kira paling menarik adalah dibahagian agama. kita akan banyak berhenti disini dan memikirkan kata kata penulis. secara ringkasnya ia mencabar kefahaman sedia ada kita atau sebenarnya apa yang ada pada kita itu bukanlah sebuah kefahaman tetapi muntahan yang tidak sempat kita hadam selama ini. atau mungkin inilah kali pertama kita berfikir tentang hal hal yang kita rasakan kita sudah faham selama ini.
dibahagian agama ini juga saya kira ia menyambung perbahasan Za'ba tentang kemunduran orang melayu yakni dalam bab taklid buta. Fathi telah merungkaikan lebih dalam bagaimana sikap taklid ini muncul dan dimana silap silapnya kita memahami agama selama ini sehingga ia memberi suatu autonomi pada sesetengah golongan yang mahu kita melihat kehidupan dengan cara mereka yang sebenarnya adalah "makanan" untuk mereka kekal sustainable dan realable.
selebihnya beliau telah menghidangkan kepada kita bagaimana minda kita yang tertawan oleh kuasa sehingga banyak sisi dalam hidup kita sebagai cermin melihat kehidupan tertutup oleh kuasa negara juga para agamawan.
Buku ini setebal 206 ms (tak ingat tepat, sebab dah jual. Dan jual bukan sebab tak bagus, kerana itu bagi empat bintang. Jual sebab jual la. Nanti akan cari semula). Tak pasti siapa yang masukkan entri buku ini di GoodReads sebanyak 286 ms.
Jadi disebabkan buku ini telah dijual (dalam musim Covid-19 ni, banyak benda kita kena jual), maka ulasan ini adalah berdasarkan ingatan dan tentang falsafah liberal-demokrasi-individualisme yang dianut oleh Fathi Aris Omar (selepas ini disebut FAO) dalam buku seterusnya beliau iaitu Agong Tanpa Tengkolok.
Buku ini sememangnya sangat bagus dan menarik untuk dibaca, untuk menguliti pergulatan seorang FAO yang menurut saya seorang liberal yang konsisten sebagai manusia kritis semenjak dari zaman perkenalannya dalam alam usrah 1980an sehinggalah masuk ke abad millenia (era Thukul Cetak menerbitkan buku beliau).
Awalnya ketika bertemu FAO dan ada bercakap tentang bukunya ini, saya berterus terang mengatakan Patah Balek lebih berkualiti dan bergengsi pada saya berbanding buku terbitan Thukul Cetak ini. Walaupun buku ini telah berada lama dengan saya, rupanya baru-baru ini baru saya perasan, saya tidak meneliti (atau belum) habis buku FAO yang satu ini. Maka kali ini saya membaca dengan cermat setiap bab dan cuba memahami pemikiran FAO.
Kritikan-kritikan beliau pada bab agama dan juga kemandekan akal bagi penggiat politik dan aktivisme masih sah dan wajar dibenarkan. Budaya buku mati di Malaysia atau tak mampu hidup dengan baik, meskipun di kalangan aktivis.
Bab tentang arca/berhala adalah antara bab-bab akhir, tetapi elok diulas di sini, kerana bab-bab seterusnya lebih kepada individualisme-liberalisme. Saya setuju sekali lagi pada kritikan beliau dalam bab pengarcaan itu/iaitu tentang wacana ikonoklausme Melayu-Islam, yang sebenarnya tulang belakang kepada idea sebegini adalah dari pengaruh Salafi-literalis (erti kata lebih kasar, geng-geng hadith-literal). Kerana itu jika kita perasan, sampul buku atau kulit buku ulama'-ulama' Islam dulu kala (termasuk yang dicetak terkini) tidak banyak (lebih tepat, tidak ada?) yang mempunyai gambar/foto orang (atau makhluk hidup). Banyaknya lebih kepada ukiran! Jadi seni dalam Islam itu tidak dibenarkan -diharamkan- melukis! Ada hadith-hadith yang berselerak banyak tentang ini. Hal ini yang meragukan kita dalam wacana Salafi moden yang boleh pula menerima watak-watak fiksyen/komik/pop culture dalam ceramah, tazkirah, atau mainan anak mereka. Sedangkan hadith-hadith jika dipetik secara literalis sebagaimana metodologi mereka, sememangnya akan membaham mereka hidup-hidup! Nyatalah Islam dalam bab kesenian sememangnya punyai pertembungan yang tersendiri. Ini adalah hakikat nyata yang tidak boleh disorok-sorokkan lagi.
