sebuah karya yang sangat indah dan mempesona. sejak halaman pertama, saya terasa seperti dibuai dengan bahasa yang puitis, perlahan dan melankolik— benar-benar selari dengan makna hujan itu sendiri. hujan buat kita tenang dan nyaman, tetapi dalam masa yang sama menghadirkan rasa lelah dan sebak. novel ini juga begitu; ia buat saya terasa seperti dalam pelukan hangat namun tetap menyimpan dingin yang menyayat perlahan-lahan.
karya ini terasa hidup dan sangat manusiawi. latar antara Malaysia dan Indonesia menjadikan suasananya sinematik, seolah-olah saya sedang menonton sebuah filem yang sarat emosi. saya tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat-tempat itu, namun penulis membuatkan saya rasa hadir dalam setiap perjalanan Radi dan Seri— dari pertemuan pertama yang diatur takdir hinggalah ke detik terakhir yang memeritkan.
Radi dan Seri adalah jiwa kepada cerita ini. cinta mereka begitu tulus hingga membuat saya cemburu. namun kebahagiaan itu tidak kekal tanpa ujian. saat Radi mula kehilangan ingatan tentang orang-orang yang paling disayanginya, di situlah konflik menjadi paling menyakitkan. pada saya, yang paling pedih bukanlah perpisahan, tetapi proses dilupakan tanpa pilihan. bayangkan orang yang kita cinta sepenuh hati perlahan-lahan memadam kita daripada memorinya kerana keadaan dan takdir yang memaksa. babak dua sudut pandang mereka benar-benar meruntun jiwa kerana di situlah kita melihat cinta mereka dalam bentuk paling jujur—daripada saat paling bahagia hingga ke titik paling rendah dalam hidup. namun dalam banyak perkara yang terpadam dari ingatan Radi, ada yang tetap kekal— mata Seri dan senyumannya. di sini jelas kita dapat lihat, cinta mungkin boleh dilupakan oleh akal, tetapi ia tetap hidup di dalam hati.
saya juga memahami mengapa kehilangan Radi begitu menghancurkan Seri. cara Radi mencintainya begitu jelas dan lantang. dicintai oleh Radi bererti dilihat, dikenali, dihargai dan dihormati. setiap peluang dan ruang, Radi sentiasa membuat Seri rasa disayangi.
kisah mereka mengajar saya tentang reda dan percaya kepada ketentuan Tuhan. ada waktunya kita tertanya-tanya, mengapa Tuhan menguji manusia seberat itu sedangkan kita tahu Dia Maha Adil. namun apabila bahagia hadir, jarang sekali kita mempersoalkan keadilan itu. melalui Radi dan Seri, saya sedar bahawa ujian bukan tanda ketiadaan kasih Tuhan, tetapi sebahagian daripada perjalanan hidup yang membentuk sabar dan keikhlasan. tema hujan dalam karya ini bukan sekadar simbol, tetapi metafora tentang kehilangan, kesabaran dan harapan bahawa selepas setiap hujan, pasti ada cahaya yang menunggu.
perkembangan watak Seri juga antara kekuatan utama cerita ini. daripada seorang wanita yang rapuh dan tenggelam dalam penafian, dia bangkit menjadi lebih matang, tenang dan kuat. kebangkitan itu pula tidak berlaku sendirian; El dan Leya hadir sebagai cahaya baharu, membuktikan bahawa Tuhan tidak pernah mengambil sesuatu tanpa menggantikannya dengan hikmah yang lain. saya benar-benar tersentuh melihat bagaimana takdir mempertemukan mereka pada waktu yang tepat.
selain itu, setiap watak dalam novel ini; Radi, Leya, El, Bang Adit, Wani serta ibu dan ayah Radi—memainkan peranan masing-masing dengan begitu seimbang. tiada yang tenggelam. semuanya saling melengkapi dan membentuk siapa diri Seri hari ini.
kisah keluarga ibu dan ayah Radi mengingatkan saya bahawa setiap hubungan pasti melalui badai dan ribut. tiada yang sempurna, tetapi kitalah yang menentukan sama ada mahu mempertahankan atau melepaskannya. hubungan memerlukan usaha daripada dua pihak. bukan sekadar rasa, tetapi komitmen untuk terus memilih satu sama lain.
pengakhiran novel ini terasa sangat tepat— seperti pelangi yang muncul selepas hujan. dunia tidak akan selamanya gelap. melalui kisah mereka juga, saya belajar bahawa kehilangan bukan pengakhiran segalanya dan harapan sentiasa ada untuk mereka yang sabar. cinta mungkin diuji dengan kehilangan, tetapi sinar dan harapan sentiasa ada selepas setiap hujan.
akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada penulis atas karya yang begitu indah dan antara yang terbaik pernah saya baca tahun ini. terima kasih kerana sudi berkongsi cerita Radi dan Seri kepada kami ❤️
— ⭐️ personal rating: ♾️/5.