Zayn dan Laila, sepasang penyiasat persendirian dari Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk mencari Marissa, anak perempuan Tan Sri Hashim yang hilang dari sekolah.
Pocong. Rasuk. Dan sumpahan lagu kematian. Siapa sangka, sebuah kes penculikan biasa akhirnya membuka lembaran baharu buat mereka.
Dari Johor Bahru, sehinggalah menelusuri sejarah terpisahnya Malaysia dan Singapura, pasangan 'malu tapi mahu' ini haru bekerjasama dan mengetepikan perbezaan mereka sebelum sumpahan ini ikut meragut nyawa Laila.
Ikuti keterujaan, jenaka cinta, konflik keluarga dan usik-mengusik agensi Zayn Laila dalam menyelesaikan kes ini!
Buku Ilham Mazalan adalah buku yang saya akan beli tanpa berfikir 2 kali. Saya suka lenggok bahasanya yang sedap, walaupun terkadang ada genre yang saya normally tak akan baca pun saya beli.
Sebab ada je something yang kita boleh ambil / belajar daripada buku-buku penulisan dia.
Kali ni penulis pilih untuk explore tema seram supernatural + penyiasatan. Part seram tu memang merinding dan saya masih teringat-ingat sampai sekarang. Speaking as orang yang biasa tengok cerita seram sorang-sorang. Penulis berani bereksperimen sampai ke ruang-ruang yang tidak selesa.
Lepas ni kalau orang bagi air saya pasti teringatkan scene dalam buku ni. Tanak spoil.
Jika anda kenal dengan pasangan penyiasat Tommy dan Tuppence karya Agatha Christie, anda mungkin boleh bayangkan persamaannya dengan Siri Zayn dan Laila ini. Seperti Tommy dan Tuppence, Zayn dan Laila bukan sahaja penyiasat persendirian yang berani, mereka juga menaruh perasaan kepada satu sama lain.
Yang ketara kelainan Siri Zayn dan Laila dari Siri Tommy dan Tuppence adalah dari segi misterinya yang lebih cenderung kepada alam ghaib dan juga ada elemen agama Islam, budaya Melayu dan sejarah Malaysia.
Sungguhpun buku ini buku pertama dalam siri ini dan bukunya agak nipis (167 muka surat sahaja), ceritanya cukup menarik bagi saya. Walaupun ada bahagian yang lawak, buku ini juga ada bahagian yang seram dan agak ganas. Saya cuma kurang suka bahagian awal buku di mana Zayn dan Laila asyik bergaduh manja yang agak kebudak-budakan. Kalau sedikit, saya suka, tapi ini bagi saya agak berlebihan. Namun begitu, saya suka penulisan Ilham Mazalan ini yang tidak terlalu kasual mahupun formal. Perbualan pun terasa agak natural.
Harap-harap buku kedua dalam siri ini akan fokus lebih dalam misteri dan juga kes yang pasangan ini tangani adalah lain dari buku ini. Apa-apa pun saya gembira dapat baca buku dalam Bahasa Melayu yang berunsur misteri begini.