FAO mengangkat Indonesia, juga mengkritik (baca: menghentam Indonesia dalam banyak hal sepertimana dia mengangkat Indonesia dalam banyak hal berbanding Malaysia). FAO mengkritik Mahathir juga mengkritik PAS. PR termasuk Anwar juga tak lepas dari sisi kritikan orang kuat organisasi KAMI ini. Nyatanya hidup FAO penuh dengan kritikan demi kritikan. Saya fikir mungkin insan yang hampir atau sebanding dengan Soe Hok Gie di Malaysia adalah FAO di Malaysia. Paling hampir atau sebanding ya. Bukan persis. Kerana Gie mati muda dalam idealismenya di Indonesia.
Tapi..
Kritik memang mudah. Menjadi organisator, penggiat secara serius dalam organisasa baik gerakan non politikal, atau politikal bukan kepartian, apatah lagi parti politik, ia tidak semudah mengkritik.
Golongan liberal-demokrasi tidak berapa gemarkan perkataan "paksaan", "dictate" dan seumpamanya. Tetapi "rungutan" FAO yang berkali diulangnya baik dalam Patah Balek mahupun buku Agongnya ini, bukankah ini kesan pada "demokrasi" yang dicita-citakannya ini? Bukankah Malaysia bukan Darul Komunis, seperti yang diakui dan ditulisnya sendiri? Tetapi kenapakah kebodohan dan kejalangan kaum intelektual, agamawan, politikus, sasterawan, seniman, bobrok? Hujahnya lagi adalah juga tentang manipulasi media oleh aparat pemerintah, yang diakuinya juga bukan Komunis. Maka begitu, bukankah bukan hanya Komunis/me yang diktator di alam semesta ini? Bukankah "dictator" itu boleh sahaja wujud dalam spektrum ideologi mana pun?
FAO semacam mahu "dictate" juga pandangan, cita atau pemikirannya itu bila mana melihatkan kebobrokan masyarakatnya (saya mengakui kritikannya terhadap intelektual dan masyarakat kita yang bobrok itu). Tetapi Komunisme telah mengemukakan caranya yang tersendiri. Sementara FAO? Masih sahaja mengkritik (dan nampak utopis, sehingga kadang saya jadi tidak jelas pula apakah yang dimahukannya itu? Maaf jika beliau ada terbaca, saya terpaksa berjujur di sini).
Pastinya Komunisme itu tidak muluk, saya mengakui itu. Tetapi apa sahaja yang muluk? Liberal-demokrasi itu mulukkah? FAO ada menyebutkan tentang seorang penyair yang akhirnya terpaksa berpindah/melarikan diri ke Amerika dan melontarkan kritik-kritiknya di sana. Soalnya, adakah Amerika adalah cita akhir bagi impian kebebasan liberal-demokrasi FAO? Phil Zuckerman sendiri mengkritik (baca: mencemuh) kebodohan religius umat Amerika yang menurutnya Amerika adalah "negara agama". Ada juga pandangan yang berkeliaran (yang saya dengar bertahun-tahun ini hasil persembangan dengan kawan) bahawa orang Amerika adalah bodoh. Saya juga ada mendengar pembikin filem kritis di Malaysia (yang digam) mengatakan bahawa Hollywood adalah kilang pembodohan. Dan tanpa merujuk pada pembikin filem itu pun, jika kita amati dan cermati filem-filem Hollywood secara sendiri dan serius, sememangnya kita akan dapati terlalu banyak rekayasa, propaganda dan pembodohan oleh Hollywood. Ketika Covid-19 melanda, negara yang paling banyak mengeluarkan filem melawan segala jenis negara, ideologi, teroris dan alien ini paling kecundang menghadapi Covid-19 berbanding negara yang paling kurang menghasilkan filem seperti China, Cuba dan Vietnam (antara negara Komunisme yang dibenci oleh para penggiat idea liberal-demokrasi).
