Jemputlah baca novel ini.
Luka Nering karya seorang sasterawan tanah air kelahiran Perak, Malim Ghozali PK (penerima S.E.A. Write Award 2013). Novel ini telah diterjemah kepada Bahasa Inggeris dengan judul ‘Tree Of Sorrow’. Disenarai pendek dalam kategori utama novel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 walaupun tewas kepada novel Nenek.
Pekat dengan unsur patriotisme dengan membawa pembaca menilai semula diri melalui renungan terhadap peristiwa sejarah yang dialami oleh tanah air dan bangsa kita. Dendam seorang putera raja negeri Perak terhadap peristiwa Perjanjian Pangkor 1874 telah menanam azam sehingga berjaya membawanya melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah ke peringkat tertinggi di luar negara. Berlaku perdebatan antara beliau dengan sarjana sejarah Barat terhadap hakikat penulisan sejarah oleh Barat, pertikaian-pertikaian terhadap manipulasi dalam penyampaian fakta oleh mereka.
Benarkah Francis Light yang membuka Pulau Pinang? Adakah penjajahan yang berlaku semata-mata kesilapan pemimpin dan rakyat tanah air ini atau sebenarnya kesilapan-kesilapan itu merupakan sebahagian daripada perancangan rapi penjajah sejak awal lagi?
Pembelotan bangsa sendiri, kelalaian para pemimpin dengan kemewahan dan hiburan, kepincangan sikap penghuni istana, lemahnya keyakinan bangsa, tiada integriti dalam pengurusan pentadbiran dan yang paling utama melupakan sejarah punca kejatuhan bangsa dan tanah air ini, semua dikupas dengan berani di dalam novel ini.
Watak utama TC, seorang putera raja yang layak mewarisi takhta kerajaan negeri telah terlajak bertindak disebabkan oleh dendamnya dan rasa meluat terhadap penjajah, beliau telah membunuh pegawai Inggeris dan seorang saudagar Cina yang bersikap melampau, mengakibatkan beliau terpaksa dimasukkan ke wad sakit otak di Tanjung Rambutan. Di situ beliau merenung ke dalam diri dengan pergaulan dengan rakyat, menjadi lebih merakyat, dan muhasabah diri dan bangsa.
Pembacaan yang berbaloi, untuk membina semula jatidiri agar kita sedar bahawa penjajahan sebenarnya tidak pernah berhenti, masih wujud usahanya sehingga kini. Bukan sekadar tanah air tetapi juga jiwa dan agama yang menghuni di dalamnya.