Sebuah antologi 18 buah cerpen Noor Suraya sejak tahun 1988 - 2018. Cerpen-cerpen ini ada antaranya pernah memenangi hadiah sastera peringkat negeri dan kebangsaan. Kisah yang mengundang pelbagai emosi pembaca dengan lenggok bahasa yang indah dan menyentuh hati.
Lulusan Diploma Pendidikan (KPLI) daripada Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) ini, pernah menjadi pendidik selama 13 tahun. Noor Suraya juga seorang Munsyi Dewan yang aktif dalam dunia penerbitan. Kini Noor Suraya mengetuai JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd. sebagai Pengarah Eksekutif di samping bertindak sebagai Pengarah Urusan untuk Jemari Seni Sdn. Bhd. Justeru, Noor Suraya juga bertanggungjawab memantau hal-hal yang berkaitan dengan editorial, pemasaran dan komunikasi di kedua-dua syarikat penerbitan ini.
Noor Suraya memiliki ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya, dan Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Massa/Pengurusan) daripada Universiti Sains Malaysia. Noor Suraya pilih membaca apa saja – daripada teks klasik, cerita-cerita panji dan warkah-warkah lama sehinggalah tulisan-tulisan kontemporari serta teks-teks ilmiah. Cerita kanak-kanak dan komik selalu menjadi ‘pembuka selera’ membacanya. Bidang yang menjadi perhatian khususnya Noor Suraya tentulah hal-hal yang berkaitan dengan bahasa dan linguistik, sastera dan budaya, sejarah (dan sirah), biologi, juga fasal sosiologi serta antropologi.
~ Noor Suraya telah menambah perbendaharaan kata baharu pada pembaca muda melalui penulisannya yang cermat ~
Mula-mulanya aku ingatkan nak buat top 3 cerpen pilihan hati tapi kesudahannya semua cerpen mendapat tempat dalam hati 🤭
Tulisan Kak Su memang ada magisnya. Sebab walaupun ceritanya sedih dan banyak watak yang mengundang simpati, setiap ayat tetap mengalir lancar tanpa halangan di hati pembaca.
Oh, ya! Sebenarnya, cerpen-cerpen dalam himpunan ini pernah dimuatkan dalam antologi terbitan Jemari Seni dan Adiwarna, cuma bukan semuanya.