Sekali lagi, saya ulang, bahawa pastinya tiga negara di atas tidak semestinya cukup bagus atau saya mahu tinggal di sana. Pastinya banyak lagi kerja dan hal yang perlu dibaiki oleh negara-negara Kiri. Tetapi FAO yang selain mengkritik ideologi authoritarian yang sifatnya kuat, keras, buas dan ganas, FAO juga menggunakan terma "hegemoni" yang sifatnya adalah dominasi secara lembut atau halus. Jika begitu, bagaimanakah bentuk atau impian yang ideal bagi cita liberal-demokrasi seorang FAO? Saya masih kabur dan tidak jelas sebenarnya (itu yang saya katakan, dalam bahasa yang lebih mudah, apa yang dia nak sebenarnya?)
Kerana itu meski Komunisme antara ideologi yang paling kerap dikutuk dan dicela di planet bumi ini, mereka lebih jelas dalam apa yang mereka nak -untuk kali ketiga diulang, meski banyak kecacatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki - tetapi buat mereka yang menentang ideologi kolektivisme seperti ini, apa yang mereka nak? Di Malaysia yang tidak Komunisme ini, akhirnya memilih UMNO, PAS, PKR secara JADONG (terma Alatas), melalui cara demokratik pilihanraya. Itupun tidak dipersetujui FAO. Jadi FAO nak macam mana lagi?
Saya faham FAO seorang yang kritis orangnya, pernah berjumpa banyak kali dengan beliau, sembang empat mata (atau lapan mata kerana kami bercermin mata) pun pernah, berforum sekali pun pernah, saya menjemput beliau ke diskusi buku anjuran organisasi kami, dan beliau juga pernah menjemput saya ke forum anjuran organisasi/tempat kerja beliau, dan kritikannya make sense, tapi bagaimana beliau nak mewujudkan (baca: memaksakan) idea (mungkin dia tidak gemarkan istilah ideologi) lisme beliau tanpa terma paksaan atau dictate?
Macam mana nak mewujudkan benda baik tanpa paksa? FAO akan berhujah tentang "persuasif" atau pemujukan (sebenarnya bukankah ini juga nama lain pada jutaan iklan yang pernah dikritiknya? Juga nama lain bagi hegemoni?)
Saya rasa inilah "pergulatan agung" seorang FAO.
(Beberapa tambahan atau temuan lain tentang pertembungan individualisme dan kolektivisme berdasarkan ingatan saya tentang buku ini akan dimasukkan di bawah, mungkin sahaja akan dilanjutkan menjadi reviu buku di blog nanti)
FAO juga mempertembungkan antara individualisme dan kolektivisme dengan misalan pejalan kaki (perwakilan individualisme menurut FAO) dengan kenderaan di ibu kota.
Baru-baru ini selepas habis pos buku baru saya teringat tentang analogi individualisme FAO itu. Bagi saya itu tidak sepenuhnya tepat, malahan tersasar. Sebenarnya motor/kar lebih kena dengan perwakilan atau perlambangan kepada individualisme. Lebih khusus mungkin pada kereta (pada harga). Sementara nilai kolektivisme dari sudut analogi dalam hal ini, sepatutnya merujuk pada pengangkutan awam seperti bas atau tren. Dan bas atau tren tidak mengancam pejalan kaki seperti FAO. Yang banyak mengancam pejalan kaki adalah kenderaan-kenderaan peribadi (individualisme) berbanding pengangkutan awam. Bas dan tren dikongsi dan dinaiki secara beramai, sementara kereta di bandar-bandar besar, meskipun seat-kerusinya boleh memuat 4 orang (minima), pemiliknya lebih selesa memandu solo atau berdua. Ini lebih cocok dengan individualisme.
