4-5 bab pertama agak sukar juga nak difahami. Tetapi selepas tu dah boleh tangkap yang naratif meleret-leret dan berulang-ulang yang digunakan sebenarnya mahu menyampaikan keadaan fikiran Su Usul, salah satu watak dalam buku ini yang semakin hari semakin merosot keadaan fikirannya. Sewaktu baca tu ada juga terasa macam tersekat dalam kesesakan trafik yang tak berpenghujung. Sekali dua gerak dalam masa sejam lepas tu tersangkut balik. Macam tu juga rentak cerita dalam buku ini. Disebabkan naratif yang diambil dari Su Usul tu, cerita akan kerap berulang-ulang perkara yang sama. Satu dua bab kemudian, masih bercerita tentang perkara yang sama balik. Kalau ada sekalipun penambahan baru dalam cerita, dah jadi macam ada kereta tiba-tiba mencelah di hadapan dalam kesesakan trafik tu juga, hanyalah penambahan sesuatu yang baru tetapi masih lagi tersekat dalam kesesakan trafik yang sama, masih lagi tersekat dalam pengulangan cerita yang sama.
Apapun, dari pemerhatian Su Usul ini jugalah sedikit demi sedikit dengan amat perlahan seperti sedang tersekat dalam chronostasis akan kemudiannya mendedahkan masalah-masalah yang berlaku di Poseng. Tentang bagaimana dua pandangan berbeza dan berlawanan akan menyebabkan kejatuhan Poseng itu sendiri. Sebenarnya, dalam 50 muka surat pun dah boleh tangkap apa yang buku ni cuba nak ceritakan. Tapi, macam dihukum hukuman mati yang membunuh perlahan-lahanlah, cuma tunggu masa saja nak akhiri penyeksaan untuk sampai ke penghujungnya. Semuanya membawa kepada kisah bagaimana perbezaan, perbalahan dan ketaksuban akan membawa kepada kemusnahan dan kejatuhan. Pendek kata, macam kisah tentang watak yang suka merosakkan diri tapi kali ini versi satu kampung.
Apa yang menjadi masalah dengan buku ini lagi adalah apabila cerita sudah semakin berat dengan masalah-masalah sekitar Poseng, gaya naratif yang diangkat dari keadaan fikiran Su Usul itu masih tidak berubah sekalipun Su Usul mula sekadar menjadi penumpang belakang untuk cerita saja. Apabila naratif dialihkan dari sudut pandang watak lain, perkara yang sama masih berlaku lagi, mereka semua cenderung untuk bercerita dengan meleret-leret dan berulang-ulang perkara yang sama. Jadi, di sini ceritanya terus menjadi terlalu mendatar dan tiada keterujaan yang boleh menaikkan semangat untuk meneruskan pembacaan. Perkara ini turut memberi kesan terhadap perwatakan watak-watak dalam buku ini sekali. Watak-watak yang menjelikkan mula terasa hanya bersifat satu dimensi.
Aku faham, kisah ini mahu menyampaikan nilai-nilai moral melalui watak-watak yang menjelikkan. Menunjukkan apa yang tidak sepatutnya dilakukan sekiranya tidak mahu menuju ke arah kerosakan bak kata separuh dari kata pepatah, yang buruk jadikan sempadan. Tapi satulah masalahnya, cara penceritaannya terlalu membosankan bagi aku.
Tapi cubalah juga baca. Sesuai juga bagi mereka yang mahu menguji kesabaran atau mengalami kesukaran untuk tidur.