Buku pertama untuk tahun 2015, walaupun buku ini mula dibaca pertengahan bulan Disember 2014. Buku ini dibeli terus daripada Fathi semasa satu sesi perbincangan di Bangsar. Saya memang pernah membaca buku beliau 'Patah Balek' beberapa tahun yang lalu. Mungkin kerana gaya bahasa dan idea Fathi sedikit terikut dengan bahasa Indonesia (pendapat saya) maka saya menyukai tulisan beliau.
Saya mengaku saya sangat menyukai buku-buku tulisan penulis Indonesia jadi tidak hairan saya jadi tertarik dengan gaya penulisan Fathi. Bukan setakat gaya bahasa namun idea yang diketengahkan beliau juga sangat mengiurkan. Walaupun semasa di dalam perbincangan di Jalan Telawi itu, Fathi menyatakan beliau mahukan kritikan diberikan kepada penulisan beliau berbanding pujian, saya tetap sahaja akan memuji penulisan ini. Kritikan tetap ada tetapi biar saya berikan sisi menarik buku ini dahulu.
Permulaan buku dengan prakata daripada Ammar Ghazali sudah mengasyikkan. Ammar menyatakan ketagihan beliau terhadap perbincangan di Jalan Telawi. Saya faham situasi beliau. Wacana dan perbincangan seolah membuatkan masa terlalu singkat. Masih saya tetap merasakan wacana dan perbincangan sering dikuasai lelaki lalu membataskan perempuan untuk turut serta. Ok, abaikan keluhan saya. Namun saya agak bersetuju dengan pandangan Ammar iaitu "barangkali dalam saat tertentu belajar bertanya soalan yang benar lebih baik daripada mendapat jawapan yang benar." Bagi Ammar, Fathi menawarkan soalan yang benar. Bagi saya, Fathi melontarkan terlalu banyak soalan!
Pertamanya, membaca keseluruhan buku ini membuat saya sedar betapa sedikitnya buku mengenai idea dan pemikiran yang tidak dibaca oleh saya. Maka, bagusnya buku ini membuat pembaca membuat bacaan susulan. Bagi saya, buku yang baik adalah buku yang membawa pembacanya membaca buku yang lain seperti rantai yang saling berkait.
Buku ini mengajak pembaca melihat pelbagai persoalan dan menawarkan pelbagai kritikan. Saya bersetuju dalam kritikan Fathi terhadap sikap kolektif masyarakat yang sering terkadang mengabaikan individu, meremehkan debat dan mengekang kebebasab bersuara. Dalam nada sinis beliau menulis "Sehingga kejujuran di negara kita harus berbisik-bisik, rasa kebenaran dan keadilan ditelan kembali ibarat ludah yang tidak jadi"
kebanyakan artikel Fathi di dalam buku ini menyentuh cara kebanyakan rakyat negara ini beragama. Beliau mengajak pembaca menilai semula kepercayaan terhadap agama. Bagi saya, ini adalah sisi penting buku ini. Bagi beliau situasi politik yang tidak demokratik di negara kita meyebabkan wacana baru dalam agama sukar dilakukan. Terlalu banyak yang dilemparkan, anda perlu membacanya sendiri.
Keseluruhan.
Walaupun buku ini menggunakan tajuk "Agong Tanpa Tengkolok", setelah membaca keseluruhan buku ini saya merasakan Fathi hanya menggunakan tajuk ini kerana mahu menarik pembaca sahaja. Memang tajuk buku ini diambil dari artikel pertama buku ini tetapi masih sahaja ianya hanya tajuk yang sedikit kontroversi buat pelaris buku, malah kulit buku ini sahaja sudah cukup menggambarkan pendapat saya. Ini kerana artikel beliau seterusnya lebih banyak merujuk kepada kritik beliau terhadap agama. Jangan salah faham, saya sekadar menyatakannya disini. Memang penulis terkadang perlukan strategi sebegini.
Namun saya sedikit kecewa kerana kebanyakan artikel ini adalah daripada tahun 2005 dan sekitar tahun 2007 dan 2008. Hanya beberapa artikel beliau yang terkini dan dimasukkan ke dalam kumpulan artikel ini. Walaupun sedemikian terdapat juga artikel yang telah lama ditulis tetapi tidak diterbitkan, jadi ianya masih boleh dimaafkan.
Pertama, tajuk dan kulit depan buku ini tidak menggambarkan isinya. Entah kerana faktor pemasaran atau sebab lain kita tidak pasti. Hanya satu bab pendek mengenai Mahathir dan Mahathirisme. Itupun lebih kepada kutipan ucapan Tun Mahathir di parlimen sewaktu mengusulkan pindaan perlembagaan berkaitan kuasa raja-raja Melayu. Mungkin juga Fathi berpandangan Mahathirisme itu menjadi titik tolak kepada semua isu-isu lain yang mendasari perbincangan esei-esei dalam buku ini.
Kedua, kritikan/ulasan/perbincangan Fathi mengenai agama lebih menghairahkan berbanding ulasan beliau berkaitan politik atau seni. Dan, saya kira itulah inti sebenar buku ini.
Ketiga, terdapat beberapa esei yang dihasilkan sekitar awal 2000, jadi ada antaranya yang kelihatan telah dimakan waktu dan tidak berapa releven dengan suasana hari ini. Tapi untuk tujuan refleksi, catatan-catatan itu menarik dibaca.
Keempat, Fathi Aris Omar memang seorang pemikir yang kritis. Sama ada anda setuju atau tidak dengan beliau itu soal yang lain, tetapi jika anda seorang yang berminat untuk ambil tahu pergelutan kuasa, ideologi dan agama masyarakat ini, sisi pandang Fathi tidak harus dikesampingkan.
Pertamanya, ini buku Thukul Cetak pertama yg aku baca. Aku suka dgn padanan tiga warna bagi setiap bukunya. Hitam, putih dan merah. Nampak garang tapi tenang. Dan buku ini dgn wajah Tun memang terus menarik perhatian aku tentang isu Agong dan Tun M satu masa dulu. Mana boleh aku lupa saat ayah aku asyik membicarakan kuasa Agong yg diungkit oleh Tun M ketika aku masih belum ambil kisah tentang politik Malaysia.
Betul! Itu yg diulas dan dibincangkan dgn hebat di awal buku ini. Sehingga aku kata kepada ayah aku, nah! ini pasti buku yang ayah suka.
Bagaimanapun, masuk bahagian yang kedua dan seterusnya aku hilang tumpuan. Cover Tun M tak menjelaskan sepenuhnya kandungan buku ni. Strategi pemasaran, barangkali. Tapi untuk menolak semua fakta yang diutarakan, mungkin aku lebih sudi menerimanya.
Aku mungkin bukan pejuang anak bangsa yang sanggup beraksi hebat di pentas sepatutnya seperti yg penulis ceritakan tentang kisah hidupnya tapi aku suka semangat yg buku ini beri dalam sedar aku.
Ya, kita tahu kuasa mana yang patut kita tunduk dan patuh. Semua pun tahu.
Democracy is a space where the players negotiate axis of power, and in Fathi's Agong Tanpa Tengkolok he explores this way power permeates through religion, the arts, law and the media. Agong Tanpa Tengkolok is a collection of articles and essays written over the years and published in various medium, but all focusing on power.
In many ways, Agong Tanpa Tengkolok is a study into Malaysia, post-Reformasi and the effects the Mahathir administration has left on the country. These series of essays help make sense of how far we've gone and why we've end up where we have politically. And not all essays are about power: Fathi dedicates a few essays into the nature of dialectics and intellectual rigour.
Agong Tanpa Tengkolok seems to be written for the younger generation who grew up post-Reformasi. And rightfully so. Fathi's language, though slightly heavy, requires more than a single skim to make sense of; a challenge that's rewarding at the end of it.
Penulisan yang membuka minda. Bahagian pertama buku ini berkisarkan situasi politik pasca-reformasi. Bahagian seterusnya, penulis banyak berbicara mengenai persoalan beragama, bagaimana kita memahami agama. Satu sudut pandang yang agak berbeza dan mungkin agak sukar diterima oleh sesetengah orang. Bab terakhir mengupas isu kewartawanan, seni dan budaya. Gaya penulisannya yang agak berkias kadangkala menyebabkan beberapa artikel agak sukar difahami.
Fathi Aris Omar (FAO) ialah nama yang paling penting buat mereka (mahasiswa khususnya) yang dalam 'circle'/lingkungan usrah atau gerakan-gerakan Islam. Aku mengenali tulisan FAO dari artikel Di Bawah Mendung Usrah yang mana di dalamnya mengkritik keras gerakan-gerakan Islam yang sejak sekian lama duduk dalam romantisism zaman silam dan silibusnya yang tidak bersesuaian dengan masalah masyarakat setempat. Sejak dari itu tulisan-tulisannya membangkitkan persoalan-persoalan yang penting untuk ditanya oleh pembaca. Bagi aku FOA banyak mempersoalkan sesebuah isu itu dari sudut pandangan mikro, atau dalam erti kata lain menyemak semula isu-isu itu dari pangkal masala iaitu dari sudut falsafahnya. Perubahan yang akan berterusan bermula dari membaiki kerosakan-kerosakan yang berlaku dari akar umbinya.
Salah satu artikel yang menarik minat aku dalam buku ini ialah mengenai masalah Tsunami yang berlaku di Indonesia tahun 2004. Bagi kebanyakan para agamawan yang malas kejadian Tsunami itu berlaku disebabkan bala Tuhan atas perbuatan dosa rakyat jelata. Di sini terbit persoalan, benarkah Tuhan itu ganas dan Tuhan itu pendendam. Maka, dari sini penulis membuat analisis tentang disebalik kejadian Tsunami itu berlaku. Ringkasnya, penulis mengkritik Tsunami tersebut merupakan bencana alam yang berlaku tetapi dapat dielakkan jika adanya integriti dalam sesebuah masyarakat, namun ianya melanda Acheh kerana maksiat sosial yang berleluasa ketika itu. Maksiat sosial berlaku disebabkan sikap acuh tidak acuh para penguasa yang memimpin Indonesia ketika itu, yang bergelumang dengan korupsi, sistem birokrasi yang melampau dan berbagai-bagai lagi masalah sosial yang tidak diselesaikan pemerintah ketika itu. Hasilnya ia mengundang kepada bencana yang teruk. Kejadian seperti ini bukanlah pertama kali berlaku, malah ianya telah berulang-ulang kali diceritakan di dalam kitab suci Al-Quran tentang bagaimana Tuhan menurunkan bala akibat dari perbuatan manusia itu sendiri, dalam konteks ini akibat pecah amanah yang berlaku dalam pemerintahan itu sendiri. Dapat disimpulkan disini, setiap perbuatan sama ada buruk atau baik yang dilakukan manusia, tuhan hanya menyempurnakannya. Jelas disini sifat tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang itu lebih besar dari tuhan yang bersifat ganas.
Akhirnya bagi aku, buku Agong Tanpa Tengkolok ini merupakan satu buku penting yang harus dibaca khususnya oleh golongan mahasiswa dan anak-anak muda yang dahagakan perubahan dan pencerahan dari peringkat akar umbi kerana seperti di awalan bab, niat penulis hanya membangkitkan persoalan bukannya jawapan, dan untuk mencari jawapan tersebut itu terletak di atas pundak anak muda, khususnya golonga yang dikatakan terpelajar yang bakal menjadi arkitek negara pada masa depan, MAHASISWA